*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum wbt,

Saya sertakan dibawah suatu artikel yg cukup baik utk
sama-sama direnungkan. Bacalah dgn nama Allah, dengan
hati yg terbuka. Semuga ada manfaat.

POLITIK DALAM ISLAM

--------------------------------------------------------------------------------

Politik dan Islam tidak dapat dipisahkan, justeru ia
adalah sebahagian daripada cara hidup manusia.  Namun
politik yang bagaimana?  Ini yang menjadi persoalan. 
Sebahagian daripada pejuang Islam sendiri kabur dengan
makna dan kehendak politik sebenarnya.  Mereka
terikut-ikut dengan aliran politik barat dan
mengharapkan Islam dapat ditegakkan dengan cara itu. 
Malah mereka marah jika ada pejuang Islam lain yang
tidak mahu terjebak dengan perangkap musuh-musuh Islam
melalui bidang politik tajaan orang-orang kafir. 

Mengapa ini terjadi? Ini disebabkan umat Islam tidak
pernah didedahkan kepada  satu bentuk politik yang
bersih, kuat dan stratejik.  Kini sudah tiba masanya
kita mendedahkan apa itu politik Rasulullah dan
bagaimana matlamat serta perlaksanaannya.  Jarang
benar ketokohan Rasulullah SAW ditonjolkan dalam
bentuk bagaimana  baginda berpolitik untuk menaikkan
Islam di tengah jahiliah.  Bagaimana ia  memproses
peribadi-peribadi yang dulunya menentang Islam?  Ke
arah cinta dan sanggup mati kerana Islam.  Jika rahsia
ini terserlah, ertinya semakin cerahlah jalan ke arah
mencontohi Rasulullah sebagai ahli politik. 
Politik ialah bagaimana hendak mentadbir manusia
mengikut jalan dan matlamat yang telah ditentukan. 
Politik Islam bercita-cita untuk mendidik dan membawa
manusia supaya mempunyai kesedaran, kefahaman,
penghayatan dan seterusnya dapat menegakkan
kalimatullah di seluruh bidang kehidupan.  Ini dibuat
melalui saranan, contoh tauladan, memberi pimpinan dan
lain-lain cara yang dibolehkan oleh syariat. 
Tujuannya agar semua manusia terhindar daripada Neraka
dan dapat masuk ke dalam Syurga. 

Jadi, inilah garis politik Rasulullah.  Dan di bidang
ini tiada siapa yang dapat menandingi baginda. 
Rasulullah SAW tidak memimpin secara politik
demokrasi, secara diktator atau pun secara autokrasi. 
Dengan kefahaman yang tinggi tentang jiwa, akal, dan
perasaan manusia, Rasulullah SAW telah berjaya
memimpin secara fitrah.  Maksudnya, Rasulullah SAW
membawa manusia ke jalan yang diyakininya tanpa
paksaan dan tekanan.  Ia mampu memindahkan hasrat yang
terpendam dilubuk hatinya menjadi hasrat orang lain. 
Ertinya politik Rasulullah ialah politik dari hati ke
hati. 

Allah berfirman: 
"Tiada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyata
kebenaran daripada kesesatan." 

Atas dasar ini, Rasulullah SAW berjaya menawan jiwa
manusia dan daripada situlah seluruh harta, tenaga dan
nyawa pengikut-pengikutnya diserah bulat-bulat untuk
Islam. 

Di antara fitrah semulajadi manusia ialah mahu
pandangannya dihormati dan dihargai.  Rasulullah sedar
hakikat ini.  Oleh itu apabila Rasulullah berhadapan
dengan ahli ekonomi seperti Abd Rahman bin Auf, yang
minat serta kecenderungannya di bidang perniagaan,
beliau memupuk bakat itu supaya terus subur dan
berkembang.  Akhirnya Abdul Rahman Bin Auf pun menjadi
pengusaha yang berjaya. 

