*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum,

Nasihat untuk bakal haji: Agar Haji tidak Rugi

Kini tiba musim keberangkatan bakal-bakal haji ke Makkatul Munawwarah untuk 
menunaikan ibadah haji. Mengerjakan haji, rukun Islam kelima bererti menjadi 
tetamu Allah SWT. Para jemaah haji adalah orang-orang yang terpilih. Kerana 
itu sangat wajar mereka tampil menjadi teladan di lingkungan masyarakatnya 
sekembali dari tanah suci nanti. Bukan sebaliknya!
Untuk mencapai maksud sebenar ibadah haji, mari kita lihat apakah pengertian 
ibadah haji dari sudut pandangan cicit kepada Rasulullah SAW, Sayidina 
Zainal Abidin.
Zainal Abidin adalah salah seorang cucu Khalifah Rasyidin ke empat, Ali bin 
Abi Thalib r.a. Ia merupakan satu-satunya generasi Rasulullah SAW yang 
selamat dari peristiwa pembantaian yang sangat biadab di Padang Karbala 
akibat tipu muslihat para Penguasa Bani Umayyah di Kufah dan Damsyik. Ia 
lolos dari pembantaian yang menyebabkan terbunuhnya 70 orang mujahid, 
termasuk ayahandanya Husain r.a. Pertolongan Allah lah yang menjadikan 
Zainal tetap sehat walafiat. Sebahagian keterangan yang lain menyebutkan 
kerana pada saat itu ia dianggap masih anak-anak sehingga ia tetap dibiarkan 
hidup. Sedang membunuh anak kecil termasuk salah satu aib.
Selepas peristiwa itu, ia belajar dengan tekun ilmu-ilmu agama daripada para 
sahabat Nabi SAW yang masih hidup di Madinah. Tidak ada waktu yang 
dilaluinya kecuali untuk beribadah dan menimba ilmu agama.
Setelah dewasa ia tampil menjadi ulama besar yang disegani baik oleh kaum 
muslimin mahupun oleh mereka yang selama ini melakukan permusuhan. 
Lebih-lebih dengan pilihan hidupnya yang mengambil sikap dengan tidak turut 
terlibat dalam kegiatan politik. Para musuhpun memaklumi sikap bijaksana 
beliau. Zainal Abidin akhirnya tampil menjadi ulama yang disegani dan sangat 
karismatik.
Di antara kedalaman ilmunya, beliau menjelaskan, bahawa kesempurnaan ibadah 
hanya dapat dicapai bila dilakukan dengan beberapa unsur seperti unsur batin 
(qalbi), unsur ucapan (qauli) dan unsur perbuatan (fi'li). Pandangan yang 
sangat cermat dan mendalam itu dapat kita ketahui dari dialog dengan salah 
seorang muridnya yang bernama Asy-Syibli yang akhirnya menjadi ulama sufi 
yang terkenal.
Pada suatu hari setibanya Asy-Syibli dari Makkah menunaikan ibadah haji, ia 
menghadap gurunya (Zainal Abidin r.a) untuk menyampaikan 
pengalaman-pengalamannya. Berlakulah dialog lebih kurang begini:
Z: "Hai Syibli, anda telah menunaikan ibadah haji, bukan?"
S: "Ya benar, semoga Allah berkenan menerimanya."
Z: "Apakah anda telah berwukuf (berhenti) di Miqat, kemudian menanggalkan 
pakaian berjahit yang terlarang bagi setiap orang yang sedang menunaikan 
ibadah haji? Dan setelah itu apakah anda lalu segera mandi?"
S: "Ya semuanya telah saya lakukan."
Z: "Ketika wukuf di Miqat apakah anda meneguhkan niat wuquf dan niat 
menanggalkan 'pakaian' maksiat dan menggantinya dengan 'pakaian' taat?"
S: "Tidak."
