*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
PUASA - Suatu Hikmah.......
Kejadian manusia pada hakikatnya terdiri daripada jasad dan roh
(al-Hijr : 29).
Kerana itu, apabila seseorang itu berpuasa, ia hendaklah menahan
jasadnya daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan
puasanya, seperti makan-minum dan sebagainya, tidak melakukan pekerjaan
maksiat dan mungkar yang lahir daripada perbuatan anggota zahir dan
batin. Amalan batin yang berkaitan dengan roh yang perlu dijauhi adalah
seperti sifat angkuh, riak, rasa hasad, buruk prasangka dan sebagainya.
Hanya dengan menahan runtuhan jasad dan roh seperti ini sahajalah maka
tujuan berpuasa, iaitu untuk melahirkan rasa takwa pada diri itu
terlaksana. Itulah matlamat utama berpuasa (al-Baqarah : 183). Puasa
mengajar manusia mengawal nafsu dan bersifat sabar. Nafsu yang yang
dimaksudkan di sini bukan hanya merujuk kepada nafsu makan dan minum
sahaja, tetapi merangkumi berbagai faedah batin yang berkaitan dengan
roh, seperti yang dijelaskan.
Orang yang berpuasa, dengan menahan makan dan minum tetapi membiarkan
sifat-sifat jahat batin tidak akan memperoleh darjat takwa. Sifat takwa
ini tidak akan lahir atau tersemai dalam roh jika seseorang itu hanya
menahan makan dan minum ketika berpuasa.
Manusia normal mempunyai sifat-sifat jahat batin seperti yang
dijelaskan, tetapi ilmu yang dimiliki, pengalaman yang dilalui,
latihan-latihan ibadah yang berkaitan dengan roh dan amalan yang
dilakukan juga faktor-faktor lain boleh mengurangkan lahirnya
ransangan-ransangan untuk menonjolkan sifat-sifat jahat yang lahir
daripada runtunan jiwa (roh), ke satu tahap yang paling minimum.
Di antara cara untuk membendung sifat jahat batin itu ialah dengan
berpuasa. Apabila sifat-sifat jahat itu dapat dihindarkan atau
dielakkan pada satu peringkat yang paling minimum, maka ketika itu
dengan sendirinya diri kita akan semakin hampir (taqarrub) kepada Allah
S.W.T.
Banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menggalakkan setiap orang Islam itu
agar menghampirkan diri kepada Allah S.W.T. dengan berpuasa. Selain
merupakan salah satu jalan untuk bertaqarrub, puasa juga memberi faedah
kepada orang yang mengamalkannya.
Puasa membenamkan pelbagai keinginan nafsu, sama ada nafsu fizikal
manusia atau yang lahir daripada rasa jahat hati. Sesungguhnya Neraka
itu terbuka akibat daripada tindak-tanduk yang lahir daripada dorongan
syahwat.
Ternyata di sini bahawa berpuasa adalah salah satu jalan menyekat atau
menjauhkan diri seseorang daripada Neraka. Keterangan ini disokong oleh
banyak Hadis, di antaranya ialah sabda Rasulullah S.A.W. yang
bermaksud.......
"Barang siapa berpuasa sehari pada jalan Allah S.W.T. nescaya Allah
S.W.T. akan mengadakan satu parit (pemisah) antaranya dan Neraka
seperti antara jarak langit dan bumi."
Abu Umamah telah meminta Rasulullah S.A.W. agar baginda menunjukkan
kepadanya satu amalan yang membolehkannya masuk Syurga. Rasulullah
S.A.W. menjawab menyuruh agar ia berpuasa. Tidak ada amalan lain yang
setanding dengan puasa dalam tujuan untuk mendapatkan ganjaran Syurga.
Baginda juga pernah bersabda kepada Huzaifah bin al-Yammaan dengan
katanya yang bermaksud.......
"Wahai Huzaifah, barang siapa dimatikan pada suatu hari ketika ia
berpuasa kerana Allah azza wa jalla, nescaya Allah S.W.T. memasukkan
dia di dalam Syurga."
PUASA ENAM -
Puasa Enam ialah berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal. Cara
yang utama ialah berpuasa dalam bulan berkenaan dengan berturut- turut,
selepas Hari Raya tanpa diselangi oleh hari tidak puasa.
Di antara fadhilat puasa enam ini ialah diberi pahala puasa sepanjang
tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah Hadis yang bermaksud.......
Daripada Ayyub R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W. ada bersabda.......
"Barang siapa berpuasa dalam bulan Ramadhan kemudian meneruskannya
dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti
berpuasa setahun penuh."
