*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Islam dianggap musuh besar dunia Barat
Oleh SRI RUSMAYANI DAUD
MENGAPA Islam dipandang sebagai suatu ancaman bagi dunia Barat?
Mungkinkah kerana Islam memangnya 'telah bangun kembali' setelah
'tertidur' lebih dari 600 tahun? Kerana istilah 'kebangkitan' itukah
yang mungkin dirasakan 'menakut-nakutkan' umat lain?
Gambaran Islam di Barat telah banyak dibentuk oleh media massa yang
menulis tentang gerakan-gerakan Islam yang kononnya puak terroris dan
pengganas. Siapa yang tidak mendengar nama presiden Sadam Hussein
yang begitu digeruni oleh Amerika.
Siapakah yang tidak takut mendengar tentang gerakan-gerakan
revolusioner Islam yang bertindak merampas pesawat, menggempur dan
menyerang, dilakukan oleh gerakan ekstrim dengan mengatasnamakan
Islam. Malah yang takut termasuk Yasser Arafat kerana hal itu dapat
mengganggu proses perdamaian di Timur Tengah (di mana rekonsiliasi
Timur-Barat merugikan hak-hak warga Palestin).
Gambaran seperti itu ternyata membentuk minda negatif kepada para ahli
dan tokoh-tokoh politik dunia. Walaupun sebenarnya apabila komunis
hancur maka perang antara Barat dan Komunis telah digantikan dengan
perang antara Barat dan Islam.
Apabila Komunisme tidak lagi ditakuti, Barat menjadikan Islam musuh
tandingan lain dalam percaturan politik dunia. Malah NATO turut juga
mengatakan bahawa Islam adalah 'Komunisme Baru'. Bahkan bekas Perdana
Menteri Turki, Tansu Ciller, mengungkap bahawa Turki merupakan benteng
terakhir apabila jatuh ke tangan Islam akan menimbulkan konfrontasi
baru di dunia.
Runtuhnya negara 'Beruang Merah'
Ini membuat kita berfikir, mengapa agama Islam terus dilabel 'seram
dan buruk', fundamentalis, ekstrimis, militan dan sebagainya? Secara
politik ada dua peristiwa penting yang telah mengubah kekuatan dunia
secara dramatis hingga kelihatan tak berimbang.
Pertama:-Seperti yang sudah diperkatakan ialah kerana runtuhnya
'negara beruang merah' Soviet Union dalam proses de Leninisasi
Marxisme. Seiring dengan itu terjadilah proses penguburan ideologi
komunisme sebagai dasar negara.
Kedua: - Lumpuhnya pasukan perang Iraq di tangan pasukan Sekutu dalam
perang Teluk tahun 1990-1991.
Maka akibat dari kedua perkembangan bersejarah itu lahirlah apa yang
dikatakan dengan 'New World Order'. Mereka melihat kebangkitan kembali
Islam sebagai momok fundamentalis yang mengancam peradaban Barat
(Amerika).
Di samping faktor-faktor lain, adalah suatu hal yang penting apabila
kerap berlakunya semacam akar intelektualisme dan gerakan kebangkitan
Islam dulu mahupun sekarang.
Setelah Blok Timur yang dipimpin Soviet Union hancur, perseteruan
Barat Timur automatik tidak wujud lagi. Malah secara ekonomis pecahan
dari Blok Timur menjadi sangat bergantung pada Barat. Muncul
premis-premis politik di kalangan para analisis politik Barat, bahawa
kekuatan baru yang kini menjadi seteru Barat adalah Islam. Semangat
memusuhi Islam itu dikuatkan dengan berbagai gaya 'karya ilmiah' gaya
Samuel Huntington.
Garis-garis panas
Samuel Huntington adalah pengajar ilmu politik di Universiti Harvard,
di dalam tulisannya di jurnal Foreign Affair edisi musim panas,
melahirkan garis-garis panas yang akan mencabik-cabikkan dunia Islam
dalam perang masa akan datang. Itulah garis-garis yang kemudian
dikatakan sebagai 'strategi peradaban'.
