Imsak bukan bidaah: Profesor

KUALA LUMPUR, Rabu - Amalan berhenti makan apabila masuk waktu imsak yang diamalkan sekarang, bukan bidaah sebaliknya ulama menyokong ketetapan imsak bagi mengelak umat Islam terlanjur bersahur sehingga masuk waktu Subuh.

Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata amalan imsak juga terkandung dalam kitab muktabar mazhab Syafie.

"Kita berharap mereka yang membuat dakwaan bahawa imsak tidak ada dalam kitab mazhab Syafie supaya menyemaknya semula dengan teliti," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pusat Pengkajian al-Quran dan Hadis di Kelantan, Darul Quran Wassunah, yang meminta institusi agama Islam supaya membuat penelitian dan kajian semula berhubung ketetapan waktu imsak pada Ramadan ini bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Pengerusi pusat itu, Mohd Asri Yusoff, dipetik sebagai berkata berasaskan al-Quran dan hadis, tidak ada bukti jelas berhubung ketetapan waktu imsak.

Beliau berkata, pihaknya bersedia bermuzakarah dengan institusi agama termasuk Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam di seluruh negara bagi mencari titik pertemuan berhubung isu itu.

Dr Mahmood Zuhdi berkata, umat Islam perlu memahami konsep ihsan dalam Islam yang menekankan setiap umat menunaikan ibadat sebaik mungkin termasuk melebihkan sesuatu amalan daripada yang ditetapkan supaya sempurna.

"Seperti membasuh tangan ketika mengambil wuduk, kita disunatkan melebihkan basuhan atas sedikit daripada siku. Dalam konteks imsak, ia diperkenalkan supaya kita tidak terlanjur bersahur sehingga masuk waktu Subuh.

"Kita bagaimanapun tidak menyatakan bahawa puasa seseorang itu batal jika bersahur pada waktu imsak, kecuali jika beliau dengan sengaja makan selepas waktu Subuh.

"Ia adalah satu cara bercermat atau ikhtiar dalam Islam serta berpandukan konsep usul feqah," katanya.

Beliau juga berkata, tidak timbul soal imsak menghalang umat Islam merebut pahala melewatkan sahor.

Pensyarah Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Zalikhah Mohd Nor, pula berkata waktu imsak dijadikan panduan bagi mengingatkan umat Islam terhadap waktu untuk berhenti sahur.

"Memang ada nas al-Quran yang menyatakan bahawa berhenti sahur apabila sudah masuk waktu, iaitu apabila jelas fajar sadiq (masuk waktu Subuh), tetapi sebagai langkah berhati-hati kita berhenti makan lebih awal," kataya.

Beliau berkata, imsak juga tidak boleh dikatakan sebagai bidaah kerana Islam mengiktiraf adat yang tidak bercanggah dengan syarak.

Kirim email ke