*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
January, 2000

Mencari alternatif di internet 

Kisah anak-anak muda yang kaya dengan idealisme baru
persuratkhabaran 

Apa yang membezakan laman web malaysiakini.com dengan
laman-laman web lain? 

"Adil dan benar," jelas Ng Boon Hooi, 26, seorang
wartawan kanan di sebuah laman web yang berkonsepkan
akhbar harian dalam talian (online newspaper) itu. 

Sementara wartawan Ajinder Kaur menambah, "berita kami
disiarkan dengan cepat, benar, dan menarik. Ia juga
merupakan sebuah laman yang serius, mempunyai
artikel-artikel daripada kolumnis yang berpengetahuan
dan berdaya intelek." 

Tetapi itu komen positif kakitangannya sendiri. Untuk
menilainya, anda perlulah ke alamat berikut
www.malaysiakini.com setiap hari. 

Laman web ini diketuai oleh pengarang Steven Gan, 35,
seorang wartawan yang berpengalaman bersama The Sun
dan sebuah akhbar harian di Thailand. Ketika bertugas
di akhbar tempatan itu, beliau pernah menyiasat isu
layanan buruk di sebuah kem pendatang asing tetapi
pengarangnya tidak berani menerbitkannya. 

Maklumat itu kemudiannya digunakan oleh Tenaganita,
pimpinan Irene Fernandez, yang mencipta kontroversi
dengan Kementerian Dalam Negeri (waktu itu, Timbalan
Menterinya, Megat Junid Megat Ayub) dan kini ia
menjadi perbicaraan terpanjang kes "menyebarkan
maklumat palsu" di mahkamah, seperti juga kes Lim Guan
Eng, bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, dan bekas
Penolong Setiausaha Agung DAP. Steven turut menjadi
saksi bagi kes ini yang dikendalikan oleh peguam bela
yang dikenali umum, Sivarasa Rasiah. 

Steven Gan pernah ditahan ketika Persidangan Asia
Pasifik Mengenai Timor Timur (APCET) pada 1996 selama
lima hari, lebih lama dari beberapa wartawan lain.
Selain menulis, beliau pernah aktif di Australia
bersama Tian Chua (sekarang Naib Presiden, Parti
Keadilan Nasional), dan dalam Persatuan Pelajar Asia
(ASA) bersama Premesh Chandran (Pegawai Penyelidik di
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia), Elizabeth Wong
(Penyelaras, Suaram) -- aliran progresif yang membina
aktivisme baru di kalangan sekelompok anak muda bukan
Melayu, khususnya Cina pada awal 1990-an. 

Berdasarkan pengalaman dan idealisme itu, maka laman
web ini memperkenalkan dirinya sebagai "satu projek
media internet yang memaparkan liputan berita secara
bebas, gaya kewartawanan penyiasatan, analisis berita
yang terperinci" yang dikenalikan oleh "para wartawan
yang sedih melihat keadaan media massa kita hari ini."

Malaysiakini.com berjanji menawarkan berita setiap
hari, ruangan pengesan media dan kolum-kolum dari
penulis muda serta dinamis pada setiap minggu. 

"Tetapi kami masih baru," jelas pengarangnya, "belum
sampai dua bulan. Kakitangan kami hanya tujuh orang
dan jumlah ini tidak cukup untuk memenuhi janji kami
itu." Malaysiakini.com berhasrat mendapatkan lebih
ramai wartawan yang berpengalaman untuk memenuhi
harapan tinggi pembaca -- saban hari mereka menulis
mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan buat
sekumpulan anak muda ini. 

Selain Steven, Boon Hooi, Ajinder, malaysiakini.com
dianggotai oleh 'Ein Azmi (wartawan), Sashe Kumar,
Aslam Fazal (kedua-duanya webmaster) dan saya sendiri
(wartawan). Selain saya yang baru menyertainya minggu
pertama bulan Disember lalu, semua mereka memulakan
operasi sejak 15 November lagi tetapi mula melaporkan
secara rasmi pada 20 November lalu, hari penamaan
calon bagi pilihanraya umum ke-10 yang baru berakhir. 

Kumpulan anak muda inilah yang bertungkus-lumus
melaporkan perkembangan politik sepanjang tempoh
kempen pilihanraya. Walaupun terhad dan masih baru,
hasil kegigihan mereka, malaysiakini berjaya
mendahului liputan dari media massa yang lain. 

