June 8, 2000

BREAKING NEWS!

'Laman Reformasi' ditawan 'hacker'
Fathi Aris Omar

6:15am, JUM: Sebuah tapak web proreformasi yang popular pagi ini berjaya dirosakkan oleh anasir pengacau tapak-tapak web atau hackers. Laman Reformasi yang dikenali umum menerbitkan bahan-bahan siaran propembangkang gagal dicapai. Dalam tinjauan malaysiakini awal pagi ini, ketiga-tiga sambungan ke laman itu menunjukkan tanda-tanda ia dicerobohi dan sambungannya dipintas.

Sebaliknya laman itu, http://mahazalimtwo.tripod.com, menerbitkan satu gambar lucah yang begitu jijik dengan mesej tiga baris ayat, "Hahahahaha!!!!!!!!!!", ": )" dan "Dasar peliwat bangsa!"

Lambang ":)" bermakna senyuman atau ketawa sebagai tanda kegembiraan menyindir kejayaan anasir pengacau itu menguasai tapak web tersebut. Ia sering digunakan dalam komunikasi alam siber seperti untuk sembang (chat) atau mesej emel.

Lambang itu serasi pula dengan ungkapan ketawa, "ha, ha, ha" tersebut.

Ungkapan "dasar peliwat bangsa" dipercayai ada kaitannya dengan tuduhan dan perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambungan kedua, http://mahazalimnet.tsx.org/, juga mempunyai paparan yang sama.

Sementara alamat sambungan (URL) ketiga, http://mahazalimtwo.tripod.com/index2.htm, meninggalkan mesej "Blah lah Mahazalim....siapa lagi tera!" (Berambuslah Mahazalim... siapa lagi bijak!).

''Mahazalim' merupakan nama popular bagi laman ini.

Istilah bahasa pasar 'tera' (terror) menjadi kelaziman penutur loghat penduduk di negeri-negeri utara Semenanjung.

Tinjauan malaysiakini mendapati laman-laman web proreformasi yang lain tidak terjejas. Laman Mahafiraun 2020, Komentar, FreeMalaysia, Pemantau, Reformasi Nasional, Al-Islah dan Black 14 masih berfungsi seperti biasa.

Begitu juga laman-laman reformasi yang baru seperti Minda Rakyat dan Fitnah e-Umno tidak diapa-apakan. Laman parti-parti pembangkang, khususnya Parti KeADILan Nasional, tidak terjejas.

Menjelang pilihan raya negeri Sabah tahun lalu, kumpulan diskusi maya milik beberapa kumpulan propembangkang berjaya diserang dengan spam atau terjahan emel.

Setiap pelanggan kumpulan emel ini, misalnya Islah-Net milik Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), mendapat beribu-ribu emel yang sama berulang-ulang tanpa henti.

Mesej berulang itu mendesak pengundi menyokong calon-calon Barisan Nasional dalam pilihan raya tersebut.

Selain Laman Reformasi yang bersifat antikerajaan, serangan pengacau web ini dipercayai ada hubungannya dengan pilihan raya kecil Telok Kemang yang akan berlangsung esok. Pilihan raya itu menyaksikan pertandingan dua penjuru antara KeADILan dengan Barisan Nasional.

Tapak web reformasi ini menyediakan pelbagai bahan sebaran untuk digunakan oleh penyokong-penyokong KeADILan. Ia termasuklah dokumen rasmi mendedahkan amalan korup Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, cek sejumlah RM400 juta sumbangan Telekom kepada parti pemerintah dan surat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel.

Bagaimanapun, malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan cek dan surat tersebut.

Percubaan untuk menghubungi pengendali web Laman Reformasi belum berhasil setakat pagi ini.

Malaysiakini sedang mendapatkan pandangan pakar berhubung perkembangan terbaru ini.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Photos -- now, 100 FREE prints!

Kirim email ke