Surat Terbuka Kepada Para Pengundi
Piliharaya Umum Kesepuluh sudah berlalu dan rakyat Malaysia telah membuat
pilihan mereka. Kami dari Barisan Alternatif menghormati keputusan tersebut.
Namun, benarkah keputusan tersebut merupakan pilihan rakyat yang sebenarnya?
Kami telah menerima demikian banyak aduan yang menyatakan bahawa terdapat banyak
perkara yang tidak kena tentang piliharaya tersebut.
Selama dua hari yang lalu kami telah menerima ratusan laporan tentang
penipuan yang berlaku secara terang-terangan sepanjang Hari Pengundian tersebut.
Berdasarkan maklum balas yang kami terima, maka kami tidak sekadar menganggap
pilihanraya ini sebagai plihanraya yang paling kotor, sebagaimana yang
dijanjikan oleh Dr Mahathir Mohamad, malah dapat kami katakan bahawa penipuan
telah dilakukan secara terang-terangan dan tanpa segan silu – berbeza
daripada penipuan pada masa-masa lalu yang dilakukan secara berselindung. Antara
aduan yang kami terima termasuklah:
- 680,000 pengundi telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan
mengundi kali ini. Namun sebahagian daripada mereka masih tetap pergi ke
pusat-pusat mengundi dan mendapati bahawa mereka sebenarnya dibenarkan
mengundi. Timbul persoalan tentang berapa ramaikah di kalangan 680,000
pengundi yang yang sepatutnya boleh mengundi itu telah diberitahu bahawa
mereka tidak boleh mengundi?
- Nama beberapa pengundi hilang daripada senarai pengundi. Mereka
kemudiannya membuat heboh dan enggan beredar sehingga mereka dibenarkan
mengundi. Senarai kedua kemudiannya dikeluarkan dari bawah meja dan -- yang
anehnya -- nama mereka terdapat dalam senarai kedua itu. Berapa ramaikah
agaknya para pengundi hari itu yang pulang dengan hampa setelah diberitahu
bahawa mereka tidak boleh mengundi, padahal sebenarnya mereka boleh
mengundi?
- Beberapa pengundi diberitahu bahawa mereka sudah membuang undi. Apabila
mereka berkeras menyatakan bahawa mereka masih belum mengundi, senarai
pengundi telah ditunjukkan kepada mereka – dan ternyata bahawa nama
mereka dalam senarai memang "telah dipotong", menandakan bahawa
mereka sudah mengundi. Tetapi pengundi itu terus berkeras menyatakan bahawa
dia masih belum mengundi dan undi beliau mungkin telah dilakukan oleh orang
lain. Berapa ramaikah para pengundi yang mengalami hal demikian?
- Terdapat maklumat bahawa para askar di Kementerian Pertahanan (MINDEF)
telah membuat bantahan dan enggan mengundi kerana kertas undi mereka sudah
mempunyai tanda. Sudah sedia ada suatu calitan pada kotak Barisan Nasional
(BN). Pengundi hanya dikehendaki membuat satu calitan lagi untuk membentuk
tanda "X". Tertapi jika dia membuat tanda "X" pada kotak
Barisan Alternatif (BA), maka undinya akan dianggap "undi rosak"
kerana dengan itu dua kotak akan mempunyai tanda, yang satu bertanda pangkah
dan yang satu bertanda calit. Kami diberitahu bahawa akibat daripada
"mogok" tersebut kertas undi telah ditukar. Dr Mahathit telah
mengumumkan bahawa perkara itu akan disiasat, dan beliau tampaknya menyebut
kemungkinan berlakunya "kesalahan cetak". Benarkah berlaku
"kesalahan cetak" atau memang terdapat usaha secara sedar untuk
memastikan bahawa para askar hanya mengundi BN, dan jika sekiranya mereka
mengundi BA undi mereka akan ditolak kerana dianggap sebagai "undi
rosak"?
- Antara laporan yang kami terima anggap paling serius ialah tentang
kertas-kertas undi yang mempunyai semacam kanji atau resin terlekat padanya.
Bukannya seluruh kertas undi yang mempunyai pelekat melainkan bahagian kotak
untuk mengundi BA sahaja. Beberapa pengundi menceritakan bagaimana mereka
tidak dapat menandakan kotak BA dengan sempurna. Yang lainnya pula
menyatakan bahawa kotak tersebut terlalu licin dan tanda yang mereka buat
tidak melekat. Ada pula yang menceritakan bahawa setelah mereka menandakan
kotak BA itu mereka mengirai-ngirai kertas undi dan mendapati bahawa tanda
yang dibuat dengan pensil itu berkecai seperti tepung lalu tanggal. Berapa
orangkah lagi yang mengalami hal ini dan adakah pengalaman ini berleluasa?
- Beberapa pengundi mengadu bahawa pensil yang disediakan untuk mereka
terlalu tumpul dan tidak lagi mempunyai mata plumbum. Mereka mendapati
pensil tersebut tidak sesuai untuk menanda kertas undi dengan sempurna.
Apabila mereka bertanya apakah mereka boleh menandakan kertas undi dengan
menggunakan pensil atau pena yang mereka bawa sendiri mereka diberitahu
bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian, dan mereka mesti menggunakan
hanya pensil yang telah disediakan. Apakah arahan ini betul, dan berapa
orangkah yang telah menerima arahan demikian?