Pada malam 29 November, lebih kurang jam 10,
malaysiakini merupakan media pertama yang melaporkan
Terengganu sudah jatuh ke tangan PAS ketika semua
media elektronik lain "sengaja menyembunyikan
maklumat" itu sehinggalah awal pagi keesokan harinya. 

Laman web ini menerima 75,000 kunjungan pada hari itu
sahaja dan 250,000 kunjungan sepanjang 10 hari sejak
mula beroperasi. Ini membuktikan pengguna Internet
kini bersedia mendapatkan maklumat alternatif melalui
laman web, walaupun stesyen TV dan radio secara

tradisinya melaporkan perkembangan terkini keputusan
pilihanraya umum. Sepanjang Disember, laman ini
menerima lebih 20,000 kunjungan sehari bergantung pada
isu-isu politik.

Sepanjang kempen pilihanraya itu juga, Malaysiakini
berjaya mendedahkan foto dalam sebuah akhbar berbahasa
Cina, Sin Chew Jit Poh, pada 14 November lalu,
sebenarnya sudah diubah -- meletakkan kepala Timbalan
Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi ke atas badan bekas TPM, Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Akibatnya ketua pengarang akhbar itu memohon
maaf secara terbuka. 

Malaysiakini pernah meramalkan parti-parti pembangkang
akan memenangi 45 buah kerusi Parlimen sahaja. Selain
itu, laman web ini merupakan akhbar pertama melaporkan
kemungkinan Timbalan Presiden KeADILan melepaskan
jawatannya dan juga melaporkan kes perbicaraan Anwar
Ibrahim akan disebut pada Sabtu 18 Disember --
kemudiannya diikuti oleh akhbar-akhbar harian utama
yang sudah lama dan kukuh. 

Berita tentang perkembangan politik di Terengganu
selepas pentadbiran PAS mendapat perhatian khusus dari
malaysiakini.com. Berita-berita tentang kerajaan
negeri membenarkan penternakan khinzir, penubuhan
jawatankuasa hisbah, langkah kerajaan mengisytiharkan
harta exco kepada umum dan juga siasatan skandal
Perwaja -- mendahului akhbar-akhbar harian tempatan,
malah stesyen TV dan radio. 

Oleh itu, wartawan-wartawan muda di malaysiakini.com
optimis laman web mereka ini mempunyai masa depan yang
cerah. 

"Tidak disangka," jelas Aslam, "akhbar di laman web
juga mendapat mendapat sambutan yang begitu baik. Saya
percaya kami mempunyai masa depan yang cerah kerana
setiap hari ada pertambahan pengguna."

Sementara 'Ein, seorang lulusan komunikasi massa dari
Universiti Putra Malaysia, menerima hakikat bahawa
Internet masih baru tetapi beliau yakin ia boleh
menjadi alternatif sumber maklumat memandangkan media
massa tempatan tidak bebas dan suka memadamkan
berita-berita dari pihak-pihak tertentu. 

Semua mereka seronok bertugas di sini. "Usia
kakitangannya hampir sebaya," komen Aslam; "seronok
bekerja dengan rakan-rakan yang muda, progresif, bebas
dan daripada pelbagai kaum," ulas Boon Hooi;
"kakitangannya saling faham memahami, saya tidak rasa
kekok," 'Ein berpendapat dan kata Ajinder pula,
"suasana pejabat amat menyenangkan, kerja jadi
menyeronokkan." 

Selain Harakah yang pernah menyebutkan petikan-petikan
yang diambil dari laporan malaysiakini.com, tidak ada
akhbar harian tempatan lain yang melaporkannya. Tetapi

beberapa agensi berita utama dari luar negeri, seperti
BBC London, pengesan internet peringkat Asia CNET.com,
The Nation (Bangkok) dan Washington Post, pernah
memetik sumber dan menemubual malaysiakini.com. 

Memang seronok bertugas bersama sekumpulan anak muda,
selain Steven dan saya, 31, semua wartawan dan
webmaster berusia 20-an. Kata Steven kepada saya,
"inilah harapan kita, sama ada dalam perjuangan
politik atau kebebasan media." 

Dalam satu wawancara dengan Julian Matthews dari
CNET.com, pengarang malaysiakini.com ini menyebut:
"Dalam tempoh lima tahun akan datang, golongan
merekalah yang membentuk generasi digital dan mereka
akan menjadi satu daya perubahan yang mesti
diperhitungkan." 

=====
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: counterbalance <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke