*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum,

KEWAJIPAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Di dalam Al Quran Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada 
kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, merekalah 
orang-orang yang beruntung." (Ali Imran: 104)
Di dalam ayat ini Allah telah menetapkan bahawa tugas menegakkan yang makruf 
dan mencegah kemungkaran adalah fardhu kifayah yang wajib kepada umat Islam. 
Apabila hukum ini dicuaikan maka akan berdosalah seluruh umat itu.
Tugas berdakwah, menyeru manusia ke jalan Allah dan menjauhi jalan-jalan 
Syaitan adalah tugas semua. Namun yang diberatkan untuk tugas ini ialah 
golongan ulama atau orang-orang yang berilmu. Sementara bagi masyarakat umum 
pula menjadi kewajipan bagi mereka untuk belajar dan berusaha menambah 
pengetahuan Islam.
Peri pentingnya amar makruf nahi mungkar ini dilaksanakan ialah Allah akan 
menurunkan bala bagi umat yang mencuaikannya. Dalam sejarah telah tercatat, 
pernah seorang sahabat, Ibnu Abbas r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w: 
"Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun di dalamnya terdapat 
orang-orang soleh? Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa, disebabkan mereka 
memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhakai Allah, 
maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas 
penduduknya. Begitu sekali kepentingan tanggungjawab amar makruf nahi 
mungkar ini atas orang-orang Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah 
dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), jikalau tidak berkuasa hendaklah 
dicegah dengan lisannya, jikalau tidak berkuasa juga, hendaklah dicegah 
dengan hatinya(membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah 
iman."
Ertinya kerja mencegah kemungkaran ini perlu dibuat oleh sesiapa sahaja yang 
berdepan dengan perbuatan mungkar dan perlu mencegahnya dengan apa cara 
sekalipun. Hinggalah apabila tidak mampu, ia mesti membenci perbuatan 
mungkar. Kebencian seumpama itu disifatkan oleh Baginda Rasul sebagai tahap 
iman yang paling lemah. Bagaimana jika seseorang itu melihat kemungkaran 
berleluasa di depan matanya tanpa rasa benci sedikitpun? Mungkin ini 
menunjukkan tiada iman langsung. Kita berlindung dari Allah.
Bagi yang berkuasa (mengikut tahap kuasa yang ada) wajib menggunakan 
kuasanya dengan sebaik mungkin untuk mencegah kemungkaran. Rasuah adalah 
antara contoh kemungkaran yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Bagi 
yang berkuasa di bidang ini, maka wajiblah mencegah dengan menangkap orang 
yang rasuah. Bagi yang mengetahui perkara rasuah ini, wajib membuat lapuran 
kepada pihak berkuasa. Islam melarang sama sekali perbuatan mungkar seperti 
itu didiamkan.
Seorang suami yang berkuasa terhadap anak dan isterinya, wajib mengajak anak 
isterinya ke arah kebaikan dan apabila mereka melakukan maksiat, wajiblah 
ditegah dan diambil tindakan yang sewajarnya. Begitu jugalah guru terhadap 
muridnya, pemimpin terhadap pengikut atau rakyatnya.
Apabila tidak mampu (kerana tiada kuasa), wajib bagi yang melihat maksiat 
berlaku itu menggunakan lidahnya atau percakapannya untuk memberi nasihat 
atau dakwah kepada si pelaku kemungkaran. Jika tidak mampu juga hendaklah 
dia membenci perbuatan mungkar itu.
Oleh itu, amar makruf nahi mungkar tidak boleh dipandang remeh dan di 
cuaikan. Namun dalam perlaksanaannya terdapat adab-adab yang perlu dipatuhi. 
Ianya mesti dengan penuh hikmah dan bijaksana. Juga tidak boleh sengaja 
mencari kesalahan orang lain, kerana mengintai-intai salah orang juga adalah 
dosa!
Amar makruf nahi mungkar mesti dijalankan dalam semua peringkat masyarakat. 
