*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ramadan mengimbau kenangan silam

 Oleh Wan Faris Fawwaz

  

 SEMASA orang Arab memilih nama-nama bulan, Ramadan telah diambil bagi 
menamakan salah satu daripadanya. Ramadan bermaksud 'sangat panas' atau 
'panas terik'.

 Berkebetulan pula pada ketika itu, bulan Ramadan ini mengalami
perubahan cuaca  panas terik. Bulan inilah kemudiannya dipilih oleh
Allah untuk diturunkan al-Quran buat  kali pertama di gua Hira' pada
saat Rasulullah s.a.w. bermunajat dan berkhalwat ke  hadrat IIahi.

 Kemudiannya Allah menyebut di dalam al-Quran nama bulan yang penuh
berkat ini di  dalam firman-Nya yang bermaksud: "Bulan Ramadan adalah
bulan yang di dalamnya  diturunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk bagi
manusia dan berbagai-bagai  keterangan yang menjadi petunjuk dan
pemisah di antara yang hak dan yang batil."  (al-Baqarah: 85).

 Demikian kehendak Allah memilih apa-apa sahaja yang dikehendaki-Nya,
selaras  dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan Tuhanmu menciptakan
apa-apa yang  dikehendaki dan memilih apa-apa yang dikehendaki."
(al-Qashash: 68).

 Sebagaimana Allah memilih Muhammad s.a.w. sebagai manusia paling
mulia, hari  Jumaat sebagai penghulu segala hari, demikianlah Dia
menjadikan bulan Ramadan  sebagai bulan yang paling unggul, khusus
untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. Malah di  dalamnya pula Allah
menjadikan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan,  malam
al-Qadar.

 Setiap detik daripada bulan Ramadan ini penuh dengan keberkatan dan
limpahan  rahmat daripada Allah Taala. Bulan ini merupakan bulan
pembersih segala kekotoran,  zahir dan batin. Adalah menjadi hak mutlak
bagi setiap orang hamba untuk  menyucikan diri masing-masing daripada
dosa dan nista melalui taubat dan istighfar  kepada Allah.

 Jika dikenang sejarah silam, pada bulan ini juga para pejuang Islam di
bawah  pimpinan Rasulullah s.a.w mencatatkan kemenangan bersejarah di
dalam  pertempuran yang pertama dalam sejarah perjuangan Baginda s.a.w.

 Perang Badar sememangnya merupakan pertempuran hidup atau mati
perjuangan  Islam yang tertekan oleh berbagai-bagai lapisan masyarakat
di Madinah, Makkah dan  orang-orang kafir di Semenanjung Tanah Arab.

 Walaupun terpaksa menghadapi suasana panas terik, lapar, dahaga, letih
dan segala  macam kesukaran, namun akhirnya mereka berjaya menunjukkan
keunggulan mereka  pada bulan Ramadan lebih seribu empat ratus tahun
lalu.

 Tentera Islam seramai 313 orang yang bersenjatakan pelepah tamar dan 
kelengkapan perang yang paling ringkas, berjaya mengalahkan 1000 orang
tentera  Musyrikin Quraisy yang lengkap dengan senjata yang dikira
canggih pada ketika itu.

 Dengan kemenangan ini, Islam dipandang mulia dan semakin disegani.
Lebih  daripada itu juga, kemenangan di Medan Badar membawa mesej
dakwah yang  penting untuk menarik manusia kepada risalah Muhammad
s.a.w.

 Bulan Ramadan ini juga pernah mencatatkan kejayaan Rasulullah s.a.w
bersama  Sahabat r.a. merempuh kubu kekuatan Musyrikin yang
bermaharajalela di Kota  Makkah.

 Para Sahabat r.a. berjaya menghancurkan kekuatan mereka dan membuka
semula  Makkah serta membersihkan Tanah Suci daripada berhala - kecil
dan besar - yang  bertaburan di sana-sini.

 Bermula dengan pembukaan Kota Makkah inilah, maka Rasulullah s.a.w.
bersama  para sahabat r.a. mengatur semula strategi mengembangkan agama
Islam ke utara,  selatan, timur dan barat dunia.

 Sehingga kini, kita berpeluang menikmati iman dan Islam hasil usaha
berterusan para  pendakwah yang diasuh dan didik oleh Rasulullah s.a.w
itu yang kemudiannya diikuti  oleh para sahabat r.a., tabi'in dan
seterusnya kepada kita.

 Tanpa usaha yang berterusan, kita mungkin masih kekal dalam kejahilan.
Atas  penghayatan ini juga, maka bagi kita yang sedang menikmati nikmat
iman dan Islam  ini sepatutnya berasa risau terhadap nasib anak cucu
dan keturunan kita yang akan  datang. Adakah mereka masih berpeluang
mendapat iman dan Islam jika sekiranya  dakwah dan seruan ke arah Islam
sudah tiada lagi?

 Bagi kita, inilah saat yang bermakna untuk memikirkan tentang peranan
kita sebagai  seorang Islam yang berkewajipan untuk meneruskan
kerja-kerja dakwah.

 Justeru itu, Ramadan mengimbau kembali kenangan silam yang banyak
memberikan  kesedaran dan kekuatan kepada umat Islam. Bersempena dengan
ini, seharusnya  kita berasa amat bahagia berada dalam bulan yang penuh
dengan keberkatan.

 Atas rasa kegembiraan inilah, Rasulullah s.a.w bersabda pada saat
munculnya  Ramadan dengan katanya yang bermaksud: "Telah datang
kepadamu bulan  Ramadan penghulu segala bulan. Telah datang kepadamu
bulan puasa yang  membawa segala rupa keberkatan, maka alangkah
mulianya tetamu yang datang itu."  (Riwayat at-Tabrani).



� harakah

Ke Laman Utama
http://members.xoom.com/harakah2/semasa/welcome.html




----------------------------------------------------------------
Get your free email from AltaVista at http://altavista.iname.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke