MENGULANG KAJI SEJARAH LAMA
Kuala Lumpur,
26hb. Februari, 1986.
YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed,
Presiden UMNO Malaysia,
d/a Jabatan Perdana Menteri,
Jalan Dato' Onn,
50520 Kuala Lumpur.
Seperti Saudara YAB sedia termaklum, saya telah menyatakan hasrat
saya meletak jawatan di dalam percakapan kita pada 27hb. Januari, 1986,
iaitu sebelum saya bertolak ke Davoz, Switzerland.
Sekarang, setelah menggunakan waktu cuti saya dengan fikiran yang
tenang, waras serta penuh keinsafan, saya dengan ini mengambil keputusan
muktamad meletakkan jawatan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan semua
jawatan berkaitan dengannya iaitu termasuk Menteri Dalam Negeri,
berkuatkuasa daripada 16hb. Mac, 1986. Surat rasmi saya sampaikan
berasingan.
Saya menulis surat ini kepada Saudara selaku Presiden UMNO berkaitan
dengan jawatan saya selaku Timbalan Presiden.
Berlanjutan daripada perletakan jawatan saya selaku Timbalan Perdana
Menteri, saya dengan in!
i juga meletak jawatan saya selaku Timbalan Presiden
UMNO dan semua jawatan berkaitan dengannya, iaitu berkuatkuasa daripada
16hb. Mac, 1986.
Sungguhpun saya tidak menghuraikan sebab-sebab saya meletak
jawatan-jawatan berkenaan dalam surat rasmi saya kepada Saudara selaku
Perdana Menteri, saya fikir perlu saya jelaskannya dalam surat saya ini
kepada Saudara selaku Presiden UMNO.
Saudara tentu ingat bahawa pada malam sebelum Perhimpunan Agong UMNO
tahun lalu, Saudara telah membangkitkan soal bagaimana ada di kalangan
ahli-ahli Majlis Tertinggi yang kesetiaannya kepada Saudara dipersoalkan.
Bukan itu sahaja, berbagai-bagai cakap negatif dan tohmah telah, dikatakan
oleh Saudara, dilemparkan ke atas Saudara sendiri. Ini semua, dikatakan oleh
Saudara, menimbulkan keadaan tidak sihat dan berpotensi perpecahan di
kalangan Parti kita UMNO sendiri.
Kata-kata Saudara begitu serius dan tegas, lebih-lebih lagi apabila
Saudara meminta ahli-ah!
li Majlis membuat kenyataan taat setia, hinggakan
suasana begitu tegang dan resah di kalangan para anggota Majlis. Boleh
dikatakan semua ahli tertanya-tanya siapakah yang dimaksudkan oleh Saudara.
Saya sendiri begitu juga dan cuba meramalkan siapakah yang dimaksudkan oleh
Saudara, dengan tidak terlintas langsung di hati saya penglibatan saya
sendiri, berasas kepada perhubungan kita berdua yang saya percaya waktu itu
begitu baik dan rapi. Maka berasas kepada keadaan sedemikianlah, apabila
saya diberi peluang bercakap di Perhimpunan Agong yang berkenaan, saya
memutuskan bahawa perlu saya bantu Saudara dengan kenyataan sokongan penuh
saya sendiri, Majlis Tertinggi dan para perwakilan ke atas kepimpinan
Saudara selaku Presiden dan Perdana Menteri. Kenyataan ini saya buat dengan
spontan, ikhlas dan penuh kepercayaan diri saya sendiri atas sokongan saya
kepada Saudara.
Pada 15hb. Januari, 1986, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi,
sungguhpun s!
udah begitu larut malam, Saudara telah sekali lagi menimbulkan
keadaan dan suasana resah dan tanda tanya di kalangan ahli-ahli Majlis
apabila Saudara membangkitkan soal berbagai-bagai tohmah ke atas diri
Saudara selaku Perdana Menteri. Saudara telah lebih serius, tegas dan khusus
lagi kali ini dibandingkan dengan kali dahulu. Dalam kenyataan-kenyataan
Saudara serta setelah ditanya oleh beberapa orang ahli, Saudara menjelaskan
bahawa, di antaranya:
Tohmah-tohmah ini menyatakan kononnya Saudara adalah seorang
PM yang 'diktator', 'korup', dan 'terkaya sekali di dunia'.
Tohmah-tohmah ini merupakan tekanan yang begitu berat ke
atas Saudara hingga ianya menjejaskan kemampuan Saudara dalam menjalankan
tugas-tugas rasmi Saudara yang lebih besar dan penting lagi memerlukan
perhatian. (Begitu serius hingga pada esok harinya Saudara memberitahu saya
bahawa pada malam itu juga 'I was determined to resign').
Tohmah-tohmah ini kuat berbau politik!
dan bertujuan
menjatuhkan Saudara; dan
Tohmah-tohmah ini datang dari kalangan orang-orang kanan
dalam Parti dan Kerajaan yang tidak sabar hendak mengambil alih tempat
Saudara.
Selama ini saya penuh kepercayaan bahawa hubungan kita berdua begitu relax,
rapat dan mesra seolah-olah adik-beradik. Sesungguhnya pada awal-awal waktu
kita berdua bertanggungjawab selaku PM dan TPM hinggalah akhir-akhir ini,
saya berasa begitu mesra tiap-tiap kali selepas Saudara menunjuk-ajar atau
menegur saya dalam berbagai-bagai hal baik rasmi mahupun peribadi.
Apabila saya mendengar semua kenyataan-kenyataan Saudara di malam
15hb. Januari itu dengan begitu teliti, saya lebih lagi tertanya-tanya malam
itu juga atas siapakah yang dimaksudkan. Pada keesokan harinya bertanyalah
saya pada Saudara samada saya sendiri terlibat.
Kesimpulan jawab Saudara ialah 'Ya'.
Saya pada mulanya berasa sangat-sangat tersinggung, kecewa dan
terperanjat serta tidak per!
caya mendengarnya. Dalam percakapan kita pada
pagi itu yang agak hangat, saya telah menafikan sekeras-kerasnya
tohmah-tohmah Saudara ke atas diri saya itu.
Malangnya, tiap-tiap kali saya membuat penafian dalam percakapan
kita itu, Saudara berkali-kali juga menyatakan bahawa 'begitu banyak
Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan dan Wartawan-wartawan' telah melaporkannya.
('Too many Senior Government Officials and Journalists...'). Implikasinya
ialah bahawa saya terlibat dalam satu pergerakan bertujuan menjatuhkan
Saudara seperti dihuraikan oleh Saudara dalam mesyuarat MT itu.
Memandangkan kenyataan di atas, tentulah Saudara sendiri dan, saya
percaya, ahli-ahli MT bersependapat dengan saya bahawa saya tidak ada
pilihan lain melainkan mengundur diri supaya meringankan bebanan
tekanan-tekanan yang begitu serius ke atas diri Saudara. Ini juga akan
membolehkan Saudara mentadbirkan Parti dan Negara kita atas nama seluruh
anggota Parti dan Rakyat Je!
lata dengan lebih berkesan lagi dalam keadaan
pemikiran Saudara yang tenang dan tidak diganggu-gugat oleh sesiapa juga,
khususnya orang nombor dua Saudara sendiri.
Soal pokok di sini ialah soal kesetiaan dan kepercayaan. Pastilah
bahawa Saudara mempersoalkan kesetiaan saya dan kepercayaan Saudara atas
diri saya menimbulkan tanda tanya pula. Seperti mana Saudara mementingkan
kesetiaan dan kepercayaan ini, saya juga sependapat dengan Saudara. Perlu
juga saya sebutkan di sini - sungguhpun sekarang merupakan sejarah - bahawa
saya berasa sangat-sangat megah di atas apa yang saya sangka sebagai
hubungan rapi kita berdua sebelum timbul tohmah-mentohmah ini. Tiap-tiap
kali disebut atau dipersoalkan oleh sesiapa pun hubungan kita - lebih-lebih
lagi bila khabar-khabar angin begitu kencang menyatakan kita sudah renggang
dan berbalah - saya sentiasa menafikannya serta menyatakan 'Alhamdulillah,
PM dan saya begitu rapi hubungan' ('Thank God PM and I !