Bila Rasulullah SAW berhadapan dengan pakar di bidang
ketenteraan seperti Khalid Al Walid, maka semangat
perwiranya terus disuburkan ke arah jihad
fisabilillah, kebalikan daripada semangat Assobiyah
(Nasionalisma).  Bila baginda berhadapan dengan ahli
fikir, pakar strateji dan kepala perancang seperti
Umar IbnulKhattab, maka Rasulullah SAW terus mendorong
ke arah bagaimana untuk menggunakan kepakaran itu buat
kemenangan dan kejayaan Islam.  Oleh itu setiap
individu di kalangan para sahabat akan rasa dihargai
kerana bakat dan kelebihan semulajadinya berperanan
dalam perjuangan Islam. Seorang buruh, petani,
peniaga, pentadbir dan semua lapisan masyarakat telah
disusun oleh Rasulullah SAW dalam satu barisan  yang
mempunyai kegunaan dan peranan masing-masing. Atas
dasar ini, jika ada gerakan Islam  yang menumpukan
perhatian mereka kepada golongan 'elit' dan 'intelek'
sahaja, perjuangan mereka sebenarnya telah menyimpang
daripada sirah Rasulullah SAW.! 

Mari kita lihat secara dekat bagaimana
individu-individu (yang mempunyai berbagai-bagai
kepakaran) itu dapat diubah daripada membina jahiliyah
(dengan kelebihan-kelebihan itu) kepada membina Islam.
Sebelum para sahabat diajak menegakkan Islam melalui
bidang masing-masing, Rasulullah terlebih dahulu
menanam iman di dalam jiwa mereka.  Agar dengan itu
mereka akan menjadi orang yang cintakan hidup akherat,
rindu dengan syurga, gerun dengan neraka dan kasih
sayang sesama Islam.  Keadaan daripada penanaman iman
dan tauhid di dalam hati individu-individu itu, maka
lahirlah peribadi-peribadi yang telah berubah
wataknya.  Dari watak yang bengis dan kejam kepada
kasih sayang dan pemaaf.  Daripada seorang yang
pembohong, jahil dan mengutamakan hawa nafsu kepada
seorang yang jujur, berilmu dan menegakkan hukum
Allah. 

Tegasnya, Rasulullah SAW telah berjaya menukar mereka
yang dulunya menyembah berhala kepada menyembah Allah.
 Mereka yang dulunya terbiar, hidup dalam perhambaan
dan terasuh dengan jalan yang salah oleh para pemimpin
jahiliyyah kepada satu cara hidup dan perjuangan  di
mana bakat semulajadi terus dipupuk dan dibajai. 

Daripada  penanaman iman ini lahirlah ahli fikir yang
agung sedangkan dahulu ia adalah peminum arak. 
Lahirlah pentadbir-pentadbir yang cekap sedangkan
dahulunya mereka adalah golongan bawahan yang
tertindas.  Individu-individu yang dulunya
diperhambakan oleh hawa nafsu kini menjadi panglima
perang yang gigih berperang menentang orang kafir dan
menjadi abid yang sentiasa berzikir.  Inilah hasil
siasah Rasulullah SAW. 

Soalnya sekarang, bagaimana Rasulullah SAW menanam
Iman ke dalam jiwa para sahabat?  Bagaimana Rasulullah
berjaya menukar watak-watak jahiliyyah kepada peribadi
mukmin sekaligus dapat menggunakan bakat-bakat mereka
untuk Islam?  Jawabnya, melalui dakwah dan tarbiah. 
Untuk itu Rasulullah SAW datang ke tengah masyarakat
dengan menyebarkan ilmu pengetahuan, memberi
tunjukajar yang baik, lunak dan menarik, bijaksana,
berakhlak serta membina model masyarakat yang
disarankan melalui amal makrufat yang memberi menafaat
kepada masyarakat. 

Dengan ini secara otomatik Islam akan diyakini sebagai
cara hidup yang terbaik untuk mengatur kehidupan
manusia.  Islam nescaya diterima sepenuhnya untuk
mengatur dan menguruskan harta, perniagaan sawah
ladang, keluarga, kampung halaman,  negeri, negara dan
dunia seluruhnya. 

