Ucapan penuh Timbalan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Dewan Pemuda PAS Pusat di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Terengganu.
Pertama-tama saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kerana dijemput dan diberi peluang untuk menyampaikan ucapan perasmian.
Bagi pihak kerajaan negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu yang dipimpin oleh PAS dan bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) negeri Terengganu saya mengalu-alukan kedatangan saudara/i para perwakilan dan pemimpin PAS Pusat.
Selamat datang ke Negeri Terengganu Darul Iman. Negeri yang dicatitkan oleh sejarah melalui Batu Bersurat yang dipahat di atasnya hukum-hukum Islam, hukum-hukum amalat dan hukum-hukum jenayah dan peratutan-peraturan faraid.
Sejak beratus-ratus tahun yang lalu, dicatitkan pada Batu Bersurat dalam Bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Sanskrit, hari pertama Jumaat di Bulan Rejab di Tahun Seratan di kala Baginda Rasulullah telah lalu 702 (tahun).
Penganalisa sejarah mengatakan Tahun 702 Hijrah bersamaan Tahun 1303 Masihi. Catitan sejarah yang menunjukkan bahawa kerajaan Islam pernah ditegakkan di sini. Hukum syariatnya pernah dilaksanakan.
Selamat Datang ke negeri Terengganu Darul Iman, negeri yang terakhir menerima campurtangan penjajah Inggeris. Hukum Islam dihapuskan di Terengganu pada tahun 1928.
Umat Islam tidak memberi percuma, mereka menentang melalui demonstrasi petani yang dipimpin oleh Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang ditangkap oleh penjajah Inggeris dan dituduh mahu menubuhkan Partai Syarikat Islam yang ditubuhkan di Indonesia yang merupakan tentangan kepada Syarikat India Inggeris dan Syarikat India Belanda yang merupakan gerakan penjajahan di rantau ini.
Bukti sejarah menunjukkan bahawa golongan Islamlah yang berjuang mempertahankan ummah, mempertahankan tanah air, mempertahankan maruah di seluruh dunia.
Merekalah yang paling ramai menjadi korban, menjadi para syuhadah, menjadi mangsa kezaliman. Apa yang sangat mendukacitakan sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan yang menerima kuasa pemerintahan ialah golongan sekular yang tidak ada kena mengena dengan perjuangan asal menentang penjajah.
Inilah yang berlaku di Malaysia, yang berlaku di Indonesia, yang berlaku di benua India, yang berlaku di Algeria, yang berlaku di Mesir, yang berlaku di mana-mana.
Apa yang sangat mendukacitakan golongan sekular yang mengambil alih tampu pemerintahan itu menepuk dada dengan bohong dan golongan Islam menjadi korban dikambinghitamkan. Inilah yang berlaku di mana-mana.
Apa yang berlaku ialah sunnahtullah yang merupakan proses yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. bagi melahirkan teras-teras yang benar-benar bersih dan ikhlas.
Yang benar-benar-benar mempunyai ketahanan, bukan sahaja untuk meruntuhkan kezaliman, meruntuhkan jahiliyah, yang penting ialah menegakkan Islam dan keadilannya selepas ini.
Penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan parti-parti Islam yang lain dan golongan Islam yang lain di seluruh dunia adalah kesinambungan daripada perjuangan Islam di sepanjang zaman. Kita adalah masyarakat, Pemuda adalah pelapis yang menyambung perjuangan yang sangat besar ini, perjuangan yang tidak bermula dengan menentang Malayan Union, perjuangan yang bermula sejak Nabi Adam a.s manusia pertama yang diletakkan oleh Allah s.w.t bagi menunaikan kewajipan untuk menegakkan hukum Allah, hukum pencipta manusia yang benar-benar mengetahui apakah yang baik bagi manusia.
Apa yang menjadi masalah ialah munculnya di kalangan manusia yang panda-pandai mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah s.w.t, mencipta berbagai-bagai ideologi dan inilah yang menjahanamkan manusia dan merendahkan martabat mereka, yang merendahkan harga diri mereka dan mereka sendiri menjadi korban daripada meninggalkan ajaran Allah s.w.t. Firman Allah mafhumnya "Telah zahir dengan nyata dan terang keburukan di darat dan laut hasil daripada kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka. Mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah".