are very close in our
relationship)
Percakapan kita pada pagi sebelum saya bertolak ke Davos, iaitu pada
27hb. Januari, 1986 lebih tegang dan merenggangkan serta menekan kepada
saya. Saudara telah membangkitkan begitu banyak lagi perkara-perkara yang
Saudara mengkritik saya. Khususnya, di antara lain, beberapa orang yang saya
rekomen begitu buruk performancenya. 'Budak-budak' saya ('your boys') begitu
banyak mencemarkan nama Saudara, dan lain-lain lagi. Saya sengaja tidak
menjawab oleh sebab ini akan cuma lebih memburukkan suasana dan perasaan
negatif Saudara atas diri saya. Cuma saya mengambil kesempatan di sini
mengingat kembali bahawa waktu kita berdua terkeluar daripada Kerajaan/Parti
selepas 13hb. Mei, 1969 dahulu, di antara faktor-faktor penting
menyebabkannya ialah 'budak-budak Dia'!, walaupun sekarang kita pasti bahawa
PM waktu itu tidak tahu-menahu mengenainya.
Sepanjang masa saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, s!
aya
mengaku memanglah ada beberapa dasar serta cara-cara perlaksanaan dasar atas
nama Kerajaan pimpinan Saudara yang saya sendiri persoalkan. Tetapi, banyak
daripadanya saya beritahu kepada Saudara sendiri dalam pertemuan-pertemuan
yang begitu kerap kita adakan. Pada dasarnya, saya menerima hakikat bahawa
Saudaralah PM dan lagi, prinsip tanggungjawab bersama atau 'collective
responsibility' saya terima.
Saudara juga telah saya maklumkan beberapa kali bagaimana saya ingin
bersara oleh kerana saya bosan dengan 'politik wang' (di mana saya
menyatakan saya tidak mampu bertanding lagi) dan penyalahgunaan kuasa bagi
kepentingan politik dan sebagainya. Permintaan saya bersara Saudara minta
saya tangguhkan dan saya menghormatinya.
Walau bagaimanapun, nampaknya Saudara lebih menjangka saya 'bermain
politik' bertujuan menjatuhkan Saudara daripada benar-benar mahu bersara.
Tohmah Saudara ke atas diri saya merupakan tamparan yang begitu hebat ke!
pada
maruah dan kredibiliti saya, lebih-lebih lagi selama ini saya sangka Saudara
sendiri menerima peranan saya sebagai orang sokongan kedua kepada Saudara.
Adakah perletakan jawatan saya ini merupakan 'sabotage' kepada
Saudara atau Parti? Adakah ianya merupakan 'excuse' saya berhenti?
Terpulanglah kepada kematangan sesiapa yang memikir atau membincangnya.
Tetapi, walau apapun dikatakan nanti, saya fikir perlu saya huraikan
sebab-sebab saya memutuskan meletak jawatan sekarang juga. Antara yang
penting ialah:
Prinsip saya berkhidmat dan menjalankan tugas berasas kepada
kepercayaan penuh (faith), commitment dan dengan sukacita saya sendiri.
Commitment sudah merosot kerana tidak dipercayai dan sukacita hati sudah
menjadi duka.
Walaupun saya buat sesuatu dengan cara apapun, saya akan
berbuatnya dengan takut-takut ditohmah atas motif kepentingan politik saya
sendiri.
Kenyataan-kenyataan umum beberapa orang Menteri, (saya
perca!
ya kebanyakan mereka cuba membantu Saudara) dan Saudara sendiri atas
'pihak-pihak tertentu' yang cuba 'memecah belah', 'menjatuhkan Kerajaan' dan
'kita tahu siapa dia di dalam dan di luar Parti' yang mencemarkan nama baik
Saudara sebagai PM dan kata-kata khusus bahawa 'Doc cannot work together
with Musa anymore but cannot do anything because Musa is too powerful now..'
semua ini menekan fikiran saya. Tambah lagi aktiviti-aktiviti
'comando-comando' dengan rancangan-rancangan khusus mereka merisau fikiran
saya atas potensi dan bahaya kita berpecah-belah dan saya dilibatkan.