Menyempurnakan kekurangan yang terjadi ketika berpuasa di bulan
Ramadhan.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. ada bersabda yang bermaksud...
"Sesungguhnya Allah mencipta tujuh petala langit dan bumi selama enam
hari dalam bulan tersebut, Allah Ta'ala mencatatkan baginya kebaikan
sebanyak bilangan makhluk yang telah diciptakanNya, dan Allah
menghapuskan kejahatannya serta mengangkatkan darjatnya."
PUASA SUNAT NABI DAUD -
Nabi Allah Daud puasa berselang hari, sehari puasa dan sehari tidak.
Inilah puasa yang paling afdhal berbanding dengan puasa-puasa sunat
lain. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin
Amir bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud.......
"Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari, itu adalah puasa Nabi Daud,
dan itulah seutama-tama puasa. Aku (Abdullah bin Amir) berkata: Saya
sanggup lebih daripada itu. Nabi S.A.W. menjawab : Tidak ada yang lebih
utama daripada itu."
PUASA TIGA HARI SETIAP BULAN -
Puasa tiga hari setiap bulan ialah puasa pada hari putih (abyad), iaitu
pada 13, 14, 15 haribulan. Ada Ulama' menyatakan bahawa hari- hari
tersebut ialah pada 12, 13 dan 14 haribulan. pendapat yang mahsyur
ialah pendapat pertama. Ini berdasarkan kepada Hadis berikut yang
bermaksud : Daripada Abu Zarr R.A. katanya, Rasulullah S.A.W.
bersabda.......
"Apabila engkau berpuasa tiga hari dalam dalam satu bulan, maka
berpuasalah pada tiga belas, empat belas dan lima belas hari bulan.
Baginda tidak pernah meninggalkan puasa pada hari-hari tersebut, sama
ada ketika musafir ataupun mukim. Masa untuk memulakan puasa ini juga
tidak ditentukan bulannya. Ini dijelaskan oleh Hadis daripada Muazah
al-Adawiyah, bahawasanya ia bertanya kepada Aishah R.A. .......
"Adakah Rasulullah S.A.W. berpuasa sebanyak tiga hari setiap bulan?
Aishah menjawab : Ya saya (Muazah) bertanya : Bermula dari bulan apa
baginda berpuasa? Ia menjawab : Baginda tidak mengira bermula dari
bulan mana ia berpuasa."
Sesungguhnya pahala atau ganjaran puasa ini amat besar seperti yang
dijelaskan oleh sebuah Hadis daripada Abdullah bin Amr bin al-As R.A.
katanya :
Rasulullah S.A.W. ada bersabda yang bermaksud.......
"Puasa tiga hari pada tiap-tiap bulan sama dengan puasa sepanjang
tahun."
PUASA ISNIN, KHAMIS -
Apabila ditanya tentang puasa Isnin, baginda Rasulullah S.A.W.
menyatakan bahawa pada hari Isnin itulah hari ia dilahirkan, hari ia
dilantik menjadi Rasul, juga hari al-Quran diturunkan.
Dalam sebuah Hadis lain, baginda ada menyebutkan bahawa semua perbuatan
manusia itu ditunjukkan oleh para Malaikat kepada Allah S.W.T. pada
hari Isnin dan Khamis. Baginda Rasulullah S.A.W. mahukan agar
amalan-amalan yang dilakukan olehnya itu ditunjukkan kepada Allah
S.W.T. ketika ia berpuasa.
Menurut sebuah Hadis daripada Abi Qatadah R.A., bahawasanya Rasulullah
S.A.W. telah ditanya tentang puasa hari Isnin, baginda menjawab,
menyatakan.......
"Bahawa itu adalah hari saya dilahirkan, dan hari saya diangkat menjadi
Rasul juga hari al-Quran itu diturunkan kepada saya."
Menurut sebuah Hadis daripada Abu Hurairah R.A. daripada Rasulullah
S.A.W., ia bersabda yang bermaksud.......
"Amalan-amalan itu ditunjukkan pada hari Isnin dan Khamis. Saya suka
andainya amalan saya itu ditunjukkan kepada Allah ketika saya sedang
berpuasa."
Wallahu ta'ala a'lam.......
Akhir sekali saya mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan "Selamat
Menghayati Syiar Ramadhan" dengan sepenuh ketakwaan, 'asyik dan maksyuk
ke Hadhrat Ilahi.
Salam Rohani Ramadhan untuk para-para al-Fakir, all staff Hizbi.net,
sahabat Muslimin dan Muslimat dan warga Hizbi.Net sekaliannya.
Wassalamu.......
� Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
----------------------------------------------------------------
Get your free email from AltaVista at http://altavista.iname.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: [EMAIL PROTECTED]