Z: "Pada saat anda menanggalkan pakaian yang terlarang itu (pakaian yang 
berjahit) apakah anda juga telah membuang perasaan riya' (ingin dipuji 
orang), nifaq (kelainan antara hati, ucapan dan perbuatan) serta segala 
macam syubhat (hal-hal yang diragukan halal dan haramnya)?"
S: "Tidak."
Z: "Ketika anda mandi dan membersihkan diri sebelum ihram, apakah anda juga 
berniat membersihkan diri dari semua perbuatan dosa?"
S: "Tidak."
Z: "Kalau begitu bererti anda tidak berhenti di Miqat, tidak menanggalkan 
pakaian dan tidak pula mandi membersihkan diri."
Kemudian Zainal Abidin r.a melanjutkan pertanyaan-pertanyaannya:
Z: "Hai Syibli, apakah anda telah sampai di Mina, telah melempar jumrah, 
telah mencukur rambut, telah menyembelih kurban, telah menunaikan solat di 
masjid Khaif; kemudian kembali ke Makkah melakukan thawaf Ifadah?"
S: "Ya benar, semuanya itu telah saya lakukan."
Z: "Setelah tiba di Mina dan melempar jumrah apakah anda menyedari diri anda 
telah sampai kepada tujuan, dan Allah telah memenuhi semua hajat hidup 
anda?"
S: "Tidak."
Z: "Pada saat melempar jumrah apakah anda berniat melempar musuh tradisi 
anda, yaitu iblis, dan memeranginya dengan jalan menyempurnakan ibadah haji 
yang mulia itu?"
S: "Tidak."
Z: "Pada saat anda mencukur rambut apakah anda berniat menghapus kenistaan 
yang ada pada diri anda dan mencukur semua dosa, sehingga anda bertaubat 
dari dosa, seperti pada saat anda lahir dari kandungan ibu?"
S: "Tidak."
Z: "Ketika anda menunaikan solat di Masjid Khaif apakah anda bertekad tidak 
akan takut kepada siapa pun selain Allah SWT, dan takut dosa perbuatan anda 
sendiri?"
S: "Tidak."
Z: "Pada saat anda menyembelih haiwan kurban apakah anda berniat memotong 
belenggu ketamakan dan kerakusan yang melilit diri anda? Apakah anda juga 
berniat hendak menghayati kehidupan yang bersih dari dosa dan noda? Apakah 
anda juga bertekad mengikuti jejak Nabi Ibrahim a.s. yang rela melaksanakan 
perintah Allah menyembelih putera kesayangannya sendiri?"
S: "Tidak."
Z: "Ketika kembali ke Makkah dan melaksanakan thawaf ifadah, apakah dalam 
hati anda berniat tidak akan mengharapkan kebaikan dari siapapun selain dari 
rahmat Allah SWT, tetap taat dan patuh kepada-Nya, selalu menumpahkan 
kecintaan kepada-Nya, menunaikan semua perintah dan menjauhi laranganNya dan 
sentiasa bertaqarrub (mendekatkan diri) kepadaNya?"
S: "Tidak."
Z: "Kalau begitu bererti anda belum sampai di Mina, belum melempar jumrah, 
belum mencukur rambut, belum menyembelih kurban, belum melaksanakan manasik, 
belum menunaikan solat di Masjid Khaif, belum berthawaf Ifadhah dan belum 
mendekatkan diri kepada Allah. Kerana itu kembalilah anda ke Makkah. 
Sesungguhnya anda belum menunaikan haji yang sebenar-benarnya!"
Mendengar uraian-uraian mendalam dari gurunya tersebut, Asy Syibli menangis 
semahu-mahunya. Kemudian dengan penuh kesungguhan ia berniat memperbaiki 
kembali hajinya tahun depan.
Dari kisah di atas, sudah sepatutnya para calon jamaah haji mahupun bagi 
mereka calon-calon tamu Allah yang akan berangkat menuju ke Tanah Suci 
meluruskan niatnya. Perkara niat ini amat penting tetapi sering dilupakan 
dan diambil ringan. Bila dari niatnya sudah keliru dan salah maka semua 
amalan akan rosak dan tertolak.
