Rancangan kharaj di T'ganu mungkin dibatal

PETALING JAYA -- Parti Islam SeMalaysia (PAS) membayangkan bahawa ia mungkin tidak akan melaksanakan cukai perniagaan atau kharaj di Terengganu jika rakyat tidak menyukainya, menurut laporan semalam.

Seorang anggota jawatankuasa pusat PAS, Encik Abdul Subky Latiff, berkata pelaksanaan kharaj hendaklah diselaraskan dengan undang-undang persekutuan dan penerimaan rakyat hendaklah dipertimbangkan.

"Kita mesti melihat terlebih dahulu sama ada rakyat sudah bersedia. Kita mahu rakyat berasa senang apabila kita melaksanakan sesuatu," demikian beliau ditukil sebagai berkata oleh akhbar The Sun semalam.

Menurut beliau, cadangan kharaj, yang mencetuskan kritikan hebat dari pelbagai pihak, bukan termasuk senarai dasar yang diberi keutamaan di Terengganu.

"Memang ada kharaj dalam Islam. Tetapi kami belum pasti lagi sama ada kami dapat melaksanakannya di peringkat negeri. Perlu dijalankan banyak kajian sebelum kami melaksanakan sistem itu," kata beliau.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, kelmarin berkata kerajaan PAS di Terengganu harus berhati-hati jika mahu mengenakan kharaj terhadap bukan Islam kerana ia boleh menghalang pelaburan modal ke negeri itu.

Jika ia dilaksanakan, ia bermakna pelabur asing terpaksa membayar cukai dua kali, iaitu cukai perniagaan 28 peratus kepada kerajaan pusat dan kharaj (antara 5 dengan 10 peratus) kepada kerajaan negeri.

"Jika pelabur tidak datang kerana cukai terlalu tinggi, ia akan memberi kesan ekonomi dan sosial," demikian beliau ditukil oleh akhbar Berita Harian Malaysia semalam.

Sementara itu, timbalan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Karpal Singh, kelmarin berkata isu kharaj boleh menjejas hubungan di kalangan pakatan pembangkang ekoran keputusan DAP hendak mengambil tindakan undang-undang ke atas PAS berhubung isu itu.

Kirim email ke