Sikap bermusim pengundi bukan Melayu
Oleh: Ibnu Muslim
MENGIMBAS kembali pilihan raya Majlis-majlis Perbandaran pada awal tahun 60-an dahulu. Kedudukan Parti Perikatan yang di dukung oleh Umno, MCA dan MIC di kawasan-kawasan bandar tidak terjamin.
Ini kerana pengundi Cina dan India yang terdiri dari kaum pekerja terpengaruh dengan slogan yang dilaung-laungkan oleh Front Sosialis (Parti Buruh-Parti Rakyat) untuk memperjuangkan nasib kaum buruh dan kaum tani.
Secara kebetulan pula MCA pada waktu itu dianggap sebagai sebuah parti Cina yang dikuasai oleh tauke-tauke yang menentang kepentingan kaum pekerja dan tani.
Sementara MIC pula dikenali sebagai sebuah parti yang dipimpin oleh golongan kaum modal India termasuk Ceti yang menindas dan menekan masyarakat India.
Sebab itulah, kedua-dua parti yang mendukung Perikatan itu, tidak begitu kuat pengaruhnya di kalangan masyarakat Cina dan India di negeri-negeri tertentu di Semenanjung.
Dalam pilihan raya Majlis-Majlis Perbandaran di Pulau Pinang, Melaka dan Seremban pada awal tahun 60-an dulu, calon-calon MCA, MIC dan Umno telah mengalami kekalahan yang paling teruk.
Akibat kekalahan teruk Parti itu, maka Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Melaka dan Seremban telah dikuasai oleh Front Sosialis.
Ada pendapat yang mengatakan, kalau pilihan raya diadakan di Kuala Lumpur pada waktu itu, maka sudah pasti Bandaraya Kuala Lumpur" akan dikuasai oleh Front Sosialis kerana sebahagian besar pengundi Cina dan India memihak kepada Parti Buruh dan Parti Rakyat.
Begitu juga dalam pilihan raya umum 1959, Front Sosialis telah memenangi 8 kerusi parlimen dan beberapa buah kerusi Dewan-Dewan Undangan Negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Front sosialis itu, semuanya kawasan majoriti Cina dan India, kecuali kawasan parlimen Setapak yang dimenangi oleh Allahyarham Ahmad Boestaman dan kawasan Dewan Undangan Negeri Sentol yang dimenangi Allahyarham Nazar Nong.
Hanya, tiga orang tokoh Parti Rakyat (Melayu) yang menang dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Melaka dan Seremban, iaitu saudara Omar Othman, (Pulau Pinang) Allahyarham Hasnol Hadi (Dato' Bandar Melaka) dan Allahyarham Ibrahim Baba di Seremban.
Pengundi-pengundi bukan Melayu di kawasan Parlimen Ipoh, Mengelembu, Ulu Kinta dan Batu Gajah juga telah menolak calon-calon Perikatan (MCA) dalam pilihan raya umum tahun 1959.
Keempat-empat kawasan itu dimenangi oleh calon-calon Parti Kemajuan Rakyat (PPP) yang berpusat di Ipoh, Perak.
Nama-nama calon PPP yang menang besar dalam pilihan raya umum pertama itu, ialah DR Seenivasagam di Ipoh, SP Seenivasagam (dua beradik) di Mengelembu, Chan Swee di Ulu Kinta dan Khong Kok Yat di Batu Gajah.
Seorang calon Parti Malaya telah menang di Melaka, dan tiga orang calon bebas telah mengalahkan calon-calon MCA (Perikatan) di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Yang memberi kemenangan kepada calon-calon bebas dan Parti Malaya itu, ialah pengundi-pengundi bukan Melayu di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka.
Pendek kata, MCA dan MIC tidak mendapat sokongan yang sewajarnya daripada pengundi-pengundi Cina dan India dalam awal tahun 60-an dulu.
Kemenangan calon-calon MCA dan India dalam pilihan raya umum yang pertama dulu,ialah kerana sokongan dan undi orang-orang Melayu, sedangkan masyarakat Cina dan India memihak kepada parti-parti pembangkang dan calon-calon bebas.
