|
SEBERANG JAYA, 03 Dis. -- Setiausaha bahagian Umno Permatang Pauh,
Yahaya Jamaludin (kiri) menunjukkan surat pelucutan jawatan lapan ahli
jawatankuasa bahagian itu oleh pemangku Ketua Umno bahagian itu, Datuk
Ahmad Saad kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Ibrahim Saad di sini
hari ini. Turut memerhatikan Bendahari bahagian, Radzi Zainal Abidin
(kanan).
|
|
BUTTERWORTH, 3 Dis (Bernama) -- Sebanyak 21
anggota jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Permatang Pauh, termasuk lapan
orang yang dilucutkan jawatan mereka semalam, meletak jawatan hari ini
berkuatkuasa serta-merta.
Keputusan itu diambil setelah
mereka mengadakan perbincangan hampir sejam di Seberang Jaya, di sini hari
ini sebagai membantah tindakan Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Ahmad Saad
melucutkan jawatan lapan orang AJK itu semalam.
Lapan anggota yang
dilucutkan jawatan itu ialah Yahaya Jamaluddin (Setiausaha), Md Radzi
Zainal Abidin (Bendahari), Shalahudeen Abdul Hamid (Ketua Penerangan),
Ahmad Sahar Shuib, Sharifah Thasniah Syed Ali, Abu Bakar Hamid, Ramli
Othman dan Cik Rohaya Jaafar (AJK).
Ketika bercakap kepada
pemberita, Yahaya yang mewakili AJK yang digugurkan jawatan itu berkata
mereka menganggap tindakan Ahmad tidak sah kerana ia dilakukan secara
peribadi tanpa mengadakan mesyuarat jawatankuasa.
"Surat yang
dihantar kepada kami juga boleh dianggap tidak sah kerana menggunakan
kepala surat Pergerakan Wanita UMNO Permatang Pauh. Ini menunjukkan
tindakan itu dilakukan secara terburu-buru dan mempunyai muslihat,"
katanya.
Beliau berkata walaupun menganggap pelucutan jawatan itu
tidak sah mereka mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai
bantahan terhadap tindakan Ahmad yang dikatakan membelakangkan anggota
jawatankuasa bahagian.
Serentak dengan itu 13 lagi AJK bahagian
itu turut meletak jawatan hari ini kerana kecewa dengan tindakan Ahmad.
Mereka ialah Abdul Razak Osman, Abdul Razak Majid, Daud Taha,
Datuk Ishak Ismail, Raffic Mohammed, Abdul Hamid Abdullah, Abdul Kalam
Ahmad, Abdul Malik Shariff, Wahab Raof, Wafdi Auni Ahmad, Abdul Samad
Taib, Hajah Salemiah Abdul Rahman dan Dr Raden Md Amin (Naib Ketua
Bahagian).
Surat mengenai peletakan jawatan AJK terlibat dihantar
kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Abdullah Haji
Ahmad Badawi hari ini.
Jawatankuasa bahagian mempunyai 25 anggota
terdiri daripada lapan anggota dilantik dan 17 anggota dipilih.
Sementara itu, Abdul Razak Osman yang mendakwa mewakili 13 AJK itu
berkata, sepatutnya sebarang tindakan yang diambil perlu dibincang di
peringkat jawatankuasa bahagian tetapi dalam masalah ini, Ahmad bertindak
secara peribadi.
Bagaimanapun terpulang kepada Majlis Tertinggi
untuk membuat keputusan berhubung perkara itu, katanya.
Sementara
itu calon Barisan Nasional yang tewas bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh
pada pilihan raya baru-baru ini, Datuk Dr Ibrahim Saad, menyatakan bahawa
beliau turut menghadiri perjumpaan di Seberang Jaya itu.
Kehadirannya bertujuan memberi penjelasan kepada AJK terbabit
mengenai dakwaan Ahmad bahawa dalam mesyuarat penutup jentera pilihan
raya, beliau (Ibrahim) menggesa UMNO Bahagian itu menjalani proses
rombakan secara drastik, katanya kepada pemberita.
Ibrahim yang
juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata beliau kesal dengan
tindakan Ahmad yang mengaitkan namanya apabila mengambil tindakan
menggugurkan beberapa AJK bahagian itu dengan alasan untuk memantapkan
pentadbirannya.
Sepatutnya langkah itu hanya boleh diambil setelah
meneliti laporan post-mortem mengenai kekalahan calon-calon UMNO di
kawasan parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya baru-baru ini, katanya.
Menurutnya, laporan post-mortem itu hanya akan dikemukakan kepada
Jawatankuasa Pilihan Raya Bahagian pada Jumaat atau Sabtu depan.
Ibrahim menafikan membuat kenyataan bahawa UMNO Bahagian Permatang
Pauh perlu menjalani proses rombakan secara drastik seperti yang disebut
oleh Ahmad dalam kenyataan akhbarnya semalam.
--
BERNAMA
|