*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bernama) -- Musyidul
Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata
ibu bapa perlu memberi penekanan kepada
pendidikan agama kepada anak-anak mereka untuk
mengawal mereka daripada terjebak dalam gejala
tidak bermoral.
Ketika merasmikan muktamar tahunan ke-40 Dewan
Muslimat Pas di sini, Menteri Besar Kelantan itu
berkata sikap ibu bapa yang tidak ambil peduli
terhadap persekitaran yang dipenuhi dengan pekara
baik dan buruk membuatkan golongan muda kini
tidak dapat menilai sesuatu perbuatan itu.
Yang turut hadir ialah Presiden Pas Datuk Fadzil Noor
dan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Senator
Jamilah Ibrahim.
"Anak-anak kabur mana yang sebenar perlu diikut...
kalau anak-anak ada ajaran agama, mereka boleh
mengawal diri," katanya.
Beliau berkata masyarakat Islam akhir-akhir ini
menghadapi cabaran yang kuat daripada pengaruh
pelbagai budaya asing termasuk golongan yang tidak
tidak percaya kepada Tuhan.
Beliau mengumpamakan hidup manusia di dunia
seperti belajar di sekolah rendah, sementara di alam
kubur sebagai sekolah menengah manakala akhirat
pula adalah sebuah universiti.
"Pada orang yang hendak selamat mereka mesti
programkan pelajaran mereka hingga ke universiti,
hidup kita bukan pandai-pandai dan perlu pada
hidayah kerana kehidupan kita terus-menerus,"
katanya.
Nik Aziz juga mendakwa Pas kini semakin kuat dan
berpengaruh kerana kemampuan parti itu
mengeluarkan hujah.
"Pas ditubuhkan pada tahun 1951, masih tegap dan
semakin tegap semasa parti lain terkubur. Ini kerana
dia (Pas) ada hujah walaupun dia tak ada wang,"
kata beliau.
Beliau juga berkata parti itu kini mendapat sokongan
daripada orang bukan Islam setelah mereka melihat
bagaimana parti itu mentadbir Kelantan dan
Terengganu tanpa menekan atau mengenepikan
kepentingan golongan bukan Islam.
Nik Aziz berkata perjuangan yang berdasarkan Islam
sebenarnya mengambil kira kepentingan individu dan
masyarakat.
-- BERNAMA
DEWAN ULAMA PAS PUSAT LULUS LIMA
USUL
KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bernama) -- Dewan
Ulama PAS Pusat meluluskan lima usul yang dibawa
oleh perwakilan Dewan Ulama PAS negeri pada
muktamar tahunannya yang ke-39, di sini, hari ini.
Usul pertama yang dibawa perwakilan Kelantan itu
membuat ketetapan semua pemimpin PAS dan
wakil-wakil rakyat hendaklah membebaskan diri
daripada sebarang perlakuan dan perbuatan yang
boleh membuka ruang ke arah tohmahan dan
kejatuhan mereka seperti terlibat dalam amalan riba
dan merokok.
Usul kedua oleh perwakilan Perlis mendesak dewan
berkenaan supaya segera menjawab semua isu
agama yang dibangkitkan oleh pemimpin Barisan
Nasional (BN) yang disiarkan melalui media massa.
Perwakilan Pahang pula meminta dewan itu melantik
ketua dewan ulama negeri sebagai anggota
jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat.
Ketiga-tiga usul berkenaan diterima tanpa bahas.
Usul keempat dari wakil Kelantan mendesak kerajaan
negeri Kelantan mengkaji dan meminda peruntukan
tertentu dalam Undang-undang Tubuh kerajaan
negeri serta peruntukan yang sedia ada dalam
enakmen lain bagi membolehkan jentera pentadbiran
dan pengurusan di semua peringkat dapat berjalan
dengan lancar dan berkesan. Usul itu diterima
setelah dibahas.
Satu lagi usul yang diluluskan dengan pindaan ialah
meminta Dewan Ulama PAS negeri diberi kuasa
meneliti terlebih dahulu calon-calon yang akan
bertanding dalam pilihan raya umum di peringkat
Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sebelum
dibawa ke peringkat pusat.
Sementara itu, Dewan Muslimat PAS menerima usul
meminta PAS pusat mendesak kerajaan menyediakan
perancangan dan pelan tindakan untuk menggalakkan
lebih banyak institusi pendidikan agama diwujudkan
sama ada di peringkat kerajaan pusat, kerajaan
negeri atau persendirian.
Usul jawatankuasa dewan itu diluluskan setelah
mendapat sokongan 11 daripada 13 negeri yang
menghantar perwakilan pada Muktamar Muslimat PAS
di sini, hari ini.
Usul itu turut meminta kerajaan mempertahankan
institusi pendidikan agama termasuk sekolah-sekolah
agama yang sedia ada bagi menampung keperluan
dan permintaan ibu bapa yang menyedari
kepentingan Islam di kalangan anak-anak mereka.
Satu lagi usul dari perwakilan Johor, yang meminta
Kementerian Pendidikan memantau pendidikan
pra-sekolah anjuran parti berkenaan dan meminta
kerajaan membentuk undang-undang murtad, ditolak
pada muktamar tahunannya ke-40 itu.
-- BERNAMA
KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bersama) --
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah menangguhkan
cadangannya bagi membuka keanggotaan parti itu
kepada masyarakat bukan Islam, kata Timbalan
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang hari ini.
Penangguhan itu dibuat bagi memperkukuhkan
hubungan di antara parti-parti pembangkang dalam
barisan alternatif, katanya.
Perkara itu diputuskan sebulan lalu kerana
jawatankuasa berkenaan beranggapan mereka yang
bukan Islam boleh memberi sokongan kepada parti
dalam pakatan pembangkang itu, kataya kepada
pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan
Pemuda Pas di sini hari ini.
Kini tidak timbul soal pindaan perlembagaan parti itu
pada muktamar kali ini bagi tujuan itu, kata Menteri
Besar Terengganu itu.
Bagaimanapun kata beliau semua anggota
perwakilan diberi peluang bagi membincangkan
perkara itu ketika membahaskan ucapan dasar
Presiden di Stadium negeri esok.
Hadi juga berkata Pas akan menentang sebarag
percubaan untuk mengharamkan penggunaan
perkataan Islam dalam nama parti itu kerana ia tidak
mencerminkan semangat demokrasi yang diamalkan
di negara ini.
Beliau berkata penggunaan perkataan Islam pada
nama parti itu tidak mengelirukan rakyat
sebagaimana juga dengan kewujudan bank dan
institusi pengajian tinggi yang menggunakan
perkataan itu.
Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak
bahawa penggunaan perkataan Islam menjadi punca
perpecahan umat Islam di negara ini, Abdul Hadi
meminta pihak berkenaan mengemukakan bukti
terhadap dakwaan itu.
Beliau juga berkata Pas sentiasa membuka pintunya
untuk mengadakan perbincangan atau muzakarah
dengan semua pihak termasuk UMNO bagi
menyelesaikan kemelut politik negara termasuk isu
perpecahan.
"Mari kita bermuzakarah untuk mencari kebenaran
dan bukan (untuk mencari) siapa menang atau kalah.
Pas mahu berhujah secara keilmuan bagi
menyelesaikan masalah itu (perpecahan)," katanya.
-- BERNAMA
________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "aziz osman" <[EMAIL PROTECTED]>