FRIDAY - March 24, 2000

BN tiada masalah hadapi internet
‘Ein Azmi

5pm, JUM: Penyokong pembangkang yang sering menggunakan teknologi internet kali ini melangkah setapak menyerang kerajaan melalui sebaran keratan video yang memaparkan gelagat Menteri Besar Pahang menunjukkan isyarat lucah.

Bagaimanapun seorang wakil rakyat Umno yang bertugas dalam jentera pilihan raya Barisan Nasional memberitahu malaysiakini bahawa parti itu tidak bimbang serangan PAS dalam pilihan raya kecil Sanggang.

Hari ini, akhbar Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan tidak akan menghalang parti-parti pembangkang menggunakan internet dalam kempen pilihan raya kali ini.

Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan "bersikap terbuka dan memberikan kebebasan penuh" kepada pembangkang menggunakan internet untuk berkempen.

Semalam, laman web pembangkang yang paling popular, Laman Reformasi (http://members.tripod.com/~mahazalimtwo), menyebarkan satu sambungan untuk menyalin keratan video tersebut (http://mahazalimn.tripod.com/samseng.mpg).

Video selama lebih kurang lima saat itu menunjukkan saat-saat bagaimana Ketua Perhubungan Umno Pahang itu berbuat demikian, dikelilingi oleh penyokongnya dalam keadaan riang dan bergembira.

Adnan menunjukkan isyarat tangan yang ditafsirkan lucah itu kepada penyokong pembangkang di depan tangga Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh sementara menunggu keputusan bantahan penamaan calon pilihanraya kecil Sanggang Selasa lalu.

Menteri Besar itu juga menunjukkan punggungnya dan menepuk-nepuknya kepada penyokong pembangkang.

Apabila ditanya perkembangan kempen BN, wakil rakyat Umno yang tidak mahu dikenali itu menjelaskan pihak BN tidak mempunyai masalah walaupun pembangkang terus membangkitkan isu gambar tersebut.

Semalam, Adnan dilaporkan bercadang menyebarkan foto-foto dalam internet sebagai menjelaskan keadaan sebenar bagaimana beliau boleh bertindak sedemikian selepas diprovokasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Umno itu memberitahu, bilik gerakan BN tidak menerima sebarang maklumat mengenai cadangan Adnan itu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan foto-foto Adnan itu telah mula disebarkan di tempat-tempat awam dalam kawasan pilihan raya tersebut.

Beliau juga tidak bersedia menjelaskan kempen yang akan dijalankan BN bagi menangkis isu tersebut tetapi percaya jentera partinya yang bergerak lancar akan memberi kejayaan kepada BN.

"Kita tidak mahu bercakap besar, bagaimanapun sambutan para pengundi adalah baik," jelas sumber itu lagi.

Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Sanggang yang terletak dalam Parlimen Mentakab menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon BN, Redzwan Harun dengan calon PAS, Datuk Hishamuddin Yahya.

Keputusan pilihan raya kecil itu akan diketahui lewat petang 1 April depan.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke