Fadzil Noor dipilih jadi ketua pembangkang di parlimen

KUALA LUMPUR -- Pakatan pembangkang Malaysia semalam menamakan pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai ketua pembangkang di parlimen.

Langkah itu meletakkan buat pertama kalinya seorang anggota parlimen beragama Islam bagi jawatan tersebut sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mengambil alih kuasa pada 1981.

Barisan Alternatif memilih Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, sebagai ketua mereka, sebagai menghormati kemenangan besar parti itu dalam pilihan raya umum 29 November.

"Telah dipersetujui bahawa Datuk Fadzil Noor akan menjadi ketua pembangkang yang baru," kata pengerusi DAP, Encik Lim Kit Siang, yang pernah menjadi ketua pembangkang dalam Parlimen Malaysia selama 30 tahun sehingga beliau tewas dalam pilihan raya baru-baru ini.

PAS adalah parti pembangkang yang memenangi paling banyak kerusi dalam pilihan raya baru-baru ini, membolot 27 daripada 42 kerusi parlimen yang dimenangi Barisan Alternatif dan menguasai dua kerajaan negeri.

DAP menambah kerusinya di parlimen dari tujuh kepada 10 sementara Parti Keadilan Nasional yang dipimpin Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memenangi lima kerusi sementara Parti Rakyat Malaysia (PRM) gagal memenangi sebarang kerusi.

Barisan Nasional (BN) pimpinan Dr Mahathir memenangi 148 daripada 193 kerusi parlimen dan memperolehi mandat untuk menubuhkan kerajaan buat kali ke-10 sejak mencapai kemerdekaan dalam 1957.

Datuk Fadzil akan menjadi orang Melayu beragama Islam pertama menjadi ketua pembangkang sepanjang 18 tahun pemerintahan Dr Mahathir.

Ini mencerminkan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu sejak Datuk Seri Anwar disingkirkan tahun lalu.

Sepuluh hari selepas pilihan raya, Dr Mahathir masih mempertimbangkan barisan kabinet barunya.

Tugas Dr Mahathir menjadi semakin rumit akibat kekalahan Umno di beberapa kawasan. Umno memenangi 72 kerusi dalam parlimen, turun daripada 94 dalam pilihan raya 1995. -- Reuters.

Kirim email ke