`Pas tidak paksa DAP'

KOTA BHARU, Khamis - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata DAP tidak mempunyai sebab untuk menyalahkan Pas berikutan kekalahan teruk parti itu (DAP) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Beliau berkata, kerjasama di kalangan parti pembangkang, termasuk DAP menerusi pakatan barisan alternatif secara sukarela oleh semua pihak terbabit tanpa wujud sebarang paksaan.

"Kita kena tanya, DAP ni dipaksa Pas (menjalinkan kerjasama) atau mereka terima sukarela? Kalau DAP kata dia dipaksa Pas, maka tak ada erti dia jadi parti sebab dipaksa orang lain.

"DAP perlu terima semua keputusan dengan hati terbuka. Kenapa nak salahkah Pas sedangkan orang lain tak salahkan kami. Parti Keadilan Nasional (Keadilan) tak salahkan Pas, Parti Rakyat Malaysia (PRM) pun tak juga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini, hari ini. Terdahulu, beliau mengumumkan senarai portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas pelantikan mereka diperkenankan Sultan Kelantan, malam tadi.

Semalam, Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin, secara terbuka menyalahkan Pas kerana memainkan isu penubuhan negara Islam yang menurutnya menakutkan pengundi Cina, sekali gus menjadi punca kekalahan teruk DAP.

Beliau turut menyelar rancangan Pas melaksanakan undang-undang Islam di Terengganu.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, Pas sedia meneruskan kerjasama dengan DAP bagi menjalin perpaduan seperti yang dihasratkan selama ini, dengan syarat DAP perlu memperbetulkan keadaan parti itu.

Beliau turut menyifatkan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai 'pemimpin yang benar-benar pemimpin' berikutan kenyataan Perdana Menteri untuk terus menyalurkan bantuan kepada Kelantan dan Terengganu walaupun kedua-dua negeri itu kini diperintah parti pembangkang.

"Dr Mahathir ni memang orang cerdik, bijak dan pintar dari segi tugasnya sebagai Perdana Menteri. Insya-Allah, saya dan (Menteri Besar Terengganu) Ustaz Abdul Hadi (Awang) akan jumpa beliau selepas ini untuk ucap tahniah.

"Tak ada sebab Dr Mahathir nak sekat bantuan ke Kelantan kerana dia tahu kita sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan kedua-dua pihak mempunyai kerjasama rapat.

"Dalam pada kami tak ada kelengkapan untuk menyerang balas segala hentaman menerusi media massa, rakyat masih pilih Pas di Kelantan dan ia turut berlaku di Terengganu yang mewah dengan pembangunan," katanya.

Nik Abdul Aziz turut menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, sebagai ahli politik yang matang dan berfikiran terbuka dalam menerima kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada pilihan raya umum, Isnin lalu.

Menurutnya, sikap itu wajar dicontohi pemimpin Umno Kelantan lain yang rata-ratanya menyalahkan rakyat negeri ini kerana tidak menyebelahi BN.

Mengulas kekalahan BN di Kelantan, beliau berkata ia mungkin disebabkan kesukaran rakyat mencari hala tuju sebenar agenda Umno, berbanding Pas yang dengan jelas menjadikan Islam sebagai teras pentadbiran serta perjuangannya.

Kirim email ke