Hadi MB baru Terengganu

KUALA TERENGGANU, Selasa - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Hadi Awang, hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Sultan Terengganu di Istana Badariah petang ini.

Watikah itu dibacakan oleh Ketua Istiadat, Tengku Seri Indera Raja Tengku Zainal Karib Shah. Turut hadir menyaksikan upacara itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh.

Hadir sama ialah barisan Exco baru kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Wan Mutalib Embong, Mustafa Ali (Pengkalan Berangan); Harun Taib (Manir) dan Abu Bakar Chik (Batu Rakit).

Selepas majlis berkenaan, Abdul Hadi dan semua Adun berkenaan melawat pejabat barunya di Wisma Darul Iman.

Pada sidang akhbar pertamanya sebagai Menteri Besar, Abdul Hadi memberi jaminan semua janji Pas dalam manifestonya akan ditunaikan selepas pelantikan dan mesyuarat Exco kerajaan Khamis ini.

"Kita akan mengisytiharkan Jumaat dan Sabtu sebagai hari cuti mingguan dan pemansuhan tol di Jambatan Sultan Mahmud serta cukai premis kediaman dihapuskan sebaik sahaja kajian mengenainya selesai.

"Kakitangan di bahagian kutipan tol jambatan itu akan diserapkan dalam jabatan tertentu mengikut kesesuaian mereka," katanya.

Abdul Hadi berkata, beliau sudah mengenal pasti Adun yang dilantik sebagai ahli exco dan jumlahnya tidak akan melebihi 10 orang. Bagaimanapun, pelantikan Exco baru itu tidak semestinya mengikut portfolio kerajaan BN yang lalu.

Beliau tidak menolak kerajaan negeri akan melaksanakan undang-undang Islam dan hudud dan usul itu akan dibentangkan pada persidangan DUN yang akan ditetapkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Mustaffa Ali, dalam sidang akhbarnya berkata, pelantikan Abdul Hadi sebagai Menteri Besar dicapai dalam mesyuarat perhubungan parti itu di Masjid Rusila, Marang, awal pagi ini.

Katanya, Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor bersetuju dengan pelantikan itu dan 10 ahli Exco negeri.

"Tiga ahli ex-officio akan dikekalkan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan negeri dan Penasihat Undang-undang negeri seperti yang ada sekarang," katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri lain dijangka dibentuk menjelang akhir minggu ini, dengan sekurang-kurangnya dua negeri lagi bakal menerima menteri besar atau ketua menteri baru.

Di negeri yang mana Barisan Nasional (BN) mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), majlis angkat sumpah akan diadakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir, menentukan nama menteri besar dan ketua menteri berkenaan.

Antara negeri yang pasti menerima pemimpin baru ialah Perak dan Melaka berikutan perpindahan Tan Sri Ramli Ngah Talib ke Parlimen Pasir Salak dan Datuk Seri Abu Zahar Isnin ke Parlimen Jasin.

Di IPOH, rakyat Perak dan kalangan pemerhati politik sudah mula membayangkan kemungkinan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali yang bertukar kerusi dari Parlimen Gerik ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, dilantik mengisi jawatan menteri besar. Tajol Rosli pernah mewakili DUN Kenering pada 1977.

Di MELAKA, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Istana Melaka sedang membuat persiapan majlis angkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Melaka akan mempunyai Ketua Menteri baru selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin, bertanding di Parlimen Jasin dalam pilihan raya umum semalam.

Antara yang disebut sebagai bakal Ketua Menteri baru ialah Datuk Wira Mohd Rustam yang berpindah dari kerusi Parlimen Batu Berendam ke kawasan DUN Paya Rumput.

Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ibrahim Durum serta menantu Tun Ghafar Baba, Datuk Ahmad Hamzah, yang juga ahli Exco, turut disebut bakal mengambil alih jawatan Ketua Menteri.

Di KUANTAN, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata menteri besar baru nanti akan menghadap Sultan Pahang untuk memohon perkenannya bagi membentuk kerajaan negeri.

"Biasanya selepas pilihan raya, negeri yang tidak bermasalah akan membentuk kerajaan negeri secepat mungkin dan di Pahang, kita jangka dapat mewujudkan kerajaan negeri akhir minggu ini selepas Perdana Menteri melantik siapa menteri besar baru," katanya.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang mengekalkan barisan anggota Exco negeri ekoran kejayaan Pas terus menguasai Kelantan.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan kemenangan besar Pas di Kelantan adalah sumbangan dan kerjasama yang diberikan semua anggota Exco di bawah kepemimpinannya.

Kecuali Datuk Abdul Halim Mohamed yang tidak bertanding kali ini, anggota Exco Pas berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar Abdul Halim Abdul Rahman (DUN Kijang) yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Sains dan Teknologi.

Nik Aziz dijangkakan hanya akan membuat sedikit rombakan barisan Exco itu termasuk mengisi kekosongan jawatan Abdul Halim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran Awam.

Di ALOR STAR, Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan Exco Kedah akan dilangsungkan di hadapan Sultan Kedah, di Istana Anak Bukit, di sini 11 Disember ini.

Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Syed Abdullah yang dihubungi hari ini, mengesahkan majlis dan tarikh berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini calon Menteri Besar Kedah yang bakal mengangkat sumpah berkenaan masih belum dipastikan.

Tan Sri Sanusi Junid yang ditanya mengenai perlantikan Menteri Besar, dalam sidang akhbar di Bangunan Umno, awal pagi ini berkata, ia terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar, Datuk Seri Abu Hassan Omar berkata, beliau akan berbincang dengan Dr Mahathir dan menghadap pemangku Sultan Selangor dalam tempoh terdekat bagi menyusun agenda untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Kirim email ke