Di dalam suasana baru, Barat lebih agresif mendiktat kemahuannya
keseluruhan dunia. Penekanan Barat itu mungkin tidak lagi secara
politik dan tentera seperti waktu perang Dingin dulu melainkan dengan
kekuatan ekonomi yang mereka miliki seolah-olah merekalah 'The Sole
Super Power'.
Dunia yang semula bergerak dengan dua kutub keseimbangan telah
menjadikan Amerika sebagai satu pusat kekuatan dunia. Kemudian Amerika
dengan negara industri Barat semakin mendominasi agenda 'Global Trade'
tak terkecuali agenda PBB.
Merupakan kecenderungan negara-negara maju menyalahgunakan PBB dan
organisasi-organisasi antarabangsa untuk kepentingan mereka
semata-mata. Malah negara-negara mengaku HAM ternyata bersikap mendua
dalam kes Bosnia, Somalia, Iraq, Iran, Sudan, Libya, Aljazair,
Palestin dan Kosovo. Dunia Islamlah pihak yang kalah dalam sistem PBB.
Islam di Barat digambarkan agresif dan penuh permusuhan khususnya oleh
Amerika. Anggapan negatif ini tidak terbentuk hanya di masa
akhir-akhir ini tetapi sejak perang Salibiyah atau mundurnya Islam di
Andalusia.
Orang Barat selalu berusaha supaya Islam tidak dapat bertapak di
Andalusia. Secara sederhana motivasi Barat dalam kaitan eksploitasi
dan kolonialisme telah wujud akarnya sejak abad XV ketika Inggeris
menjajah lebih separuh wilayah bumi. Seterusnya melanjutkan
kecenderungan imperialistiknya hingga kini.
Dalam konteks ini dapat kita fahami bila wujudnya i) pembersihan etnik
kaum Muslim di Bosnia dan Kosovo (oleh Serbia Yugoslavia), ii)
pemeriksaan kemudahan nuklear di Iraq sementara Israel dilindungi dari
persenjataan nuklear (di Dimona) dari diperiksa IAEA walaupun ianya
merupakan gudang persenjataan kimia dan nuklear.
Cemas terhadap kebangkitan Islam
Malah baru-baru ini Washington berusaha menggertak Islamabad untuk
menghapuskan perang nuklear. Di sinilah wujudnya diskriminasi kepada
umat dan negara Islam.
Begitu pencerobohan Amerika ke Afghanistan sendiri adalah didorong
oleh ketakutan mereka terhadap tercetusnya 'fundamentalis Islam'
begitu juga revolusi Iran. Dengan berakhirnya Perang Dingin telah
mendorong negara Eropah Timur untuk memperbaiki hubungan mereka dengan
Israel. Mereka cemas terhadap kebangkitan fundamentalisme Islam.
Sebenarnya Islam adalah agama damai dan selalu maju ke depan. Islam
mempunyai satu sistem sosial yang didasarkan pada ukhuwah Islamiyah.
Dalam politik, Islam menggunakan sistem demokrasi dan segala sesuatu
diputuskan atas dasar musyawarah.
Sebenarnya dunia Barat seharusnya tak perlu takut terhadap kebangkitan
Islam yang sebahagian orang diterjemah sebagai kebangkitan
'fundamentalisme' Islam. Islam memberi kesempatan untuk mengadakan
kerjasama dengan bangsa meski berlainan agama dan kepercayaan. Prinsip
ini tidak dimengerti oleh pihak Barat. Telah terjadi salah persepsi.
Berdirinya negara Islam adalah untuk membentuk negeri yang makmur,
aman dan sentosa penuh keberkatan ampunan Tuhan. Di mana terbukti
terbukanya peluang untuk ke depan sedarjat dengan bangsa lain
khususnya Kristian melalui pendidikan Barat.
