Bekas Adun Umno gagal hadir sidang Dun

TUMPAT,27 Jun (hrkh) - Pemimpin-pemimpin Umno dinasihatkan lebih berhati-hati membuat ulasan terhadap Anggota Parlimen Sik, yang menghadapi masalah kesihatan kerana wakil rakyat parti itu di Ketereh penggal lalu tidak pernah hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan kecuali semasa majlis angkat sumpah disebabkan sakit.

Setiap kali persidangan Dun berlangsung, bekas wakil rakyat Ketereh, Ariffin Mahmood memohon mendapat pelepasan untuk tidak menghadiri persidangan kerana masalah kesihatan.

Malah setiap persidangan Dun berlangsung pada penggal lalu, Speaker Wan Abdul Rahim Wan Abdullah terpaksa membaca surat dari bekas wakil rakyat berkenaan, yang memohon untuk bercuti.

Adun Kelaboran, Nordin Yaakub berkata, kejadian yang pernah berlaku ke atas bekas wakil rakyat Umno di Kelantan itu sepatutnya menjadi ingatan kepada Umno.

Katanya, parti itu tidak boleh mempersalahkan Prof Emiritus Dato' Shahnon Ahmad yang kini menghadapi masalah kesihatan untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya.

"Sasterawan Negara itu masih lagi berupaya melaksanakan tugasnya melalui wakil-wakil yang dilantik biarpun dia tidak dapat turun ke Sik sekerap mungkin," katanya di sini.

Menurutnya, Dato' Shahnon sebelum ini kelihatan acap kali menghadiri sidang parlimen bagi melaksanakan tugasnya.

"Namun apa yang berlaku ke atas bekas wakil rakyat Ketereh amat malang sekali kerana sepanjang pengetahuan saya dia tidak pernah menghadiri persidangan Dun kecuali pada majlis angkat sumpah selepas memenangi kawasan itu pada pilihan raya umum 1995," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain dilaporkan berkata, keputusan Shahnon untuk tidak melepas jawatan sebagai anggota Parlimen Sik kononnya merugikan penduduk di kawasan Parlimen itu.

Shahnon sebelum itu, membuat keputusan tidak akan melepaskan jawatan sebagai anggota Parlimen Sik biarpun menghadapi masalah kesihatan setelah menimbang rayuan pengundinya untuk mengekalkan kerusi tersebut.

Nordin berkata, biarpun bekas Adun Ketereh tidak pernah hadir pada setiap kali persidangan Dun, dia tidak pernah diminta oleh PAS untuk meletak jawatan sebagai Adun kawasan tersebut.

Beliau juga menyokong penuh hujah Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang memberi pandangan tiada sebab Shahnon meletak jawatan disebabkan masalah kesihatan, memandangkan bekas Adun Ketereh turut menghadapi masalah serupa, namun tidak pernah diminta melepaskan jawatannya.

Comments ? E-mail Us



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke