Fadzil Noor Ketua PembangkangPETALING JAYA, Rabu - Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor, hari ini dipilih sebagai Ketua Pembangkang yang baru di Parlimen, menggantikan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang. Pemilihan itu dibuat pada mesyuarat pakatan pembangkang - barisan alternatif - di sini yang dipengerusikan oleh Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bercakap bagi pihak barisan alternatif selepas mesyuarat tiga jam itu, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali, berkata keputusan itu diambil kerana Pas mempunyai kerusi terbanyak di pihak pembangkang. Di kalangan anggota barisan alternatif, Pas memenangi 27 kerusi Parlimen, DAP (10), Keadilan (lima), manakala PRM tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum 29 November lalu. Jumlah keseluruhan kerusi Parlimen ialah 193. Kit Siang tewas bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera yang ditandinginya pada pilihan raya itu. "Atas cadangan DAP yang disokong oleh Keadilan, kita bersetuju memilih Fadzil sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen," kata Syed Husin. Mesyuarat hari ini dihadiri oleh pengerusi atau presiden serta setiausaha agung empat parti dalam barisan alternatif yang merangkumi Keadilan, Pas, DAP dan PRM. Turut hadir ialah Fadzil, Kit Siang dan penasihat seumur hidup DAP, Dr Chen Man Hin. Syed Husin berkata, mereka juga memperakui pandangan Kit Siang bahawa Ketua Pembangkang harus diberikan status menteri. Semalan, Kit Siang antara lain berkata dengan status baru itu, ia akan meningkatkan demokrasi di Malaysia. Menurut Kit Siang, elaun Ketua Pembangkang juga harus sama dengan elaun yang diberikan kepada seorang Menteri Kabinet. Ketua Pembangkang juga perlu diberi kemudahan dan keistimewaan lain seperti yang dinikmati oleh Menteri Kabinet. Mengenai isu kharaj, Syed Husin berkata, Fadzil menerangkan dalam mesyuarat itu bahawa perkara berkenaan sebenarnya sedang dikaji oleh kerajaan Pas Terengganu dari segi kesesuaian serta kesannya. "Sebenarnya, soal ini timbul bila seorang pemberita bertanya (Menteri Besar Terengganu) apakah maksud kharaj itu dan beliau terangkan, dan mulai daripada itulah, timbul perkara ini. Perkara ini belum dicadang untuk dilaksanakan, tetapi baru dikaji. Ia diperbesar-besarkan oleh media saja," katanya. Syed Husin berkata, tidak ada jangka masa tertentu yang ditetapkan bila kajian itu akan siap. "Akan ada perundingan di antara parti-parti mengenai pelaksanaan perkara seperti ini (kharaj)," katanya. Mengenai masa depan barisan alternatif yang gagal menafikan majoriti dua pertiga BN pada pilihan raya itu, Syed Husin berkata pakatan itu akan diteruskan. "Barisan alternatif akan berterusan dan masih kukuh dan akan diperkukuhkan," katanya. Beliau berkata, mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana terbuka dan membincangkan pelbagai perkara, termasuk masa depan pakatan itu. "Masa depan kita baik, kalau ada pilihan raya kecil pun kita bersedia," katanya. - Bernama |