Apa yang mendukacitakan dan menyedihkan ialah negara umat Islam sendiri, negara yang dihuni dan didiami oleh umat yang dipilih oleh Allah s.w.t supaya menjadi contoh kepada umat yang lain supaya memimpin dunia, tiba-tiba menerima ideologi-ideologi dan teori-teori yang diimport, melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang direka oleh manusia walaupun dirasakan dengan berbagai-bagai kezaliman keruntuhan akhlak semakin hari semakin meningkat, jenayah yang semakin bertambah, ekonomi yang merudum.
Rata-rata umat Islam disenaraikan dalam negara yang sedang membangun yang tidak bangun-bangun walaupun buminya mempunyai tenaga yang ramai, dikurniakan oleh Allah dengan sumber alam yang melimpah ruah, berada di kawasan yang paling strategik, tetapi menjadi "pak turut' dan ekor dalam arena politik, ekonomi dan setiap perkembangan yang berlaku dalam dunia.
Hanya Islam yang pernah mengajar umat ini menjadi pemimpin dunia. Negara Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w sejak 14 abad yang lalu telah membuktikan Islam adalah agama yang berjaya mewujudkan model negara yang benar-benar menciptakan masyarakat madani yang selalu dilaung-laungkan, negara yang bermula dari Madinatul-munawarah yang telah mencipta suatu tamadun rohani dan material yang telah meneroka kepada dunia satu ajaran yang paling adil, memerintah masyarakat yang paling majmuk, wilayah yang paling luas di zaman Kerajaan Uthmaniah yang terakhir.
Di zaman tidak ada alat-alat perhubungan canggih, tidak ada kapal terbang, tidak ada telefon, tidak ada wireless, penduduk yang menganut pelbagai agama, terdiri daripada pelbagai kaum yang bertutur dalam berbagai-bagai bahasa, boleh diperintah oleh umat Islam.
Apabila umat Islam menjadi pemimpin, bukti sejarah menunjukkan ia bukan cerita dongeng, tetapi ia adalah cerita benar. Apabila seorang yang bukan Islam dianiaya oleh anak gabenor Mesir, dipanggil oleh Khalifah Umar Ibn Khatab r.a datang ke Madinah untuk dibicarakan dan Umar telah membei hak keadilan kepada orang itu walaupun ia bukan Islam, dengan tegas Umar mengatakan kepada Gabenornya Amru Ibn Aus, "Wahai Amar, sejak bila kamu memperhambakan manusia.
Sesungguhnya mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas dan merdeka,". Orang selalu bertanya di mana model negara islam. Kita telah mempunyai model mengikut kenyataan sejarah, Semua ideologi-ideologi yang lain tidak ada model.
Komunisme yang berjaya menegakkan negara-negara di Soviet Union yang mengalami kehancuran sebelum sampai ke puncak kejayaan teori Marxisme.
Cina komunis sebelum meninggal Mou Tze Tung telah meminda teori komunis kepada ekonomi bebas, begitu juga dengan demokrasi Barat yang melahirkan kapitalis telah mewujudkan masyarakat yang tidak bermaruah, jenayah berlaku di Amerika mengikut kadar minit bukan lagi bulan dan tahun.
Generasi muda yang menganut agama Keristian di Barat meninggalkan agama. Gereja-gereja ada dijual. seburuk-buruk kita umat Islam tidak ada lagi yang menjual masjid dan surau. Apa yang berlaku ini menunjukkan Islam sebenarnya daripada Allah, ajaran yang mempunyai ketahanan.
Marilah golongan Islam dan kita adalah golongan Islam mempertahankan maruah. Alhamdulillah dengan Islam inilah kita tegak.
PAS menghadapi ujian yang banyak dalam sejarah perjuangannya sejak penubuhan pada 1951. Walaupun kepimpinan silih berganti dan ada di antara kepimpinannya yang gugur di tepi jalan, sama ada menyerah kalah ataupun melarikan diri daripada perjuangan, tetapi perjuangan PAS telah dapat diteruskan.
Ahli-ahlinya makin hari makin bertambah, berkat kesabaran daripada ahli-ahli dan seluruh pendokong perjuangan Islam ini. Alhamdulillah kita mencapai sedikit kemenangan dengan kita mempertahankan kemenangan di Kelantan yang telah dicapai pada tahun 1990 dan berjaya mencapai kemenangan di Terengganu dalam pilihan raya yang lalu.
Dan kita mendapat beberapa kerusi di seluruh negara, di Kedah di Perlis, di Pulau Pinang, di Pahang, di selangor. Dan kita mendapat undi yang meningkat di seluruh negara sehingga Presiden Umno sendiri membuat pengakuan dalam perhimpunan agung Umno kemenangan mereka dicapai melalui undi orang-orang yang bukan Islam.
Maknanya kalau kita dapat meraih undi orang-orang yang bukan Islam dalam pilihan raya yang lalu, kita berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Namun demikian kita tidak boleh berbangga dengan pencapaian sekadar itu. Perjuangan kita belum habis, perjuangan kita belum selesai, kita masih menghadapi cabaran, masih menghadapi tentangan.
Jentera parti hendaklah diteguhkan, usaha hendaklah dilakukan bagi menambah ahli-ahli, pertarbiyahan dan pendidikan hendaklah ditingkatkan bagi menambah peningkatan ahli sama ada di segi kefahaman atau di segi tenaga berdasarkan kepada keperluan-keperluan semasa.
Adalah menjadi tanggungjawab kepada Pemuda yang menjadi pewaris perjuangan ini untuk mengikuti setiap program, setiap agenda yang diatur oleh parti di samping mereka sendiri perlu melatih diri untuk mengatur program. Kta mempunyai tanggungjawab yang besar mengisi kemenangan yang telah diberi oleh Allah s.w.t.
Sepatutnya pihak Kerajaan Pusat yang masih dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) melalui adab dan akhlak demokrasi memberi peluang kepada PAS untuk melaksanakan agenda seperti yang ditegakkan melalui manifesto.
Di sana terdapat perkara-perakara yang mendukacitakan di luar daripada akhlak demokrasi. Sebenarnya mereka yang mendakwa mendokong demokrasi inilah yang paling jahat terhadap demokrasi.
Mereka masih menggunakan media massa bagi mengadakan berita-berita yang negatif terhadap pemerintahan PAS di Kelantan dan Terengganu.
Sebagai contoh, berita penghapusan tempat-tempat penjualan arak daripada 41 buah sehingga tinggal lapan ditonjolkan berita PAS membenarkan lapan lesen arak. Kita hapuskan dia tidak sebut untuk mengelirukan masyarakat.
Ini sebagai contoh dan berbagai-bagai berita melalui media massa, kita diajar supaya bersabar. Di antaranya mereka melambat-lambatkan peruntukan kewangan yang mengikut Perlembagaan, mengikut peraturan dan undang-undang Kerajaan Pusat.
Mengikut undang-undang, Kerajaan Pusat mestilah memberi peruntukan ini kepada kerajaan-kerajaan negeri walaupun siapa yang memerintah, parti mana yang memerintah negeri, tetapi sengaja dilambat-lambatkan. bila diambil cukai, mereka ambil semua, tetapi bayaran peruntukan sengaja dilambat-lambatkan.
Bila memungut cukai mereka tidak tanya kamu parti apa. Bila nak bagi kewangan mereka bersikap diskriminasi. Di mana akhlak demokrasi, di mana adab demokrasi.
Pegawai-pegawai Kerajaan Pusat yang berkhidmat di peringkat negeri di beri arahan supaya tidak memberi kerjasama dengan kerajaan negeri.
Beberapa projek pembangunan yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat sengaja dilambat-lambatkan sedangkan pemimpin negara ini mendakwa sebagai jaguh menentang aparteid seperti yang berlaku di Afrika Selatan, menentang "double standard", menentang pelbagai perkara yang dicemuh, tetapi cakap tidak serupa bikin.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Yahoo! Photos -- now, 100 FREE prints!