- Selain itu terdapat pula aduan-aduan "biasa" tentang para
pengundi yang mengundi lebih daripada sekali. Caranya hal ini boleh berlaku
ialah jika para pengundi mengundi dengan menggunakan pelabagai nama dan
pelbagai nombor kad pengenalan yang berlainan. Berapa ramaikah yang melihat
terjadinya perkara ini, dan betapa meluaskan terjadinya perkara ini?
- Satu lagi aduan yang biasa ialah tentang para pengundi ditawarkan wang
untuk mengundi calon BN. Berapa ramaikah orang yang mendapat tawaran
demikian, dan adakah orang yang menyaksikan wang sogokan bertukar tangan?
- Beberapa pemerhati yang memantau pengiraan undi melaporkan kepada kami
bahawa pada permulaan proses pengiraan undi, beberapa calon BN mengalami
kekalahan teruk. Kemudian kertas undi pospun dibawa keluar, dan keputusannya
segera bertukar menjadi kemenangan bagi calon BN. Salah satu contoh yang
nyata ialah kes Datuk Sri Najib: sewaktu pengiraan undi sedang berjalan
semua orang menyedari bahawa beliau sedang mengalami "kalah
teruk". Setelah itu beberapa karung kertas undi pos mulai dibawa masuk.
Yang anehnya semua kertas undi itu merupakan kertas undi untuk BN –
dan undi tersebutlah yang memberikan kemengan tipis bagi Datuk Sri Najib
yang berjumlah kira-kira 200 undi sahaja. Berapa orangkah calon BN yang
sebenarnya telah kalah tetapi kemudiannya "diselamatkan" dengan
undi pos? Dari manakah datangnya undi pos ini – undian sah atau undian
yang sengaja diada-adakan? Terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab
berhubung dengan undi pos ini, soalan-soalan yang sejak lama menjadi sumber
kemusykilan di kalangan pelbagai pihak. Jika benarlah apa yang telah
disampaikan kepada kami – bahawa 70% para askar mengundi BA –
maka kewujudan undi pos itu sepatutnya menyebabkan calon-calon yang
berkenaan itu lebih terus kalahnya. Tetapi sebaliknya yang berlaku!
- Beberapa calon melaporkan kepada kami bahawa kotak-kotak undi ada yang
dibuka tanpa kehadiran mereka atau para wakil mereka. Sewaktu mereka tiba di
pusat pengiraan undi, kotak-kotak undi sudah dibuka. Selain itu ada juga
yang mengadu bahawa mereka mendatapi kotak-kotak undi telah kosong. Adakah
kepincanmgan-kepincangan lain yang terjadi pada malam pengiraan undi
itu?
Demikianlah, pelbagai macam kepincangan dan kemungkinan penipuan yang telah
terjadi dalam piliharaya yang baru berlalu itu. Apa yang kami senaraikan di atas
itu mungkin hanya merupakan sebahagian kecil daripada pelbagai jenis penipuan
yang telah terjadi. Kami memerlukan maklumat lanjut tentang
kepincangan-kepincangan lain yang terjadi pada hari pengundian itu. Dan yang
lebih penting lagi kami memerlukan para saksi yang bersedia tampil kemuka untuk
membuat kenyataan bersumpah tentang segala perbuatan menipu yang mereka saksikan
pada hari tersebut.
Mengundi merupakan hak asasi anda. Jangan benarkan mereka merampas hak asasi
tersebut dari tangan anda. Kami perlu mengetahui apakah BN telah mendapat kuasa
melalui cara-cara yang tidak wajar. Kami menyeru agar semua rakyat Malaysia
melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendedahkan penipuan ini, demi memastikan
bahawa Piliharaya Umum Kesepuluh ini merupakan pilihanraya negara ini yang
TERAKHIR yang telah dimenangi melalui cara penipuan, melalui amalan-amalan yang
tidak adil dan bersifat jenayah.
Lakukanlah sesuatu. Tampillah kemuka untuk mendedahkan penipuan. Laporkanlah
kepada kami apa yang ada lihat atau anda alami.
Kirimlah e-mail kepada kami di alamat: [EMAIL PROTECTED]
Telefon kami: 03-757-1245
Kirim fax kepada kami: 03-757-1245
Atau kirim surat berdaftar (courier) kepada: Parti Keadilan Nasional, 101,
Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II, No. 15, Jalan 16/11, Off Jalan
Damansara, 46350 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
Apapun yang anda lakukan, lakukanlah dengan segera. Dan sudilah menyebarkan
pesanan ini kepada teman, rakan sekerja, dan keluarga anda. Pastikan bahawa
laporan anda menyertakan maklumat berikut:
1. Nama anda:
2. No. Kad Pengenalan Anda:
3. Alamat surat menyurat anda:
4. No. Telefon/Fax/Alamat e-mail anda:
5. Tempat anda mengundi:
6. Aduan anda (apa yang anda lihat alami):
7. Waktu berlakunya kejadian itu (kira-kira):
8. Saksi lain – jika ada:
9. Bersediakah anda membuat kenyataan bersumpah?: (ya/tidak).
Terima kasih.
Raja Petra Kamarudin
Bp: Puan Hajjah Marina Yusoff
Biro Pilihanraya
Parti Keadilan Nasional