Umat Islam akan bangkit kembali melalui penguasaan ilmu dan teknologi,
sebagaimana dulu Islam pernah kaya dengan para ilmuwan yang berwibawa.
Kini ramai generasi baru belajar di Barat, dari Eropah sampai di
Amerika. Banyak pelajar berbusana Muslim di London School of Economics
misalnya, Islam mampu mendorong ilmuwan dan ahli filosof-filosofnya
untuk mengkaji berbagai ilmu dan berfikir secara kritis hingga
karya-karya di bidang kedoktoran, mekanik, kimia, geografi, astronomi
dan sebagainya dapat memberi sumbangan besar bagi kemajuan dunia masa
kini.
Barat mengukur kemajuan atas pijakan peradabannya didasarkan kepada
material dengan mengabaikan rohani. Maka timbul kemudian adalah
autoriti agama kami memudar dan gereja makin di jauhi.
Dialog Barat - Islam
Kalau peradaban Barat merupakan refleksi kehidupan paling material
maka saat ini lalu siapakah yang dapat memainkan peranan penting dalam
mewujudkan perabadan yang ideal?
As Siba'i menjelaskan "Bukan dari peradaban yang hanya bertumpukan
pada pementingan material saja kerana yang ideal harus berpijak pada
ilmu, pemikiran yang lurus, bebas dari khurafat dan prasangka."
Kita tidak mahu Islam dikatakan 'ancaman' bagi dunia Barat. Maka
dengan itu kita mengadakan dialog-dialog antara Barat dan Islam antara
kaum cendekiawan dan para rohaniawan berbagai agama. Dengan itu kita
dapat menyelamatkan dunia dari malapetaka baru.
Kita tidak bertindak seperti Barat yang begitu eksploitif kepada dunia
Timur yang notabene sebahagian besarnya adalah negara-negara Muslim.
Kolonialisme Barat telah membentuk watak yang ekspansif, kolonialist,
imperialis, materialis dan konsumeris.
Dan jihad umat Islam hanya apabila Non Muslim mengganggu misi Islam
atau menyerang kaum Muslimin. Rasionalisasi ini dilakukan untuk
membantah tuduhan Barat bahawa Islam adalah agama kekerasan. Maka
janganlah gerakan-gerakan Islam diidentikkan dengan aksi-aksi
kekerasan sehingga parti-parti Islam digugat dengan konspirasi
antarabangsa.
Kelompok-kelompok Islam mendukung hak asasi manusia dan sebenarnya
merekalah yang menjadi sasaran kekerasan dan korban rasa takut,
provokasi, yang menyeksakan dan pembunuhan ditimbulkan oleh puak-puak
autotarianisme.
Di mana musuh-musuh mereka adalah sama iaitu pemerintah yang
menginjak-nginjak hak rakyat, monopoli, korupsi, kronisme, ketiadaan
akauntabiliti dan 'rule of law' dalam implementasi kekuasaan. Namun
dikatakan Islam puak terroris.
Di sini kita ingin bertanya mengapa kolonialisme dan eksploitasi
bangsa Barat terhadap bangsa Timur/Islam masih lagi terus berlangsung?
Yang muncul dalam beberapa bentuk seperti penetrasi budaya Barat,
produk telivisyen, parabola, al-ghazwul fikir (perang pemikiran)
sampai ke istilah globalisasi didalihkan untuk membenarkan berbagai
jenis pemaksaan yang jauh lebih mencengkam oleh Barat kepada bangsa
Timur yang Muslim.
Semua itu menunjukkan betapa daifnya Barat di mana di satu sisi merasa
diri sebagai jaguh demokrasi pemegang supremasi dan pemegang hak-hak
asasi manusia tetapi di sisi lain merekalah yang mewujudkan
perseteruan baru Barat versus Islam.
Pokoknya siapa mengancam siapa?
Ke Laman Utama
� harakah
http://members.xoom.com/harakah2/semasa/welcome.html
----------------------------------------------------------------
Get your free email from AltaVista at http://altavista.iname.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: [EMAIL PROTECTED]