Pas menang, tol tidak dibayar

KUALA TERENGGANU, Selasa - Walaupun kerajaan negeri baru belum membuat pengumuman rasmi mengenai penghapusan tol, pengurusan tol Jambatan Sultan Mahmud di sini mencatatkan kira-kira 500 kenderaan tidak membayar tol sejak malam tadi.

Kebanyakan pemandu tidak berhenti untuk membayar tol 50 sen bagi perjalanan sehala itu. Tidak seperti tol di Lebuhraya Utara-Selatan, tol di jambatan itu tidak mempunyai kayu penghalang kenderaan yang tidak menjelaskan bayaran.

Bagaimanapun, siren akan berbunyi apabila sesebuah kenderaan itu tidak berhenti untuk membayar tol.

Difahamkan, keengganan pemandu membayar tol bermula sebaik saja mengetahui Pas memenangi pilihan raya umum ke-10 sehingga dapat membentuk kerajaan negeri, lewat malam tadi.

Manifesto Pas yang dipasang di beberapa papan tanda dan kain pemidang di bandar ini memberi jaminan tol akan dihapuskan jika parti itu dapat memerintah Terengganu.

Pas memenangi semua tujuh kerusi Parlimen dan 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kerja Raya negeri, yang menguruskan kutipan tol berkenaan, mengesahkan ramai pemandu kenderaan tidak berhenti untuk membayar tol.

"Tiada tindakan yang boleh diambil jika pemandu tidak lagi membayar tol selepas malam tadi," katanya.

Usaha Berita Harian mendapatkan ulasan lanjut daripada Pengarah JKR negeri gagal kerana hari ini diisytiharkan cuti umum oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Hadi Awang, yang dilantik Menteri Besar hari ini.

Sementara itu, beberapa pegawai bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad kesal dengan sikap penyokong Pas yang mengganggu rumah mereka hampir setiap jam sejak malam tadi dengan membuat panggilan telefon meminta mereka keluar daripada rumah kerajaan berikutan kekalahan BN.

"Mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan mencarut termasuk menghina bekas Menteri Besar," kata pegawai berkenaan.

Tinjauan Berita Harian hari ini juga mendapati, sejak malam tadi, penyokong Pas terus berkumpul di depan Wisma Darul Iman di sini yang menempatkan kompleks pejabat kerajaan negeri dan Menteri Besar.

Kirim email ke