DAP MAHU PAS BERUNDING DENGAN PIHAK LAIN SEBELUM PERKENAL KHARAJ

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan PAS perlu berunding dengan semua sektor masyarakat di dalam dan luar negeri itu sebelum rang undang-undang Kharaj atau cukai ke atas orang bukan Islam diperkenalkan, kata Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Kit Siang.

Beliau berkata ini akan menunjukkan bahawa parti-parti dalam Barisan Alternatif adalah lebih komited daripada Barisan Nasional terhadap prinsip perundingan, kebertanggungjawapan dan ketelusan umum.

Lim berkata perkara itu dicadangkan pada mesyuarat majlis pemimpin-pemimpin barisan itu semalam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Lim berkata Barisan Alternatif tidak pernah bersetuju dengan cukai kharaj dan ianya tidak terkandung dalam manifesto bersama barisan itu atau dalam cadangan Belanjawan 2000nya.

Lim berkata adalah mustahil bagi PAS untuk memperkenalkan rang undang-undang itu kerana mereka tidak mampu membentuk Kerajaan Persekutuan sendiri walaupun sekiranya parti itu berjaya memenangi kesemua 63 kerusi Parlimen yang ditandinginya pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini bahawa PAS berhasrat memperkenalkan cukai kharaj bagi menggantikan cukai pendapatan jika mereka berjaya memenangi pilihan raya umum.

Lim berkata isu kharaj tidak pernah dikemukakan pada mesyuarat majlis pemimpin-pemimpin barisan itu yang mengadakan perjumpaan kira-kira 10 bulan sebelum pilihan raya umum 29 Nov. -- BERNAMA

Kirim email ke