PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Dua faktor utama kenapa BN hilang dua negeri

Oleh Jabbar Hanief
Dari Kota Bahru

"Jika tidak berhati-hati, Kedah dan Perlis, malah Pahang juga bakal dirampas oleh PAS." - Datuk Nik Aziz.


PERPECAHAN yang melanda masyarakat Melayu dan keretakan dalam Umno sendiri merupakan faktor utama parti komponen terbesar Barisan Nasional (BN) yang memerintah kehilangan sokongan di negeri-negeri yang majoriti penduduknya orang Melayu.

Kegagalan BN buat kali ketiganya untuk menguasai semula Kelantan, tumbangnya Terengganu dan meluasnya pengaruh Parti Islam (PAS) di Kedah serta Perlis, mencerminkan fenomena itu.

Faktor pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendapat simpati sebahagian besar orang Melayu tetapi tidak diakui malah dianggap ringan oleh Umno khususnya, memburukkan lagi keadaan.

Orang-orang Melayu di keempat-empat negeri di utara Malaysia itu memendam kemarahan terhadap Umno yang dianggap telah "mendalangi" celaan terhadap Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Serangan terhadap para ulama dan ustaz-ustaz yang dianggap sebagai pemimpin mereka, serta tuduhan bahawa Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pemimpin fanatik dan telah membohongi para penyokongnya, disifatkan sebagai satu penghinaan.

Perasaan seperti itu mencetuskan "gelombang kesedaran politik baru" di kalangan orang-orang Melayu," kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar, yang ditemui di Kedah semasa berkempen.

Malah, beliau yang kelmarin berjaya mengalahkan calon BN di kawasanundi Parlimen bagi Pokok Sena, setelah dua kali percubaannya gagal, memberikan empat faktor yang melemahkan BN khususnya Umno.

Faktor-faktor itu ialah individu dalam Umno yang dipilih sebagai calon wakil rakyat; sikap bermegah-megah dengan projek mega; amalan kronisme dan rasuah yang menimbulkan rasa kurang senang terutamanya di kalangan kakitangan pemerintah; dan layanan terhadap Datuk Seri Anwar.

Tetapi, kata Haji Mahfuz, para pemimpin BN enggan menerima hakikat itu. Malah ramai di antara mereka yang berpura-pura dan tidak me ngendahkan gejala itu.

Sebaliknya, mereka memberikan gambaran yang keliru kepada Presiden Umno yang juga Presiden BN bahawa mereka telah dapat meyakinkan rakyat dan mengembalikan sokongan terhadap parti yang memerintah.

Arus pemikiran orang-orang Melayu semakin bergelora dan mahukan perubahan, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar.

Tetapi apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) giat berkempen dan menyuarakan kebimbangan tentang bahaya berlakunya perpecahan yang melanda masyarakat Melayu, suasana di Kelantan mula menampakkan peluang BN kembali berkuasa semakin cerah.

Namun, kempen pilihan raya BN melalui iklan-iklan yang dimuatkan dalam akhbar-akhbar utama serta televisyen dan radio "merosakkan usaha Ku Li itu," kata seorang anggota BN Kelantan yang turut terlibat dalam kempen tersebut.

Kemuncak kemarahan itu diluahkan kelmarin melalui peti-peti undi yang membawa kepada beberapa orang menteri dan timbalan menteri daripada kalangan anggota Umno gugur.

Terengganu yang 40 tahun lalu berjaya dirampas oleh Umno, kini kembali dalam genggaman PAS. Menteri Besarnya sekali (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad) yang sudah memegang jawatan itu selama 25 tahun, turut ditumbangkan.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang "dilagakan dengan sahabat suaminya" berjaya menawan kubu ter kuat Umno di Permatang Pauh.

Satu lagi tamparan hebat yang diterima oleh BN ialah apabila 'ulama Umno' Datuk Dr Abdul Hamid Othman, ditolak oleh para pengundi di kawasanundi Sik, Kedah dan Datuk Shahnon Ahmad pula, yang menimbulkan tengakarah dengan novel SHIT-nya, dipilih.

"Jika tidak berhati-hati, Kedah dan Perlis, malah Pahang juga bakal dirampas oleh PAS," kata Datuk Nik Aziz, yang ditemui selepas mengundi di Pengkalan Chepa kelmarin.

Bagi PAS, keputusan pilihan raya ke-10 itu adalah sesuatu yang manis dan mereka sudah boleh mula mengorak langkah ke arah menjadi sebuah parti yang kukuh bagi orang Melayu.

Tetapi bagi Umno, walaupun masih menerajui pemerintah perikatan BN untuk kembali berkuasa, pilihan raya kali harus menyedarkan mereka tentang berlakunya 'hakisan pengaruh' yang akan melemahkan Umno sendiri.

Seperti kata Ku Li semasa berkempen, kalaulah pengaruh yang ada pada Umno itu hilang, maka negara akan kucar-kacir.

"Apabila orang Melayu berpecah, mereka jadi lemah, tidak akan dapat lagi mengekalkan pengaruh dan kuasa politiknya sebagaimana yang terdapat sekarang," kata beliau.

Kirim email ke