Apabila Islam diterima untuk mengatur kehidupan maka
terbuktilah keindahan dan kegagahannya.  Bidang
ekonomi ditadbir penuh jujur, cermat, cekap dan
mendapat keuntungan yang lumayan .  Begitu juga di
bidang pertanian, tanaman dan penternakan mendapat 
hasil yang berkat oleh tangan petani yang beriman.
Kampung ditadbir oleh ketua-ketua yang bijaksana
sehingga terbinalah kampung seperti mana yang
disifatkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran: 
"Jikalau penduduk-penduduk satu kampung beriman kepada
Allah dan bertakwa nescaya sesungguhnya Kami
(Allah)akan bukakan ke atas mereka itu keberkatan
daripada langit dan bumi." 

Begitu juga , Rasulullah SAW berjaya menghasilkan
pentadbir-pentadbir peringkat negara sehingga
tertegaklah apa yang difirmankan Allah: 
"Negara makmur yang mendapat keampunan Tuhan." 

Ini lah rahsia politik Rasulullah.  Bermula dengan
tapak dakwah dan tarbiah yang menanamkan iman didalam
hati sanubari setiap individu, sehinggalah keyakinan
kepada ALlah, rasul dan hari akherat tergambar dalam
sikap dan tindakan.  Tahap kedua ialah memupuk bakat
dan kelebihan semulajadi yang ada pada
individu-individu yang beriman itu dan mula mengatur
bidang-bidang yang sesuai supaya bakat mereka terus
berperanan.  Akhirnya mulalah satu bentuk kehidupan
Islam yang menyeluruh dapat dilihat dan dirasakan oleh
masyarakat.  Kemudian dengan sendirinya Islam akan
diakui sebagai satu-satunya agama yang mampu mengatur
hidup manusia. Ertinya politik Islam bermula daripada
mentadbir diri, keluarga kemudian membina cara hidup
Islam di seluruh aspek kehidupan samada di bidang 
pertanian, perniagaan, perubatan, pendidikan dan
akhirnya sampailah ke peringkat mengatur negara dan
dunia! 

Bentuk politik yang beginilah yang wajib ada dalam
gerakan Islam. Dan siapa yang menolaknya, ertinya ia
telah memisahkan agama daripada politik.  Politik
tidak boleh difahami secara dangkal mengikut kefahaman
setengah-setengah pihak.  Politik bukanlah sekadar
mengundi dalam pilihanraya "ala-demokrasi" Barat,
bukan sekadar mendaftar sebagai anggota mana-mana
pertubuhan politik atau sekadar mahu dan bercita-cita
untuk menjadi anggota parlimen dan lain-lain lagi. 
Jika fahaman-fahaman ini masih berakar umbi dalam
kepala kita...ini  bererti kefahaman politik kita
masih sekular, masih politik yang terpisah dari agama
yang pada hakikatnya masih jauh daripada politik
Rasulullah SAW. 

Secara terus terang kita ingin bertanya, adakah
ahli-ahli politik beragama Islam sekarang mengikut
jejak politik Rasulullah? Tidak ! Tidak ! Kebanyakan
ahli politik pada hari ini mencedok bulat-bulat
politik demokrasi Barat yang penuh dengan rebutan
kuasa, guling mengguling dan tidak pernah sunyi dengan
pertarungan sesama sendiri.  Mengapa ini terjadi? Ini
disebabkan politik Barat mempunyai satu matlamat iaitu
kuasa.  Dengan kuasa mereka yakin dapat mengatur hidup
manusia mengikut lunas-lunas ideologi yang mereka
yakini.  Kapitalis dahagakan kuasa untuk melagang cara
hidup kapitalis, pemuja faham sosialis inginkan kuasa
untuk menyusun masyarakat berdasarkan cara hidup
sosialis... tetapi Islam tidak menganggap kuasa
sebagai satu-satunya jalan untuk menegakkan cara hidup
Islam. Ertinya pejuang Islam tidak perlu mencontohi
pejuang Nasionalis, kapitalis, sosialis, kominis yang
menganggap kuasa adalah penentu segala-galanya. 
Atas dasar ini, politik Rasulullah SAW bukan politik
yang bertujuan untuk mendapat kuasa. Rasulullah
berjuang terhadap orang kafir bukan hendak meruntuhkan
kuasanya, tetapi hendak meruntuhkan akidah dan
keyakinan yang karut marut dalam jiwa mereka.  Mereka
boleh duduk pada tempat masing-masing . Bila akidah
dan keyakinan berubah, berubahlah akhlak, sikap dan
pentadbiran.  Sejarah telah membuktikan kejayaan
politik Rasulullah ini, Khalid Al Walid pada masa
jahiliyyah adalah panglima tentera yang menggugat
tentera Islam, manakala beliau memeluk Islam, beliau
tetap dikekalkan sebagai panglima tentera.  Saidina
Umar, pada masa sebelum Islam adalah seorang pembesar
Quraisy, manakala memeluk Islam, beliau tetap dianggap
Rasulullah SAW sebagai pembesar juga. Begitulah juga
yang berlaku kepada saudagar besar dan ketua-ketua
suku Arab seperti Abdul Rahman bin Auf, Abu Sufian,
Amru Al As dan lain-lain lagi.  Mereka tetap duduk dan
terus berperanan dengan bakat masing-masing...cuma
hati dan jiwa sahaja yang telah diubah! 

