Nama Islam: PAS pertahan habis-habisan
Fathi Aris Omar
3:45pm, KHA: Cadangan untuk menggugurkan Islam pada PAS tidak akan dibiarkan terjadi, sebaliknya parti itu akan mempertahankan nama asalnya habis-habisan.
Penegasan Timbalan Presiden Abdul Hadi Awang hari ini disambut dengan laungan takbir berturut-turut yang kuat sebanyak tiga kali dalam suasana penuh semangat.
"Bagi diri kita, (nilai dan nama) Islam lebih mahal daripada jiwa dan malah segala-galanya," kata Menteri Besar Terengganu itu, ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-41 di Kuala Terengganu menjelang tengah hari tadi.
"Jika Umno sanggup menjual (mengambil tindakan), kita sanggup beli (mempertahankannya), berapa harganya?"
Ucapan bersemangat dengan nada amaran itu membangkitkan semangat lebih kurang 700 perwakilan dan pemerhati Dewan Pemuda dari seluruh negara yang berada dalam dewan itu.
Sepanjang ucapannya yang serius serta penuh analisis sejarah perjuangan Islam, ungkapan Hadi inilah satu-satunya yang menyemarakkan dewan yang agak dingin itu.
Sebelum itu, Ketua Pemuda Mahfuz Omar melahirkan kebimbangan PAS terhadap satu pertemuan sulit antara Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah dengan bekas Hakim Besar Mesir yang pernah berhujah agama harus dipisahkan daripada politik.
"Kita percaya lawatan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan hasrat kerajaan BN (Barisan Nasional) untuk menggubal rang undang-undang pemisahan dan politik," katanya dengan nada tegas.
Jika langkah ini diteruskan, tambah Mahfuz, dasar sekularisme menjadi lebih nyata dan bertulis dalam perundangan negara ini seperti dalam perlembagaan Turki dan India.
Hadi juga mendedahkan sikap kerajaan persekutuan Barisan yang menafikan hak Terengganu melalui pelbagai cara.
"Kerajaan (persekutuan) sengaja melambat-lambat peruntukan kewangan untuk kerajaan negeri tetapi dengan cepat sahaja mengutip cukai," sindir pemidato PAS itu.
Menurut Hadi, pegawai-pegawai kerajaan persekutuan diarahkan agar tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri.
"Di mana adab demokrasi yang sering dilaung-laungkan Umno," persoalnya lagi.
Hadi menyebut beberapa contoh hak demokrasi yang dinikmati di beberapa negara Islam lain, misalnya di Turki parti pembangkang dibenarkan membuka saluran televisyen sendiri dan di Indonesia, pembangkang diizinkan menubuhkan stesen radio.
Malah, beliau juga menyebut kebebasan akhbar yang dinikmati oleh minoriti Muslim di negara majoriti bukan Islam seperti Belanda dan Switzerland.
"Nampaknya (Umno) lebih 'teruk' daripada Belanda," katanya disambut ketawa pendengar.
"Apabila kami (Terengganu) menubukan JSR (jawatankuasa syura rakyat), kerajaan persekutuan BN mewujudkan jawatankuasa kampung di peringkat negeri dan daerah. Seolah-olahnya (Umno) cuba wujudkan 'dua kerajaan (dalam satu) negeri.' Di mana semangat persekutuan (federalisme)," soal menteri besar itu.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.
