|
MB DAN EXCO
KERAJAAN ISTIHAR HARTANYA |
| |
|
KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Menteri
Besar Haji Abdul Hadi Awang akan mengisytiharkan hartanya dan mengarahkan
semua exco kerajaan negeri turut berbuat demikian bagi memastikan
pemimpin-pemimpin kerajaan tidak melakukan penyelewengan.
Beliau berkata kerajaan PAS Terengganu juga akan
mengkaji semula semua projek mega di negeri ini yang dirancang kerajaan
Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pelaksanaannya bukan satu
pembaziran.
Projek yang perlu akan diteruskan terutama yang
melibatkan kepentingan rakyat dan beliau mahu mendengar taklimat
pegawai-pegawai berkenaan sebelum membuat keputusan, katanya pada
persidangan berita di rumahnya di Rusila, dekat sini malam ini.
Beliau mengesahkan tidak akan menduduki kediaman rasmi Menteri
Besar di Batu Buruk dan kerajaan negeri juga telah membuat keputusan untuk
tidak membeli sebarang kereta baru bagi kegunaan anggota-anggota exco dan
beliau sendiri.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Kerja
Raya Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa projek lebuh raya pantai timur tidak
akan diteruskan ke Terengganu sebaliknya hanya setakat Pahang, Abdul Hadi
berkata Samy Vellu tidak seharusnya emosional dengan keputusan pilihan
raya yang lepas.
"Itu adalah hak rakyat untuk memilih mana-mana
kerajaan yang mereka mahu dan hasil negara bukan hasil Samy Vellu, bukan
kepunyaan MIC dan bukan kepunyaan BN...ini kepunyaan seluruh rakyat.
"Kalau PAS memerintah negara dan Pulau Pinang diperintah oleh MIC,
kami wajib memberi hak kepada rakyat Pulau Pinang walaupun mereka memilih
yang lain," katanya.
Abdul Hadi berkata kerajaan PAS Terengganu
juga akan mengikut contoh kerajaan Kelantan memendekkan masa bekerja bagi
kakitangan kerajaan negeri pada bulan Ramadan.
Mengenai cuti
mingguan pada hari Jumat dan Sabtu, beliau berkata hari Khamis adalah hari
bekerja sepenuh hari. Kakitangan akan tetap mendapat cuti mingguan dua
hari walaupun hari Sabtu itu adalah Sabtu pertama pada bulan berkenaan,
katanya.
--
BERNAMA |
|