Alangkah baiknya jika siasah Rasulullah SAW ini
dicontohi oleh para pejuang Islam sepanjang zaman,
iaitu dengan menawan hati bukan menawan kerusi, 
mengubah jiwa bukan merampas kuasa. 

Malangnya ini tidak berlaku.  Bahkan ada pihak yang
bertanya, adakah akan berjaya jika kita mengikut
siasah Rasulullah?  Sampai bila kita harus menunggu
untuk menawan hati dan mengubah jiwa manusia?
Soalan-soalan ini jelas menunjukkan sikap gopoh, tidak
faham dan lemah jiwa. 

Jika orang bertanya,  akan berjayakah kalau kita ikut
cara Rasulullah berpolitik? Soalan ini samalah seperti
kita bertanya adakah kita akan berjaya jika kita
mengikut Rasulullah di bidang perniagaan?  Jawabnya, 
Rasulullah memang berjaya.  Tidak ada catitan sejarah
yang menunjukkan Rasulullah "bangkrup" dalam
perniagaannya, sedangkan selama kita mengikut sistem
perniagaan dan ekonomi Barat berapa ramai yang jatuh
muflis? Berapa banyak hutang negara kita?  Berapa
ramai taukeh-taukeh besar bertukar menjadi banduan
sekelip mata?  Berapa banyak tanah yang dicagar di
bank tergadai? Inilah jawapan kepada orang yang mahu
mempertahankan sistem ekonomi Barat. 

Dan inilah juga yang akan menimpa jika kita terus
menafikan sistem politik Rasulullah.  Kejayaan
Rasulullah di bidang siasah telah jelas dan siapa yang
menurut jejak langkahnya, InsyaAllah akan turut
berjaya.  Tanpa bersusah-susah memerah otak untuk
mencari punca krisis politik yang menimpa dunia hari
ini, akui sahajalah kerana kita menolak sistem politik
Rasulullah. 

Sukarno terperangkap dengan permainan politiknya
sendiri dan akhirnya mati sebagai tahanan di dalam
rumahnya sendiri. Benn Bella digulingkan dan
disumbatkan di dalam penjara.  Sadat ditembak dan mati
terhina di muncung senjata perajuritnya sendiri.  Dan
ramai lagi pemimpin-pemimpin Islam yang telah, sedang
dan akan jatuh terhina akibat berpolitik cara Barat
iaitu cara politik yang menyalahi sunnah Rasulullah
SAW. 

Malah pejuang-pejuang Islam yang benar-benar ingin
menegakkan Islam tetapi masih menerima jalan politik
Baratpun, turut terhina dengan kekalahan
memanjang..... 
P
olitik berpilihanraya ala-barat bukanlah politik yang
dicetuskan oleh sunnah.  Cara ini menyeret orang yang
tidak tahu menahu dalam pemerintahan seperti orang
kampung, para petani, para nelayan ke kancah politik
yang penuh tipu daya dan putar belit..... Memang
mereka boleh berhujah dengan kata-kata, "Politic is
not dirty, but politicians make it dirty," tetapi kita
tidak pernah melihat kejujuran dihargai dalam politik.
 Memang ada ahli politik yang jujur, tetapi politik
bukanlah satu medan yang mana orang jujur boleh
bertahan lama!! 