Bermula dari diri, keluarga, masyarakat, negara hinggalah ke alam sejagat.
Firman Allah bermaksud:
"Peliharalah diri dan keluarga kamu dari api Neraka." (At Tahrim:6)
Perintah ini menjelaskan kewajipan setiap indivudu menghindarkan dosa dan 
mungkar yang boleh menjerumuskan mereka dan keluarga mereka ke dalam azab 
api Neraka. Usaha membaiki diri dan keluarga, mendekatkan diri kepada Allah 
dan mencegah dari segala bentuk kemungkaran mestilah dibuat oleh setiap yang 
beriman.
Usaha ini juga tidak terhenti kepada diri dan keluarga sahaja, malah terus 
berkembang ke dalam masyarakat dan negara, bahkan alam sejagat.
Namun yang terpenting ialah kita mulakan dari diri dan keluarga kerana 
kaedah itu yang dikehendaki Allah dan telah ditunjukkan oleh Rasulullah 
s.a.w. Janganlah kita hanya menuding jari kepada penguasa-penguasa dan 
bertanya, mengapa tidak dilaksanakan amar makruf nahi mungkar? Sedangkan di 
dalam keluarga kita masih ada yang tidak sembahyang, masih derhaka kepada 
Allah dan Rasul, derhaka kepada ibu bapa, cuai mendidik anak isteri. Isteri 
tidak taat suami. Anak-anak degil dan melawan ibu bapa. Ini semua adalah 
mungkar yang perlu dicegah.
Di Akhirat nanti, apabila Allah tanya kita, mengapa dibiarkan anak tidak 
tahu sembahyang, adakah kita menjawab, kerana pemerintah tidak jalankan amar 
makruf nahi mungkar? Dosa itu adalah dosa kita, maka kitalah yang 
menanggungnya.
Bagi penguasa dan pemerintah, kerana dia berkuasa maka wajiblah ia 
melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat dan negaranya. Segala 
kebaikan hendaklah didorong dan segala kemungkaran dan maksiat hendaklah 
dibanteras hingga ke akar umbi.
Bagi guru, ulama dan pendakwah wajib melaksanakan amar makruf nahi mungkar 
dengan terus menerus mendidik masayarakat ke jalan Allah. Agar masyarakat 
yang terdidik akan taat dan patuh kepada Allah, sekaligus meninggalkan 
larangan dan kebencian Allah.
Bagaimana kedudukannya jika tugas amar makruf nahi mungkar ini diabaikan? 
Antara bala yang diturunkan Allah ialah:
1. Zikir tidak diterima Allah walau sebanyak mana sekalipun.
2. Taubat tidak diterima.
3. Doa tidak makbul. Apabila amar makruf nahi mungkar tidak ditegakkan, doa 
mereka Allah tidak terima walaupun doa orang soleh, malah bala pula yang 
ditimpakan Allah.
4. Iman terancam. Apabila amar makruf nahi mungkar ditinggalkan, maksiat 
akan bemaharajalela. Gejala sosial meningkat. Ini akan mengganggu 
orang-orang yang hendak beribadah.
5. Allah datangkan pemimpin yang zalim. Apabila maksiat telah berleluasa dan 
amar makruf nahi mungkar tidak ditegakkan, kemungkinan orang-orang jahat 
akan dilantik menjadi pemimpin. Apabila pemimpin zalim dilantik, jangan 
salahkan mereka, kerana kita juga sebenarnya bersalah kerana tidak 
menegakkan amar makruf nahi mungkar.
6. Di akhirat nanti orang ramai akan bergantung kepada orang yang 
mengabaikan tanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar sedangkan 
dia mampu (ada ilmu, kekuasaan dan keupayaan fizikal). Kalau ada seribu 
orang terlibat, maka seribu oranglah yang mesti ditanggung.
Kini berbagai kemungkaran telah berlaku di hadapan mata kita. Segala macam 
maksiat melanda masyarakat dalam semua peringkat khususnya muda mudi. 
Keruntuhan akhlak dan moral, pergaulan bebas, derhaka ibu bapa, lari dari 
rumah, bersekedudukan dan berbagai lagi. Golongan dewasa pula dengan mungkar 
ala dewasanya, zina, rogol, rasuah, minum arak, dera anak isteri, salah guna 
kuasa.
Ini semua mungkar yang perlu ditegah dan dibenci. Dan ini adalah 
tanggungjawab masyarakat Islam. Tanggungjawab kita bersama!.

Wassalam,
Arjuna Armada

______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "arjuna armada" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke