*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum

SALAM RINDU ANAK RANTAU

Hari ini 28 Ramadan 1420, sudah hampir benar nak raya.
Aku terbayang betapa indahnya raya di bumi sendiri
tanpa salji dan tanpa baju sejuk dan jaket yang tebal
ini. Terbayang kueh mueh yang banyak dan bukan hanya
sekadar donut dari Dunkin Donut atau Safeway. Hhhhmm.
Raya oh raya.
Aku teringat akan dodol dan seorang sahabat pula baru
menghantar emel tentang dodol. Di manakah  dapat aku
cari dodol dalam salji ini ?? Oh la la. Aku sudah
berhenti untuk mencongak dan menghitung Tidak lagi aku
ingat kali keberapakah ini aku terpelusuk di rantau
orang bila menjelang fajar Syawal.

Aku terpaksa ke sebuah bandar besar sekitar 2 jam
perjalanan dari pekan kecil ini kerana ada sedikit
urusan. Memandangkan hari ini hari Jummaat maka aku
singgah untuk bersolat di sana didalam perjalanan
pulang. Khatib yang didatangkan khas dari Timur Tengah
ini sungguh mencuit hati. Khutbah beliau penuh
bersemangat mengingatkan aku tentang kecantikan Islam
lebih  lagi bila menyentuh tentang Aidil Fitri. Aku
teringat kata kata beliau " Islam bukanlah pakaian
satu saiz..one size fits all, tapi Islam adalah
pakaian yang custom made, tailored kepada semua orang.
One size fits all ini adalah budaya dan adat kita
semua tapi Islam lebih istimewa kerana ianya adalah
cara hidup " Ada anak jemaah yang mengangguk kepala
dan ada yang seperti tidak faham. Aku hanya mampu
tersenyum. 

Tidak dapat tidak fikiran aku melayang pada imam imam
kegemaranku di masjid masjid tanah air.
Ada yang membaca khutbah teks yang sama berulang ulang
kali kerana teks yang baru belum sampai dari Jabatan
Ugama dan ada yang tidak memakai sebarang teks.
Selepas solat Jumaat pula kepala ku memanjang cuba
mencari sahabat sahabat senegara tetapi entah kemana
perginya kesemua mereka ini. Boleh jadi banyak yang
terbang balik bercuti. Maklumlah semester belum lagi
bermula.  Alangkah baiknya jika aku juga boleh terbang
sewenang wenangnya.. Semangat ku untuk beraya sudah
meluap luap. Hanya besok sahaja hari raya.

Dalam perjalanan pulang ke kota kecil ini, aku sudah
tidak dapat menumpukan perhatian kepada jalanraya dan
persekitaran lagi. Aku sudah terbang jauh ke tanah
air. Gedung gedung besar seperi 
Kmart dan Target hanya kelihatan seperti kedai kedai
di Jln TAR. Mall kelihatan seperti Subang Parade dan
mana mana Mall di Lembah Kelang. Sam's Club dan Costco
kelihatan seperi Makro sahaja. Terbayang aku orang
ramai berpusu pusu masuk ke kedai kedai dan di tipu
oleh jualan murah yang tidak murah tetapi mahal.  

Dalam perjalanan pulang aku melepasi lapangan terbang
yang tersergam di pinggir kota. Pesawat pesawat 
meluncur ke awan ke destinasi dan menjunam untuk
mendarat. Aku sudah menjadi tidak keruan lagi. Pesawat
pesawat ini banyak membawa sejuta kenangan dan lebih
lebih lagi di hari raya ini. Aku terkenang ibu bapa ku
yang sering menunggu adik yang terbang pulang setiap
kali hari raya dan cuti semestar.  Aku juga terkenang
akan wajah ibu bapa ku dan mertua ku di KLIA kali
terakhir mata kami bertemu. Alangkah sayu sekali.
Pesawat dan lapangan terbang amat menusuk kalbu dan
jiwa. Mungkin kerana ianya melambangkan sebuah
perpisahan. Dua hati yang terpisah.  Ciuman dari emak
ku masih terbenam di fikiran. Pelukkan dari bapa dan
bapa mertua ku masih terasa hangat di dada.  Terkenang
akan pengorbanan ibu bapa yang tidak terkira banyaknya
membesar dan menyekolahkan aku. 