Sebab itu kita ingin menyatakan bahawa," Politic is a
dirty game, the politicians make it dirtier," Sudah
lumrah mengikut falsafah politik barat, matlamat
menghalalkan cara.  Sedangkan mengikut politik Islam,
matlamat yang benar mesti diperjuangkan mengikut jalan
yang benar.  Dan Islam menolak jalan perjuangan yang
salah walaupun cita-cita dan matlamatnya baik. 
Inilah politik barat.  Satu bidang yang memang ada
jurang yang dirancang di hujungnya.  Mahu tidak mahu,
kita "terpaksa" jatuh ke dalamnya. Oleh itu kita mesti
menolak 100% matlamat, kaedah dan apa saja yang
berkaitan dengannya.  Menerimanya bererti menjemput
kehinaan.  Bertolak ansur dengannya bererti rela
menerima kemusnahan.  Sekarang timbul persoalan, 
siapakah ahli siasah yang sebenarnya? 

Ahli siasah yang sebenarnya ialah dia yang dapat
merancang, bertindak dan berjuang menegakkan Islam
dalam apa keadaan sekalipun.  Rasulullah adalah 'Bapa
Politik Islam'.  Baginda dapat mencari ruang di
celah-celah asakan jahilyyah untuk menegakkan Islam. 
Rencananya dapat menembusi dinding Darul Nadwah,
"Parlimen" orang Arab  jahiliyyah dan berjaya menukar
orang yang pernah duduk di kerusi Darul Nadwah menjadi
"orang penting" dalam pemerintahan Islam. Sebab itu
bukanlah mustahil jika ada pejuang Islam yang mampu
mengubah tokoh-tokoh politik yang sedang berkuasa
sekarang kepada cara pemerintahan dan pentadbiran
Islam.  Sekali lagi, kita katakan....Ini tidak
mustahil!!! 

Tetapi kenyataan ini akan menimbulkan isu kontravesial
terutamanya di kalangan parti-parti politik yang
bercorak Islam.  Apa yang dilakukan oleh parti-parti
ini bukanlah hendak menawan hati lawannya dengan
menanam iman dan takutkan Allah, tetapi hendak menawan
kedudukan dan kerusi-kerusi kebesaran mereka.  Sebab
itu tidak hairanlah jika datang tentangan yang hebat
dari lawan mereka dan timbul tuduhan-tuduhan daripada
masyarakat Islam yang mengatakan mereka inginkan
pangkat dan kedudukan, bukan hendak meninggikan
syariat Islam. 

Lebih-lebih lagi , parti-parti politik ini suka
mencari kesalahan parti musuhnya, kemudian
ditelanjangkan di khalayak ramai.  Ini bukan cara
politik Rasulullah dan ini menyimpang terus dari
ajaran Islam.  Jika kita terus menerus mengamalkan
cara ini, percayalah, perjuangan kita tidak akan
sampai ke mana, orang semakin hari semakin lari dan
benci kepada kita.  Akibat daripada ini, kita tuduh
masyarakat lari dari Islam, walaupun yang sebenarnya
mereka lari daripada kita.  Sebaliknya di pihak
masyarakat pula , mereka menganggap Islam itu ganas,
kasar dan menyusahkan sedangkan yang sebenarnya ahli
politik itulah yang bersikap demikian, bukan ajaran
Islam! 

Pengalaman-pengalaman yang kita telah alami,
terutamanya peristiwa-peristiwwa pahit yang melanda
masyarakat Islam akibat perebutan kuasa sepatutnya
telah lama mengajar kita bahawa inilah masa yang
paling sesuai untuk kembali kepada sistem politik
Rasulullah.  Masyarakat sepatutnya dapat menilai
politik yang mana yang dapat memberi kebahgiaan dan
keamanan untuk negara.  Apakah kita masih mahu
mempertahankan sistem politik yang menimbulkan
huru-hara?  Atau mulai saat ini kita menerima politik
Rasulullah yang telah terbukti berjaya?  Terpulanglah
kepada masyarakat menimbangkannya. 


__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Sani Norku <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke