Buang perkataan Islam: BAHAYA AQIDAH UMAT ISLAM
KOTA BHARU, 7 Jun (Hrkh)- Usaha Umno hendak membuang perkataan Islam terhadap PAS dianggap boleh membahayakan aqidah umat Islam.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang akan faham bahawa Islam tidak lengkap dan bukan syumul.
"Sedangkan Islam perkara syumul, seperti yang dikehendaki Nabi Muhamad Saw. Ini kerana segenap hidup umat manusia mesti berpandukan kepada Islam," katanya pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, PAS perlu menggugurkan perkataan Islam daripada nama parti itu dan mengikuti pendekatan Umno yang sebelum ini terbukti berjaya mempertingkatkan syiar Islam.
Menurut Timbalan Presiden Umno itu, walaupun Umno tidak menggunakan perkataan Islam pada partinya, namun berjaya membuktikan bahawa perjuangan demi menegakkan agama, bangsa dan negara.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, apabila seseorang yang tidak puas hati terhadap Islam, mereka perlu ditanya tidak puas hati di mana.
"Ini kerana Islam mempunyai segala jawapan yang lengkap. "Pemimpin Umno hendak mengharamkan nama Islam daripada parti PAS menunjukkan sikap mereka yang tidak demokratik, tidak telus dan berdolak dalik.
"PAS diwujudkan sejak 1951, mengapa baru sekarang baru hendak diharamkan perkataan Islam. Atau mungkin setelah PAS berjaya mendapat sokongan 70 peratus pengundi Melayu dalam pilihan raya umum baru-baru ini," katanya.
Menurutnya, sikap yang ditunjukkan Umno sekarang adalah amalan biasa golongan penentang terhadap pelaksanaan Islam sejak dahulu hingga sekarang.
Contohnya, dapat dilihat apabila golongan sekular membatalkan pilihan raya yang dimenangi Parti Pembebasan Islam (FIS) di Algeria pada tahun 1992. Menteri Beasr berkata, tindakan itu telah membawa keganasan di sana sini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan PAS tidak akan membuang perkataan Islam pada partinya, biarpun apa langkah yang dibuat Umno sekali.
"Hati saya sebagai Mursyidul Am PAS tidak akan sekali-sekali menggugurkan perkataan Islam yang ada pada parti itu. Kalau kerajaan hendak buat sama ada hendak membuang perkataan itu terpulang kepada mereka, tegasnya.
Beliau berkata, PAS tidak akan menghapuskan perkataan Islam pada parti itu kerana apa yang diajarkan oleh Rasulullah Saw, Islam perlu diterima secara syumul.
Menurutnya, Islam telah dilenyapkan oleh penjajah sejak beratus tahun dan sekarang perlu ditonjolkan Islam dalam bidang politik. PAS meletakkan nama Islam pada parti politik adalah untuk menonjolkan Islam itu dalam semua bidang kehidupan supaya rakyat lebih sedar.
Katanya, sebagai seorang Islam kita perlu tonjolkan produk Islam, di mana sebelum ini penjajah tonjolkan Islam dalam aspek ibadat sahaja, manakala dalam bidang politik mereka tidak benarkan sama sekali.
"Umno tidak boleh hendak bermegah dengan membuat Bank Islam semata-mata kerana ia cuma konsep sahaja. Islam mesti diterima secara syumul yakni keseluruhan.
"Semua umat Islam sudah mengetahui Islam mempunyai peraturan yang mencakupi semua aspek kehidupan," tambahnya. Beliau juga berkata, Umno adalah parti kebangsaan dan tidak munasabah dia hendak tonjolkan Islam secara berlebihan.
Menteri Besar juga tidak menolak kemungkinan tindakan Umno mahu menggugurkan perkataan Islam terhadap PAS berpunca rasa kekecewaan mereka setelah kurang mendapat sambutan orang Melayu pada pilihan raya umum lalu. Umno tidak mahu bermuhasabah dan meletakkan faktur kemerosotannya berpunca dari dirinya sendiri.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali lagi menegaskan, PAS akan terus mengekalkan nama Islam pada partinya iaitu selaras dengan jaminan perlembagaan Perkara 10 dan 11, mengenai hak-hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan beragama.
Ia juga selaras dengan semangat hak asasi manusia yang diiktiraf oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau juga berkata, dalam dunia bertamadun hari ini semua ideologi sama ada komunis, sosialis, nasionalis, pragmatik, agama-agama dibenarkan menubuh parti-parti politik.
Di beberapa negara Eropah ada di antara parti politik yang popular ialah parti Kristian iaitu demokrat. Beliau juga menolak dakwaan PAS menyeleweng aqidah dan boleh mengacam keharmonian antara kaum di Malaysia.
"PAS mendasari perjuangan berasaskan al Quran, al Sunnah dan syura di kalangan ulamak PAS. "Malah PAS bersedia untuk bermuzakarah dalam hal-hal berkaitan agama dengan semua pihak termasuk Umno," ujarnya.
Tegasnya lagi kita sepatutnya berbangga dengan Islam yang dianuti sekarang dan PAS memperjuangkan Islam dan bukannya kebangsaan. Bila Islam diperjuangkan maka kebangsaan akan terjaga dengan baik.
"Saya sudah membuat kenyataan berpuluh kali untuk bermuzakarah dengan Umno, tidak kena di mana perjuangan PAS. PAS sekarang mempunyai ahli termasuk yang mempunyai pendidikan tinggi sehingga ke peringkat Phd, namun Umno masih hendak membuang perkataan Islam.
"Jadi kita tanya tidak kena di mana sehingga hendak membuat perkataan Islam pada parti PAS. "Apa yang mahu dibuat oleh Umno itu sudah tentu akan menimbulkan masalah dalam masyarakat.
"Saya hendak minta semua ahli Umno keluar beramai-ramai dari parti itu kerana dasar Umno jelas tidak memperjuangkan Islam, dia hanya mengambil konsep sahaja," katanya.
Beliau berkata, Umno hanya memperkatakan Islam dalam perkara-perkara berkaitan wang iaitu zakat dan urusan haji kerana perkara itu boleh mendatangkan keuntungan kebendaan bagi parti tersebut.
Namun tambahnya, masalah murtab, aurat tidak diambil perhatian langsung oleh Umno.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Yahoo! Photos -- now, 100 FREE prints!
