PAS TERUSKAN PROGRAM KEBUDAYAAN SELAGI TIDAK BERCANGGAH DENGAN ISLAM

 

KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pas Terengganu akan terus melaksanakan program kebudayaan dan pelancongan yang dirangka kerajaan Barisan Nasional (BN) selagi ia tidak bercanggah dengan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerajaan Pas akan melihat semua program yang dirancangkan oleh BN di negeri ini.

"Secara kasarnya kita tidak akan menolak kebudayaan dan pelancongan selagi ia tidak bercanggah dengan Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan peserta pacuan empat roda Rainforest Challenge '99 di sini hari ini.

Wan Hassan adalah Exco kerajaan Pas yang pertama menghadiri majlis rasmi kerajaan selepas Pas memerintah Terengganu berikutan memenangi pilihan raya umum lepas.

Wan Hassan bagaimanapun berkata kerajaan akan mengkaji semula acara-acara permainan yang bercanggah dengan Islam pada Pesta Pantai bagi memastikan pesta itu lebih sihat.

Rainforest Challenge '99 yang dianjurkan bersama kerajaan Terengganu dan Motorsports Adventure Sdn Bhd disertai 255 peserta termasuk media cetak dan elektronik dari 22 buah negara iaitu dari benua Eropah, Afrika, Asia Pasifik dan Amerika Utara.

Negara-negara itu ialah Jepun, Indonesia, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan, Thailand, Australia, Malaysia, Sweden, United Kingdom, Sepanyol, Itali, Switzerland, Belanda, Denmark, Jerman, Belgium, Poland, Perancis, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Acara Rainforest Challenge bermula esok di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan berakhir di Awana Kijal, Kemaman.

-- BERNAMA

Kirim email ke