Bagaimanapun, situasi politik tanah air mulai tegang dan bergelora, apabila Allahyarham Tunku Abdul Rahman mengumumkan penubuhan "Malaysia" yang meliputi Singapura, Sabah dan Sarawak.
Pembentukan Malaysia itu dianggap sebagai rancangan penjajah British, maka Front Sosialis dan PAS telah menentang rancangan tersebut.
Presiden Seokarno dan pemerintah Indonesia juga berpendapat penjajah British mendalangi pembentukan Malaysia itu. Akhirnya membawa kepada berlakunya konfrontasi antara dua negara jiran.
Ini bererti bahawa pilihan raya umum 1964, di zaman konfrontasi di antara dua negara yang serumpun.
Tengku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak telah menggunakan isu konfrontasi ini sebagai senjata dan alat bagi menyatu padukan rakyat dari semua kaum untuk menyokong kerajaan Perikatan dalam menghadapi saat-saat yang genting itu.
Dengan menggunakan isu konfrontasi ini, Perikatan telah berjaya mendapat sokongan orang-orang Cina dan India untuk menghadapi Indonesia yang dikatakan hendak mengganyang Malaysia.
Keputusan pilihan raya umum 1964, jelas membuktikan bahawa pengundi-pengundi Cina dan India tidak mempunyai pendirian dan sikap yang tegas dalam membuat keputusan untuk menentukan parti mana yang harus disokong.
Apa yang jelas, masyarakat Cina dan India, mereka mengundi mengikut arus dan suasana politik di musim pilihan raya.
Sebagai contohnya, pengundi-pengundi Cina dan India di Pulau Pinang, Selangor dan di bandar-bandar lain telah menyokong calon-calon parti pembangkang di waktu negara berada dalam keadaan aman dan damai seperti dalam tahun 1959 yang lalu.
Tetapi bila negara sedang menghadapi ancaman dan konfrontasi dari luar sebagaimana yang berlaku dalam tahun 1963-1964, maka para pengundi Cina dan India terpaksa memberi sokongan kepada calon-calon parti yang memerintah. (Perikatan).
Perubahan sikap pengundi-pengundi Cina dan India itu telah menyebabkan Front Sosialis kehilangan 6 kerusi parlimen dan beberapa orang Adunnya juga tidak dapat mempertahan kerusinya masing-masing.
Pendek kata, pengundi-pengundi Cina dan India telah memihak kepada parti yang memerintah (Perikatan) di waktu negara sedang menghadapi konfrontasi dari pemerintah Indonesia.
Walau bagaimanapun, sikap dan pendirian pengundi-pengundi bukan Melayu ini berubah bila berakhirnya konfrontasi pada pertengahan tahun 1967.
Bila situasi politik sudah kembali normal, dan tidak ada lagi ancaman dari pegawai-pegawai cawangan Khas (SB) untuk menahan dan menangkap penyokong-penyokong parti pembangkang di bawah Akta ISA, maka golongan menengah dan kaum pekerja cina dan India mulai mendekati parti-parti pembangkang pula.
Pembubaran Parti Buruh selepas pilihan raya umum 1964, telah memberi peluang kepada DAP untuk memperkuatkan kedudukannya di kalangan masyarakat Cina dan India.
Boleh dikatakan sebahagian besar dari golongan sederhana (tidak kiri ) dalam Parti Buruh menyertai DAP secara beramai-ramai sebelum menjelang pilihan raya umum 1969.
Pada pertengahan tahun 1967 pula, muncul sebuah parti baru pembangkang "Gerakan"yang dipimpin oleh golongan intelek dan profesional.
Dalam pilihan raya 1969, Gerakan telah berjaya menguasai Pulau Pinang telah memenangi sebahagian besar kawasan parlimen di negeri itu.
Kegawatan politik dan ekonomi menjelang alaf 2000, memperlihatkan pengundi Cina dan India bertukar arah lagi dalam pilihan raya ke-10.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