Aku memainkan kaset hari raya pula. Aku rasa Sheikh
Abdul Basit sudah puas mengaji untuk hari ini. . Kaset
raya terbitan EMI yang entah tahun berapa ini sayup
sayup membawa ku pulang. Lebuh raya empat lorong ini
sudah samar samar kelihatan.  Aku tidak lagi ada di
bumi asing.
Aku sesungguhnya berada di Lebuh Raya Utara Selatan
milik rakyat yang diamanahkan kepada PLUS. Aku sedang
memandu pulang untuk berhari raya di kampung laman. Oh
alangkah indahnya bumi pertiwi. Pokok pokok fir dan
pine yang bogel tidak berdaun kelihatan seperti pohon
pohon getah dan ladang sawit yang rendang. Subur
menghijau jauh mata memandang melihat ladang koperat.

Aku melepasi bas ekspress warna biru putih. Aku hanya
tersenyum girang. Adakah itu bas ekspress Greyhound
atau Ekspress Nasional atau Ekspress PPMP milik
PKNPerlis?. Pastinya itu Ekspress Nasional. Banyak
sekali kenangan dengan bas ekspress Nasional ini. Di
musim raya ini, inilah dia nadi penggerak rakyat.
Menghubungkan ukhwah dan silaturrahim.  Terbayang
manusia berebut rebut membeli tiket untuk pulang
beraya. Terbayang jua akan tiket tiket palsu dan
mereka mereka yang tidak bernasib baik.  Hentian Pudu
Raya menjelma dalam ingatan. Hentian bas yang dipenuhi
dengan carbon monoxide ini adalah seperti sarang
persinggahan dan membawa berjuta kenangan manis. Sejak
aku tingkatan satu Hentian Pudu Raya dan Ekspress
Nasional adalah seperti milik ku. Malah aku membawa
isteri ku pulang buat kali pertama ke Utara juga
melalui Ekspress Nasional. Alangkah romantis  sekali. 

Terdengar sayup sayup suara asing di radio dua hala. "
Berhati hati ada polis negeri di hadapan 5 batu, sila
pandu perlahan " Hanya suara seorang pemandu lori
treler 22 tayar yang baik hati. "Terima kasih lori
besar, Selamat Memandu" jawab ku ringkas memecahkan
lamunan tentang bas ekspress Greyhound. Polis negeri
oh polis daerah oh polis peronda lebuhraya. Aku tidak
fikir aku akan disaman polis hari ini. Besokkan hari
raya. Jika lah aku ditahan hari ini kerana memandu
melebihi 65 bsj aku hanya akan memberitahu bahawa aku
dalam perjalanan pulang ke kampung laman untuk bercuti
hari raya.  Pastinya dengan muka sedih, aku dilepaskan
pergi dengan amaran bertulis sahaja..

Terkenang aku akan polis polis peronda lebuh raya yang
berkerja gigih siang dan malam untuk memastikan
keselamatan pengguna jalanraya. Perangkap had laju di
mana mana membuatkan aku lebih berhati hati. Tidak
dapat tidak aku terkenang pada kakak iparku yang
disaman 3 kali dalam sehari kerana gagal
memperlahankan kereta bila masuk ke kawasan tol plaza.
Alangkah malangnya hari raya untuk dia pada tahun itu.
. Aku terkenang akan saman saman yang ku dapat dan
segala cerita cerita lucu yang ku berikan kepada Pak
Sarjan untuk melepaskan diri dari disaman.  Beliau
mendengar dengan penuh prihatin sambil terus menulis
saman. "Encik bolehlah menceritakan ini semua pada
Tuan Majistret di mahkamah nanti ,"jawab beliau mudah
sambil memberikan ku surat saman. Beliau hanya
menjalankan tugas yang diamanah oleh rakyat. Nak buat
lagu mana.

Stesen Minyak Amoco dengan lambang koperat biru merah
di tepi lebuh raya kelihatan seperti 
stesen minyak Petronas. Adakah aku sudah rabun warna
?. Petronas yang warna hijau seperti parti kegemaran
ku pasti tidak sama seperti Amoco yang berwarna biru.
Aku sudah kabur. Teh halia di kawasan R and R dan
makanan yang tidak sedap tetapi amat mahal sudah
memanggil manggil. Mahu sahaja aku berhenti,  tetapi
aku tidak perlukan petrol atau pun makanan. Emak ku
pasti menghidangkan makanan buka puasa  yang enak
enak. Terubuk bakar, gulai ikan bawal dan sayur masak
lemak mentarang pasti menunggu ku. Hhhmm menitis air
liur. Sungguh jauh sekali perjalanan ini.

Lamunan ku dikejutkan dengan suara garau dari  radio
sehala gelombang jarak dekat " Sila periksa nama dan
nombor lesen ini.....sila semak di peringkat daerah,
negeri dan pusat....sila tunggu...." Ini bermakna aku
berada hanya sekitar 3 batu dari perangkap had laju
terdekat. Siapalah pemandu yang kurang bernasib baik
ditahan dekat nak raya ini. Tiga batu masih jauh lagi
dan aku terkenang pula pada burung puyuh goreng dan
meriam buluh. Kedua duanya sedap sekali.


Ladang jagung yang kontang yang sudah siap di tuai
kelihatan seperti sawah bendang yang luas terbentang.
Aku sudah sampai ke Sungai Petani rupanya. Alangkah
indah sekali, sayup mata memandang. Dua jam lagi aku
pasti tiba ke rumah ku. Sudah menjadi lumrah aku
memilih susur keluar yang berbeda beda. Adakah hari
ini AS Utara atau AS Selatan atau Jitra atau Kodiang.
?

Kelihatan bendera Dixie berkibaran dari sebuah rumah 
milik peladang di tepi lebuh raya. Bendera bulankah
itu atau bendera dacing ?. Hanya di Utara bendera
bulan berkibaran sepanjang masa selain dari di
Kelantan. Alangkah megahnya bendera Dixie berkibaran
melambangkan sejarah negeri negeri Selatan Amerika dan
mengingati mereka mereka yang gugur di dalam perang
saudara. Atau bendera bulankah itu berkibaran megah?.
Melambangkan perjuangan tanpa henti untuk menegakkan
kalimah Allah.  Aku hanya mampu tersenyum bangga. 
Kedah dan Perlis milik siapa ?

"Beep....beep....beep....beep gelombang lebar Ka
dikesan" kata satu suara halus. Jarak menunjukkan
sekitar satu batu dari sumber gelombang 33.4 ke 36.0
Ghz. Adakah ini polis negeri atau polis daerah atau
peronda Lebuhraya dari IPK Kedah.?  Senyuman ku
menjadi hambar. Teringat aku pada peronda lebuhraya
yang meniarap di bawah jejambat di Rawang atau
bersembunyi di celah celah pokok bunga di Tangkak.  
Aku pasti polis negeri di hadapan sedang menunggu di
tempat kegemaran beliau. Besok kan hari raya...besok
kan hari raya. Terngiang ngiang difikiran sambil
memperlahankan dendangan dari P Ramlee  dan kedua dua
radio.

Raya atau tidak raya sebarang saman akan menaikkan
yuran insuran dan menambahkan mata pada lesen
memanduku.  Boleh jadi juga State Farm Insurance tidak
mahukan aku lagi sebagai pelanggan. Ini bukanlah MNI
atau mana mana syarikat insuran bawah pokok seperti di
tanah air . Tidak dapat tida,  aku lebih takut kepada
penambahan mata pada lesen memandukan yang belum ada
mata dan kenaikan kadar insuran premium daripada yuran
saman yang sekitar USD 130.00.

 Silap haribulan jika aku rajin ke Mahkamah dan
berjumpa Hakim mungkin aku tidak usah membayar apa
apa. Hanya buat muka sekupang dan menahan telinga
dileterkan oleh Hakim Daerah. Terkenang pada cerita
rakan rakan yang memilih untuk membasuh kereta  polis
bandaraya kerana tidak mahu/mampu  membayar  saman.
Perlahan lahan brek ku tekan dan had laju menurun ke
63 bsj.   Teringat ku pada Mahkamah Majistret Parit
Buntar dua minggu selepas hari raya yang pernah aku
singgah pada satu masa dan ketika kerana urusan
memandu melebihi had laju. Terasa sungguh ngeri berada
di kandang orang salah dan mengaku salah pada
kesalahan memandu melebih had laju. Aku bukannya
memandu melebihi had laju tapi sekadar lebih pantas
dari yang lain sahaja. Bunyi penukul milik Tuan
Majistret bila menjatuhkan hukuman denda sebanyak
RM250.00 masih jelas di fikiran.

Tiba tiba kedengaran bunyi beep yang berbeda dan
memanjang dan suara halus "gelombang K di kesan"
Kelihatan di hadapan kereta polis daerah memecut laju
dari arah berlawanan. Mungkinkah isterinya mau
melahirkan anak atau mungkin juga beliau lapar mencari
kueh raya atau donut.? Bunyi beep yang asal kembali
semula dan bertambah frekuensinya. Akhirnya bunyinya
memanjang tanpa henti dan semua lampu pengukur jarak
menyala. Aku berada sekitar setengah batu dan sudah
pun masuk di dalam lingkungan gelombang Ka. Aku tidak
melihat sebarang kereta polis  milik kerajaaan negeri
yang berwarna putih Ford Crown Victoria dengan lampu
merah biru dibumbung. Atau mungkin kah aku sedang
mencari Volvo Wagon 760 atau Proton Wira milik Peronda
lebuhraya. PLUS ?  Dimanakah dikau wahai pelaksana
undang undang ? Menjelmalah..

"Sila berhati hati pada beruang dalam kereta Camaro
hitam.... tanpa tanda...menghala kearah  barat di tepi
lebuh raya. Susur keluar nombor.....sedang menunggu
mangsa..Selamat  memandu semoga Tuhan Jesus bersama
tuan tuan" Satu suara pekat dialek selatan kedengaran
jelas datang dari radio dua hala. Aku hanya ketawa
terbahak bahak. Kereta peronda yang dicari cari berada
hanya dihadapan mata sekitar 50 meter. Sebuah kereta
sport Chevrolet Camaro hitam dan bercermin gelap tanpa
sebarang tanda dan insignia polis. .Sungguh licik.
Beruang hitam yang menyamar sedang menunggu mangsa.
Besok aku nak raya, jadi pergilah  tahan orang lain.
"Not today my friend....not ever..anywhere on this
planet " .

 Syukur pada Allah yang mengurniakan manusia akal
untuk mencipta alat alat canggih dan berteknologi
tinggi agar aku dapat makan ketupat tanpa jelmaan
wajah mana mana Sarjan,, Magistret atau pun beruang. 
Aku kembali semula pada kelajuan 75 bsj bilamana semua
bunyi beep menjadi begitu lemah. Lagu raya kembali
kedengaran. Tiba tiba, "Ibu pejabat, sila periksa
nombor lesen....." Nampaknya beruang hitam bertemu
dengan mangsanya jauh dibelakang. Kedengaran jauh para
pemandu lori treler bertukar tukar salam dan keadaan
lebuharaya .

Oh susur keluar ke kota kecil ku sudah menjelma
dihadapan. Rasa tidak puas sungguh memandu sekadar dua
jam ini. Perjalanan pulang ke rumah ku  memakan masa 5
jam dengan kelajuan 135 kmj dengan sekali berhenti
untuk mengisi petrol dan membeli jambu batu.  Aku
berasa mahu terus memandu agar benar benar sampai ke
rumah ku.  Tapi apakan daya aku hanya akan terlajak ke
bandar kecil yang lain pula. Biarlah aku terlajak
sampai Bukit Kayu Hitam....

Terbayang emakku menunggu di beranda dengan daun
ketupat di tangan. bersama jiran tetangga. Bapaku pula
seperti selalu mengecat rumah yang tak perlu dicat.
Kereta anak anak buah dan adik adik pasti tersusun di
bawah pokok mempelam dan konen. Alangkah indah sekali
melihat anak anak saudara berlari berkejaran.....
Alangkah indah sekali Hari raya di kampung
laman....air mata hiba gugur diatas salji putih.

Pada bayu dingin  
ku sampai kan doa dan impian
bersama hati yang hiba dan duka
dari jauh ku susun jari
inilah Salam Rindu Anak Rantau.


Wassalam

Adam Mohamad 
28 Ramadan 1420


=====
**Berhati hati di jalan raya Pandu Cermat Jiwa Selamat**
*********************************************************
          >>>>>>> 'EID UL FITR' MUBARAK <<<<<<<<<
*********************************************************
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Adam <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke