PASTINYA BN AKAN TEWAS DI WPPILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA
Pertarungan sengit di Wilayah PersekutuanOleh Jeman Sulaiman
KUALA LUMPUR -- Pertarungan sengit dijangkakan antara Barisan Nasional (BN) dengan parti pembangkang di Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum Malaysia kali ini. Pertandingan merebut 11 kerusi parlimen di kawasan itu terutama melibatkan BN ditentang empat anggota pakatan pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA) -- Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Nasional, Parti Islam (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang kian mendapat sokongan ekoran kes mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Wilayah Persekutuan, termasuk Labuan, merangkumi sebahagian besar pengundi Cina dan salah satu kubu kuat DAP, yang pernah membawa pencapaian besar kepada pembangkang dalam pilihan raya 1990 hingga mencetuskan rusuhan kaum 31 Mei tahun itu. Dalam pilihan raya 1995, BN menyapu tujuh kerusi. Pembatasan semula kawasan undi pada 1995 menjejas kelakonan DAP, yang hanya mampu menawan empat kerusi. Bagaimanapun, BN kali ini turut dicabar Parti Keadilan dan PAS, menumpukan kepada kawasan golongan menengah dan majoriti Melayu. Beberapa 'orang kuat' Parti Keadilan akan bertanding satu lawan satu menentang calon BN. Mereka termasuk Naib Presiden parti itu, Cik Marina Yusof, Setiausaha Agung, Dr Chandra Muzaffar, dan Encik Zainur Zakaria, salah seorang peguam bela kes Anwar. Satu-satunya calon terkemuka PAS, Ustaz Ismail Kamus, akan bertanding buat pertama kali di Gombak Setia. Setiausaha Agung PRM, Dr Sanusi Osman, akan bertanding lagi di Batu. Pertarungan utama tertumpu di Lembah Pantai antara penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Shahrizat Jalil, dengan Encik Zainur, yang bertanding buat pertama kali. Batu juga menarik perhatian kerana ditandingi oleh Dr Chandra, yang menentang calon BN, Datuk Tan Chai Ho. |
