Catatan IBNU MUSLIM

Majoriti Melayu tinggalkan BN

Keputusan pilihan raya umum yang ke 10 pada 29 November lepas, jelas menunjukkan bahawa majoriti pengundi Melayu tidak lagi menyokong Barisan Nasional.

Yang memberi kemenangan kepada calon-calon BN pada 29 November lepas, ialah para pengundi bukan Melayu, khususnya Cina dan India.

Kalau dikaji dan disemak semula keputusan-keputusan pilihan raya yang lepas di Semenanjung, jelas membuktikan bahawa kemenangan calon-calon BN di Lembah Kelang, Selangor, Perak, Kedah dan Pahang ialah kerana 90 peratus undi bukan Melayu memihak kepada BN dan Umno.

Sebagai contoh yang paling dekat sekali ialah kedudukan calon PAS di kawasan parlimen Titiwangsa, Haji M.Noor Muhammad yang mendapat undi terbanyak di sekitar kampung Baharu, Dato' Keramat dan Kampung Pandan, tetapi undi yang didapati daripada para pengundi Melayu terkambus dengan jumlah undi Cina dan India yang didapati oleh calon BN dari kawasan Air Panas Setapak dan dari Pandan Indah.

Dalam erti kata lain, yang memenangkan calon BN di Titiwangsa ialah undi-undi India dan Cina, dan bukan kerana undi Melayu.

Begitu juga, kalau 15 peratus sahaja para pengundi Cina dan India memihak kepada calon PAS di kawasan parlimen Gombak, maka sudah tentu, Dr. Hatta Ramli telah di- isytiharkan sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut.

Pendek kata, kemenangan calon-calon BN daripada Umno dalam pilihan raya lepas, bergantung bulat-bulat kepada sokongan orang-orang Cina dan India.

Apa yang jelas, orang-orang Melayu sudah tidak menyokong Umno lagi sejak berlakunya beberapa peristiwa yang menyentuh perasaan masyarakat Melayu dan Islam.

Berdasarkan kepada hakikat ini, maka Umno tidak boleh lagi diiktiraf sebagai sebuah parti politik Melayu, kerana ianya sudah tidak dapat sokongan dari masyarakat Melayu dalam erti kata yang sebenarnya.

Seorang pengundi Melayu dari kawasan Parlimen Bandar Baru Tun Razak mengakui beliau dan keluarganya mengundi Dr. Chandra Muzaffar pada 29 November lepas.

Menurut pengundi wanita itu lagi, kemenangan calon BN di Bandar Tun Razak, Dato' Tan Chai Ho, ialah kerana undi yang didapati daripada kaum Cina dan India.

Seorang peguam India yang namanya tidak mahu disebutkan di ruangan ini memberi pendapat yang sama mengenai perkara itu.

Peguam India itu membuat kesimpulan bahawa Umno, bukanlah sebuah parti politik yang mendapat dukungan orang Melayu lagi sebagaimana yang didakwa oleh Dr. Mahathir dan pemimpin -pemimpin Umno lain.

Katanya lagi, Umno dan BN tidak akan dapat menundukkan calon-calon parti Alternatif kalau tidak kerana undi orang-orang Cina dan India.

Walaupun pada zahirnya, Dr. Mahathir merasa bangga dengan kemenangan yang dicapai oleh calon-calon BN dalam pilihan raya baru-baru ini, tetapi pada hakikat yang sebenarnya, beliau menyedari bahawa sudah ada perubahan sikap orang-orang melayu dan masyarakat Islam terhadap parti yang memerintah.(UMNO-BN)

Dalam erti kata lain, orang-orang Melayu sudah ada pilihan lain selain dari Umno dan Barisan Nasional.

Ramai di kalangan para pemerhati politik yang tidak menduga bahawa PAS boleh mencapai kemenangan mutlak di Kelantan dan di Terengganu dalam pilihan raya yang lepas.

Ini ialah kerana Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Wan Mokhtar merasa begitu yakin bahawa BN akan menewaskan PAS dalam pilihan raya kali ini.

Kenyataan dan ucapan ketiga-tiga pemimpin Umno itu membayangkan bahawa kerajaan Terengganu dapat dipertahankan, dan besar kemungkinan BN akan dapat merampas Kelantan.

Tidak terlintas di fikiran Wan Mokhtar bahawa PAS dan parti KeADILan mampu menyapu bersih semua kerusi kawasan parlimen di Terengganu, dan Tengku Li tidak terfikir bahawa PAS dan sekutunya, dapat menundukkan dua menteri Kerajaan Pusat, seorang Timbalan Menteri dan beberapa orang kuatnya termasuk Dato' Ghazali Isohak.

Tidak ada seorang pemimpin Umno di kelantan yang menjangka bahawa kawasan Dewan Undangan Negeri Salor, Jelawat, Dabong, Ketereh dan kota Lama akan dapat dirampas oleh PAS dalam pilihan raya ini.

Kerana keempat-empat kawasan itu dianggap kubu Umno yang paling kebal sekali di Kelantan selepas Tengku Li mengambil alih pimpinan Umno negeri.

Sebelum ini, pemimpin Umno Kelantan menolak tentang kemungkinan dua orang menteri kerajaan Pusat, Dato' Annuar Musa dan Dato' Mustapha Muhamad akan tumbang dalam pilihan raya pada 29 November lepas kerana beberapa alasan tertentu.

Tetapi yang berlaku, kedua-dua menteri kerajaan Pusat itu telah ditewaskan oleh seorang calon PAS dan seorang calon keADILan yang tidak terkenal di negeri itu.

Apa yang lebih menarik, calon-calon PAS dan KeADILan, bukan sahaja dapat mengalahkan calon-calon BN, malah mereka berjaya mendapat majoriti yang lebih besar daripada pilihan raya sebelum ini.

Persoalan yang timbul sekarang, mengapa rakyat Kelantan dan Terengganu memberi mandat kepada PAS dalam pilihan raya kali ini?

Selain dari faktor Anwar Ibrahim, ada lagi faktor-faktor lain yang mendorong rakyat dari kedua-dua buah negeri itu menolak BN.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa kenyataan dan ucapan Dr. Mahathir dan Tengku Li yang memperlekeh dan memperkecilkan kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan ulama-ulama lain juga telah menyebabkan orang-orang Melayu lebih bersimpati kepada PAS.

Tindakan media tempatan termasuk RTM, TV3 dan NTV 7 memutar belitkan kenyataan dan ucapan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS lain juga, sedikit sebanyak telah menyentuh perasaan umat Islam yang mempertahankan kepimpinan ulama.

Sebenarnya, banyak lagi persoalan yang perlu direnong mengenai keputusan pilihan raya umum baru-baru ini.

Yang perlu diberi penjelasan oleh Suruhan Jaya Pilihan raya, ialah tentang jumlah undi-undi rosak lebih banyak daripada majoriti yang dimenangi oleh calon-calon BN di Pahang dan di Pulau Pinang.

Rakyat ingin mendapat penjelasan, mengapa hal ini boleh berlaku?

Kirim email ke