Selagi lama saya terus memegang jawatan, selagi hebat
tohmah-mentohmah berterusan. Kalau saya terus bekerja kuat, ini akan disalah
tafsir, kalau sebaliknya, lebihlah lagi. Sebenarnya, saya bercadang meletak
jawatan sebaik sahaja pulang daripada Davos. Tetapi saya telahpun meminta
supaya lawatan Saudara ke Johor pada 20hb, dan 21hb. Februari disambut
secara besar-besaran!
dan dijayakan.
Dengan saya meletakkan jawatan sekarang, ini akan
membolehkan Saudara memilih orang yang Saudara percaya penuh bagi membantu
Saudara berhadapan dengan rakyat nanti. Ini akan mengekalkan juga perpaduan
Parti dengan saya sendiri tidak menentang Saudara atau mengecam Saudara.
Dalam keadaan sebegini, saya ada dua pilihan, iaitu:
Berdiam diri dan 'bersabar' (Ini sudah dijawab di(4) di
atas); atau
Beralah
Saya memilih (ii) sebab ianya sebaik-baik bagi Parti kita.
Saya sedar dan insaf ahli-ahli Parti, lebih-lebih lagi yang memang
menentang saya, akan mengecam saya menyatakan saya sabotage, tak sayang
Parti dan sebagainya. Tetapi, pada hemat saya, kalaulah saya hendak
disalahkan, kesalahan saya hanyalah bahawa saya sedia mengorbankan diri saya
bagi membuktikan bahawa saya beralah dan tidak mahu difitnah mengancam
kedudukan Saudara.
Untuk membukti saya tidak ada tujuan 'bermain politik' atau terus
membebankan Sau!
dara, saya akan berada di luar negeri sebaik sahaja saya
serahkan surat ini. Ini ialah bagi mengelakkan diri saya daripada ditanya
atau dipujuk rayu oleh 'orang-orang' atau 'budak-budak' saya. 'Orang-orang'
atau 'budak-budak' saya ini semua pula tentulah akan kecewa kepada saya.
Tetapi, inilah nasib politik saya yang saya terpaksa hadapi sendiri.
Ketiadaan saya dalam negeri juga akan mengurangkan perlunya saya sendiri
terlibat dalam perbincangan umum atas soal perletakan jawatan saya ini dan
dengan itu mengelakkan kekeruhan suasana.
Saya serahkan baik buruk nama saya kepada kebijaksanaan Saudara
sendiri dan rakan-rakan lain. Cuma saya berdoa ke hadrat Ilahi janganlah
hendaknya saya difitnah atau dicari-cari salah pula nanti. Saya, dengan nama
Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, mengundur diri dengan rela
hati.
Moga-moga Allah tenangkan hati Saudara, kukuhkan iman Saudara supaya
dapat Saudara terus memimpin Parti dan Negara!
kita yang kita cintai ini.
Saya akan sentiasa berdoa supaya niat baik Saudara hendak memimpin Negara
kita ke arah satu Negara yang maju, bermaruah dan megah akan tercapai.
Akhir sekali, mengikut adat Melayu dan ajaran Agama suci kita, saya
menuntut maaf di atas apa-apa jua yang tersalah silap saya lakukan kepada
Saudara sendiri, semua ahli-ahli Majlis Tertinggi dan seluruh anggota Parti
sepanjang masa saya berkhidmat.
Selamat Berkhidmat dan Selamat Majujaya.
BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT.
HIDUP MELAYU DAN MERDEKA
t.t.
( DATO' MUSA HITAM )
s.k : Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
Nota Webmaster....mungkin ramai generasi muda yang masih belum
membaca warkah ini. Sejarah pasti berulang...apa yang diperkatakan dulu
masih relevan dengan masa kini..... Terima kasih kepada Keris Sumbing
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!
