PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA: YANG MENANG...
Ismail Kamus azam berbakti
KUALA LUMPUR -- Seorang pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ismail Kamus, telah berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gombak Setia. Datuk Ismail antara tokoh agama yang telah menampilkan diri untuk bertanding di bawah kerusi Parti Islam (PAS). Beberapa tokoh agama lain seperti Datuk Dr Hassan Ali dan sasterawan negara, Datuk Shahnon Ahmad, turut bertanding dan memenangi kerusi masing-masing. Ketika ditemui agensi berita Bernama selepas berjaya memenangi kerusi DUN Gombak Setia, Datuk Ismail berjanji akan menyelesaikan masalah setinggan di daerah Gombak Setia. "Kita bercadang untuk membela nasib mereka dan cuba meningkatkan taraf hidup mereka," katanya. Datuk Ismail memperoleh 11,821 undi untuk mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Encik Abdul Ghani Mohamed Yatim, dengan majoriti 953 undi. Datuk Ismail berkata beliau akan mencuba bersungguh-sungguh berkhidmat kepada rakyat dan berbakti kepada mereka. Datuk Ismail terkenal kerana sering memberi syarahan dan memimpin jemaah haji baik di Malaysia mahupun di Singapura. Sebelum ini, Datuk Ismail berkata penyertaannya atas dasar tanggungjawab sebagai orang Islam untuk menegakkan kebenaran. Beliau memberi beberapa contoh rentetan peristiwa yang disifatkan sebagai penindasan terhadap ulama dan pemimpin agama seperti peristiwa pembunuhan Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya), dakwaan penyelewengan wang dalam negara dan peristiwa ratu cantik di Shah Alam, di mana Mufti Selangor yang menentang kuat peraduan itu disingkirkan. |

