Majoriti undi lebih rendah: Apakah implikasinya?
Keputusan undian jadi isyarat jelas naluri orang MelayuOleh Saat A. Rahman SELEPAS redanya kehangatan keputusan pilihan raya umum Malaysia kelak, satu trend membimbangkan yang pasti diteliti dengan mendalam oleh pucuk pimpinan Umno ialah pengurangan sokongan yang begitu ketara di kalangan menterinya. Trend kemerosotan majoriti undi bagi menteri Malaysia itulah yang dijangka mempunyai implikasi jangka panjang terhadap politik Malaysia, selain kejatuhan Terengganu ke tangan Parti Islam (PAS) yang semakin berpengaruh. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, apabila ditanya tentang majoriti berkurangan itu semasa sidang akhbar selepas keputusan pilihan raya diketahui, setakat menepis soalan tersebut. Beliau berkata Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya hanya berjanji menang dua pertiga, dan tidak berjanji menambah majoriti undi. Umno merupakan parti utama dalam komponen BN yang memerintah. Namun, hakikatnya, kemerosotan pengurangan majoriti undi bagi menteri Malaysia, termasuk Dr Mahathir sendiri, pasti memberi isyarat jelas tentang naluri pengundi Melayu di Semenanjung. Isyaratnya diberikan awal ekoran isu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dari Umno. Ada pihak mengatakan kemarahan orang Melayu lebih kepada cara Dr Mahathir menangani isu Datuk Seri Anwar, daripada soal sama ada mantan timbalannya itu bersalah atau tidak. Keputusan pilihan raya mengesahkan trend itu dan PAS kelihatan parti yang meraih paling banyak 'keuntungan' hasil perpecahan tersebut. Kata Encik Joseph Liow, pengamat politik dari Institut Kajian Pertahanan dan Strategik, Singapura: "Pada umumnya, terdapat rasa tidak senang hati dengan cara Umno memerintah. Sesetengah rakyat merasa jengkel dengan tindakan-tindakan yang mereka sifatkan sebagai melanggar hukum Islam oleh pucuk pimpinan Umno. "PAS memanfaatkan isu ini dalam pilihan raya kali ini dan ini membantu PAS. Itulah sebabnya terdapat perpecahan dalam undi kali ini." Antara pemimpin kanan Umno yang mengalami kemerosotan majoriti undi ialah Menteri Pendidikan yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau hanya menang dengan 241 undi di Pekan, Pahang, satu negeri yang dikatakan turut menghadapi tekanan untuk dikuasai PAS pada masa mendatang selepas Terengganu. Bandingkan dengan majoriti yang dicapainya dalam pilihan raya 1995 sebanyak 10,793 undi. Bukan beliau saja, bahkan hampir semua menteri lain, termasuk Dr Mahathir sendiri, turut mengalami majoriti lebih rendah. Ini tidak termasuk menteri, timbalan menteri dan menteri besar lain yang kehilangan kerusi. Di sebalik kegembiraan kemenangan majoriti dua pertiga, pucuk pimpinan Umno sedar akan cabaran besar yang dihadapi untuk memenangi kembali hati pengundi Melayu. Datuk Seri Najib, yang mengakui bahawa beliau sendiri berasa cemas dengan keputusan undinya, berkata aliran pengundi Melayu yang memihak kepada calon parti pembangkang adalah satu amaran kepada Umno. Oleh itu, menurutnya, Umno mulai sekarang perlu memperbetulkan kesilapan dan mencermin diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain mengenai kekalahannya. Berbalik kepada trend tadi, tiada menteri yang 'selamat' sekalipun mereka bertanding di 'kawasan selamat' Umno seperti di Johor. Ini dipaparkan menerusi peratusan undi yang diterima Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang majoritinya turun kepada 12,850 undi berbanding 17,599 undi dalam 1995. Yang jelas, sokongan pengundi Cina dikatakan banyak membantu pemimpin Umno menebus kehilangan undi Melayu itu. Walaupun demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, dalam wawancara dengan akhbar The Straits Times memberi jaminan Umno akan tetap memilih pendekatan sederhana, sesuai dengan keadaan Malaysia yang berbilang bangsa. Parti itu tidak akan tunduk kepada fahaman Islam yang radikal hanya kerana hendak menawan semula beberapa wilayah Melayu yang tumbang ke tangan PAS. Berhubung dengan perpecahan undi Melayu itu, beliau tidak menganggapnya serius tetapi akur terdapat tuntutan yang semakin besar di kalangan pengundi Islam dan golongan islam yang lebih muda bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk agama Islam. Berdasarkan kenyataan Datuk Abdullah ini, adalah jelas bahawa menyusuli pilihan raya ini, perjalanan yang akan ditempuh oleh Umno akan lebih mencabar kerana ia perlu mengimbangi antara desakan dan cita rasa pengundi Melayu, dengan keperluan pengundi bukan Melayu. Sekalipun isu Datuk Seri Anwar reda kelak, gelombang perubahan itu akan berterusan dan dijangka mengubah lanskap politik Malaysia. Persoalannya, apakah pucuk pimpinan Umno akan terus bersepadu bagi meredakan gelombang tersebut? Yang jelas, rasa cemas dan prihatin di kalangan sesetengah pemimpin Umno gara-gara kemerosotan sokongan pastinya memaksa mereka melakukan perubahan bagi memenangi kembali pengundi Melayu. |
