RINGKAS PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

'Surat BN' minta kerjasama Israel memang wujud

KUALA LUMPUR -- Barisan parti pembangkang mula menyebarkan sepucuk surat yang menunjukkan Barisan Nasional (BN) meminta kerjasama pemimpin Israel bagi mendapatkan dana untuk membiayai kempen pilihan raya kali ini.

Salinan sepucuk surat yang disebarkan itu ditandatangani Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, bertarikh 16 Ogos lalu dan dialamatkan kepada Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Barak.

Antara lain, kandungannya meminta kerjasama Encik Barak mengaturkan satu pertemuan antara Menteri Luar, Datuk Seri Hamid Albar, dengan rakan sejawatannya dari Israel, Encik David Levy, bagi membincangkan tentang bantuan daripada "dana Clinton".

Surat itu ditulis sempena lawatan Dr Mahathir ke New York bersama Datuk Seri Hamid Albar untuk menghadiri sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu. -- Oleh Jabbar Hanief.

Jadi tumpuan dunia kerana parti pemerintah akan tewas kali ini

KUALA LUMPUR -- Pilihan raya umum ke-10 pada 29 November ini akan menjadi tumpuan dunia dan mendapat liputan meluas apabila kira-kira 1,200 wartawan serta jurugambar tempatan dan asing dijangka membuat liputan.

Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Encik Muhamad Aszahari Abdul Rahman, berkata SPR telah mengeluarkan kira-kira 1,200 kad pengenalan diri kepada mereka bagi membuat liputan pilihan raya, terutama di tempat-tempat pengiraan rasmi undi.

"Seramai 88 wartawan dan 35 jurugambar asing telah diberikan kad pengenalan diri, termasuk dari media cetak dan elektronik dari pelbagai negara, dan jumlah itu dijangka meningkat," katanya.

Antara yang memohon mendapatkan kad pengenalan itu ialah Cable News Network (CNN), Reuters, Associated Press, AFP, BBC serta media dari Jepun, Singapura, Iran, Thailand dan Hongkong. -- Bernama.

Cabaran musim hujan tidak melemahkan parti-parti alternatif berkempen

KOTA BHARU -- Hujan berterusan sejak Khamis lalu menyebabkan para calon parti politik di Kelantan berkempen dengan mengunjungi rumah ke rumah, bertemu orang ramai di kedai-kedai kopi dan pasar serta perjumpaan dalam kumpulan-kumpulan kecil -- berbanding perjumpaan besar-besaran atau ceramah terbuka yang selalu diadakan dalam pilihan raya umum sebelum ini.

Setelah beberapa hari berkempen, belum kedengaran parti politik, baik Barisan Nasional (BN) mahupun PAS, membuat perjumpaan besar-besaran itu.

Beberapa calon parti-parti bertanding berkata kempen dari rumah ke rumah berkesan untuk meraih undi walaupun tugas itu mencabar dalam musim hujan. -- Bernama.

Senarai pengundi silap kerana sememangnya disengajakan oleh SPR

KUALA LUMPUR -- Pemerhati Pilihan Raya Rakyat Malaysia berkata terdapat beberapa kesilapan besar dalam senarai pengundi dan meminta satu siasatan menyeluruh.

Presidennya, Cik Kamar Ainiah Kamaruzaman, berkata pihaknya menerima ratusan aduan seperti nama pengundi dipotong daripada senarai pengundi, nama mereka yang telah meninggal dunia timbul dalam senarai dan nama pengundi 'dipindahkan' ke tempat kawasan pengundian lain tanpa pengetahuan mereka.

Lebih separuh daripada nama dalam senarai pengundi juga tidak dibubuhkan tarikh lahir, yang menimbulkan keraguan tentang kelayakan pengundi, kata beliau. -- AFX-Asia.

Calon PAS undur diri - Bukti PAS dan KeADILan bekerja sama.

PARIT BUNTAR -- Parti Islam SeMalaysia (PAS) semalam mengesahkan calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini mengundur diri daripada bertanding.

Pengunduran rasmi Encik Asman Ismail itu adalah bagi membolehkan calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Encik Zainuddin Abdul Rashid, bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Encik Ahmad Sharifuddin A. Aziz.

"Asman dicalonkan pada 20 November lepas atas kebimbangan PAS kemungkinan berlakunya pembatalan pencalonan calon Keadilan atas sebab-sebab teknikal," kata Pesuruhjaya PAS Parit Buntar, Encik Abdul Kadir Idris. -- Bernama.

Kirim email ke