Berangkat mengerjakan haji bukan perjalanan melancong, sehingga harus 
dibangga-banggakan dengan memperolehi gelaran haji, misalnya. Perjalanan ini 
adalah perjalanan suci, perjalanan ibadah, sebagai puncak kesempurnaan 
seorang muslim. Oleh kerana tujuannya yang sangat mulia itu, maka jangan ada 
segala unsur-unsur lain yang boleh merosak ibadah. Unsur riya', 
menunjuk-nunjuk  kekayaan, niat ingin berniaga atau mencari keuntungan, 
ingin diistimewakan dan sebagainya akan menjadi noda dalam ibadah tersebut.
Perjalanan haji yang benar adalah yang akan mampu membakar hangus segala 
mazmumah, segala kekotoran, kedegilan dan kekumuhan jiwa dari dosa-dosa. 
Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang mendatangi rumah ini (menunaikan ibadah 
haji atau umrah) tanpa merosaknya dengan perbuatan kotor, serta tidak 
membuat kemaksiatan, maka dia kembali pada keadaannya seperti baru lahir 
(bersih dari dosa)." (HR. Muslim)
Setelah itu, para haji mesti tampil sebagai anggota masyarakat yang dapat 
dicontohi setelah kembali ke tanah air. Tidak hanya wujud fizikalnya, akan 
tetapi unsur-unsur keteladanan lain yang telah diserapnya dari perjalanan 
menjumpai rumah Allah seperti kesabaran, keteguhan dan kemantapan jiwanya.
Sebab banyak hal yang boleh diperolehi selama berkunjung ke Baitullah. 
Ketika melakukan ibadah sa'i umpamanya, jemaah wanita patut mengimbas 
kembali betapa berat perjuangan Siti Hajar mencari seteguk air untuk anak 
kesayangannya Ismail. Betapa beratnya membesarkan anak dan membentuk anak 
yang soleh dan berbakti seperti Ismail, betapa beratnya melahirkan Ismail. 
Ismail jugalah yang rela berkorban jiwa raganya untuk memenuhi perintah 
Allah SWT.
Demikian juga ketika melontar jumrah kita tanamkan di dalam jiwa untuk tetap 
melakukan pelontaran serupa terhadap para syaitan yang selalu 
menghalang-halangi dalam beribadah dan berjihad. 'Pelontaran' itu kita 
wujudkan dalam kehidupan yang sebenar sekembalinya dari sana. Bahawa syaitan 
penghalang seperti yang pernah menghalangi Ibrahim dan keluarganya akan juga 
kita hadapi di kehidupan nyata. Sehingga pernyataan perang melawan godaannya 
harus kita tanamkan dan sebarkan kepada keluarga, tetangga dan masyarakat 
sekitar.
Bila kesedaran ini tumbuh, insya Allah, amalan Islam masyarakat kita semakin 
kental. Nilai-nilai agama akan menjadi alternatif bagi masyarakat dari 
nilai-nilai lainnya. Bila puluhan ribu jemaah haji negeri kita yang setiap 
tahun berangkat telah menyedari hakikat yang terkandung di dalam ibadah haji 
seperti yang termaktub dalam petikan dialog Zainal Abidin dengan muridnya di 
atas tentu masyarakat kita akan semakin sedar melaksanakan Islam.
Para haji mempunyai peranan besar untuk terbentuknya masyarakat yang seperti 
itu. Masyarakat yang menjunjung tinggi hukum Allah, menghidupkan wahyu Allah 
di muka bumi. Sebuah komuniti yang baik yang di dalamnya penuh dengan 
ampunan dan kasih sayang Allah SWT, baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.
(petikan dari Minda Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur siri 97)

______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "arjuna armada" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke