*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum yang dikasihi.......
Izinkan saya mengambil kesempatan ini dalam memberi pandangan dan maklumat
berkenaan dengan tajuk yang dikemukakan ini.
Namun, dalam pada itu... saya hanya sekadar memberi huraian yang asas kepada
pemahaman demi untuk memudahkan saudara/i rakan netters mengetahui secara
basic, apa dia yang dikatakan Hakikat Nur Muhammad / Hakikat Muhammadiyyah.
Untuk mengetahui huraian yang lebih mendalam, adalah dianjurkan saudara/i
rakan netters berguru dengan guru yang mursyid (ahli di dalam tasauf).
InsyaAllah.......
AJLAQ
HAKIKAT NUR MUHAMMAD MENURUT ISLAM
� Pendahuluan
Berhubung dengan konsep "Nur Muhammad" telah lama dibincangkan dan
diperkatakan oleh ramai umat Islam di Malaysia dan di Nusantara ini. Ada
segolongan umat Islam menerima konsep tersebut dengan mengemukakan
hujah-hujah tersendiri. Manakala segolongan yang lain menolaknya dan tetap
tidak boleh menerimanya dengan mengemukakan hujah-hujah dan dalil-dalil
tersendiri pula.
� Erti Nur Muhammad
Perkataan "Nur" berasal dari Bahasa Arab "An-Nur" bermaksud cahaya atau
sinaran, lawan kepada perkataan gelap. Nur juga merupakan sebahagian dari
sifat Allah, seperti mana yang disebut dalam Al-Qur'an, bermaksud :
"Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah
adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita
besar. Pelita itu di dalam kaca, (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang
bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang
banyak berkatnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur
dan tidak di sebelah baratnya. Yang minyaknya sahaja hampir-hampir menerangi
walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah
membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki dan Allah memperbuat
perbandingan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
[An-Nur : 35]
Manakala "Muhammad" yang dimaksudkan di sini ialah Nabi Muhammad SAW, Nabi
akhir zaman yang diutus oleh Allah Ta'ala untuk seluruh umat manusia dan
baginda dari bangsa Arab kabilah Quraisy yang dilahirkan di Makkah.
Apabila kedua-dua perkataan di atas digabung sekali menjadi sebutan "Nur
Muhammad", maka bagi segolongan yang percaya kepada konsep Nur Muhammad,
mereka berkata ia bermaksud "Roh Nabi Muhammad" atau "Hakikat Muhammad" yang
dianggap makhluk Allah yang mula-mula dijadikan dan semua makhluk yang ada
di langit dan di bumi dijadikan daripada Nur Muhammad tersebut, serta segala
makhluk yang ada ini dijadikan adalah kerana Nabi Muhammad. Kalau tidak
kerana baginda, makhluk tidak akan dijadikan.
Ada banyak kita sama ada di dalam bahasa Arab atau Melayu (jawi dan rumi)
menulis dan memperkatakan perkara ini seperti "Kitab Hikayat Nur Muhammad"
dan sebagainya. Ramai penulis menyebut bahawa Hikayat Nur Muhammad ini
memang masyhur dan popular diperbincangkan sewaktu keagungannya kerajaan
Islam di Acheh dan di Melaka lagi, dan ia terus tersebar atau diperkatakan
orang sampai ke hari ini.
Bagi golongan yang menyokong kewujudan Nur Muhammad, mereka mengatakan ia
ada kaitan dengan apa yang dipanggil "Martabat Tujuh" @ "Wahdatul Wujud"
yang membicarakan asal kejadian alam ini, dan ada kaitan dengan cara bagi
meningkatkan kefahaman Tauhid.
� Kisah Tentang Nur Muhammad
Kisah Nur Muhammad mempunyai kaitan rapat dengan tiga perkara penting iaitu
pertama; Nur Muhammad adalah makhluk Allah yang mula-mula sekali dijadikan.
Tidak ada makhluk Allah yang mendahului kewujudan Nur Muhammad.
Kedua; Nur Muhammad adalah punca segala kejadian makhluk atau dengan kata
lain makhluk keseluruhannya dijadikan dari Nur Muhammad sama ada melalui Nur
Muhammad secara d'airat atau melalui peluhnya.
Ketiga; dikatakan kerana Muhammad SAW segala makhluk dijadikan jika tidak
kerana Muhammad SAW, makhluk tidak dijadikan Allah.
� Pandangan Golongan Yang Menyokong
Di bawah ini dijelaskan konsep Nur Muhammad mengikut golongan yang
menyokong.
Cerita berhubung dengan konsep Nur Muhammad ini ada bermacam-macam dan
berbagai-bagai tafsiran, tidak ada persamaan di antara satu dengan yang
lain. Di antara cerita-cerita itu ialah :
1. Syaikh Ab. Razak menyebut bahawa Rasulullah SAW memberitahu Jabir
sesungguhnya Allah mencipta Nur Nabi Muhammad SAW daripada Nur-Nya sebelum
dijadikan makhluk-makhluk lain. Sebelum dijadikan Luh Mahfuz, Qalam, Syurga,
Neraka, Malaikat, langit, bumi, matahari, bulan, manusia, jin dan
sebagainya. Dikatakan apabila Allah hendak mencipta makhluk, dibahagikan Nur
Muhammad kepada empat bahagian, dari bahagian pertama dijadikan Qalam, dari
bahagian kedua dijadikan Luh Mahfuz, dari bahagian ketiga dijadikan Arash.
Kemudian dibahagi bahagian keempat kepada empat bahagian lain, bahagian
pertama dijadikan Malaikat yang memikul Arash Allah, bahagian kedua
dijadikan Kursi Allah, bahagian ketiga dijadikan para Malaikat yang lain.
Kemudian bahagian yang keempat itu dibahagi lagi kepada empat bahagi lagi
kepada empat bahagian dari bahagian pertama dijadikan tujuh petala langit,
bahagian kedua dijadikan tujuh petala bumi, dari bahagian ketiga dijadikan
Syurga dan Neraka. Kemudian bahagian yang keempat dibahagi lagi kepada
empat, bahagian; pertama dijadikan cahaya pandangan orang mukmin, dari
bahagian kedua dihadikan cahaya hati mereka untuk dapat mengenali Allah.
Dari bahagian ketiga dijadikan cahaya manusia (Nurul Insan) iaitu Tauhid "La
ilaha ilallah, Muhammad Rasulullah SAW".
Manakala di dalam kitab "Kasyfu al-Ghaibiyyat" karangan Syeikh Zainal Abidin
Patani menyebut cerita yang berbeza dari di atas katanya, Allah menjadi
sepohon pokok ada empat cabang dinamakan pokok Al-Muttaqin atau Al-Yaqin,
kemudian dijadikan Nur Muhammad dalam hijab dari permata putih menyerupai
burung merak. Burung itu bertasbih di atas pokok tersebut selama 70 ribu
tahun. Apabila ia melihat rupanya di dalam cermin dan malu kepada Allah lalu
berpeluh sebanyak enam titik. Dari titik pertama jadi Roh Abu Bakar
As-Siddiq, titik kedua jadi Roh Umar Al-Khattab, dari titik ketiga jadi Roh
Uthman Ibn Affan dari titik keempat jadi Roh Ali bin Abi Talib KWJ, titik
kelima jadi pokok bunga mawar dan titik keenam jadi padi. Kemudian Nur itu
(Burung Merak) sujud sebanyak lima kali yang menyebabkan wajib sembahyang
lima kali. Kemudian ia menilik kali kedua dan berpeluh lagi. Dari peluh
hidungnya dijadikan Malaikat, dari peluh muka dijadikan Arash, Kursi, Luh
Mahfuz, Qalam, Matahari, bulan, bintang-bintang dan benda-benda di langit.
Dari peluh dadanya dijadikan para Nabi, Ulama'-ulama' Syuhada' dan
orang-orang soleh. Dari peluh belakangnya dijadikan Baitul-Ma'mur, Ka'abah,
Baitul Maqdis dan tapak-tapak masjid di seluruh dunia. Dari peluh dua kening
dijadikan umat Nabi Muhammad yang mukmin lelaki dan perempuan. Dari peluh
dua telinga dijadikan roh orang-orang Yahudi, Nasrani, Majusi, Mulhid dan
Munafiq. Dari peluh dua kaki dijadikan bumi dan isi kandungannya.
Cerita yang hampir sama disebut dalam kitab "Daqaiq al-Akhbar", karangan
Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Langka. Dalam kitab ini ada sedikit
perbezaan dengan yang disebut di atas iaitu kitab ini menyebut dari peluh
Nur Muhammad yang kelima dijadikan air mawar (bukan pokok bunga mawar). Dan
dari titik peluh keenam dijadikan beras (bukan padi). Manakala yang lain
sama seperti dalam kitab di atas.
2. Jikalau dilihat kepada hubungan di antara Nur Muhammad dengan kelahiran
Nabi Muhammad SAW, ada cerita menyebut bahawa kira-kira dua ribu tahun
sebelum Adam a.s. dijadikan, Nur Muhammad bertasbih memuji-muji Allah dan
Malaikat juga turut bertasbih bersama. Apabila Adam a.s. dicipta oleh Allah,
maka Nur tadi disimpan dalam dalam tanah lembaga Adam a.s. Apabila Adam a.s.
turun ke bumi, Nur itu berada di belakangnya. Sewaktu Nabi Nuh a.s. berada
dalam kapal semasa taufan, Nur itu berada dalam salbi Nabi Nuh a.s.,
kemudian berpindah ke salbi Nabi Ibrahim a.s. sewaktu baginda dicampak ke
dalam api, dan begitulah seterusnya Nur Muhammad itu berpindah-pindah dari
satu salbi ke satu salbi datuk nenek baginda sehinggalah akhirnya Nur itu
berada dalam kandungan perut Siti Aminah, bonda Rasulullah SAW. Kemudian
apabila baginda dilahirkan, maka lahirlah seorang manusia yang dijadikan
daripada Nur. Apabila berumur 40 tahun baginda dilantik menjadi Nabi akhir
zaman.
Menurut golongan ini, Nur Muhammad adalah Qadim kerana ia dari Nur Ilahi,
sebab itu dalam kitab berzanji pengarangnya ada menyebut, "Aku berselawat
dan memberi salam ke atas Nur (Muhammad)", yang disifatkan Qadim dan awal
yang berpindah-pindah dari keturunan yang mulia.
3. Selain itu ada sumber yang dikatakan Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir
r.a. bahawa Rasulullah SAW, bersabda, maksudnya :
"Sesungguhnya Allah mencipta roh Nabi Muhammad SAW, dari Zat-Nya dan dicipta
alam seluruhnya dari Nur Muhammad SAW."
Ustaz Abdullah Muhammad (Naqula) dari Kelantan apabila ditanya pandangannya,
beliau menyebut, bahawa Roh atau Nur Muhammad adalah sebagai umbi (asal)
segala isi alam ini.
4. Ekoran dari kepercayaan kepada Nur Muhammad seperti di atas, melahirkan
pula satu anggapan bahawa makhluk dijadikan kerana Nabi Muhammad SAW.
Golongan yang percaya ini membawa beberapa dalil, antaranya :
Dikatakan ada Hadis Qudsi menyebut, ertinya :
"Kalau tidak kerana engkau (wahai Muhammad) tentu Aku (Allah) tidak mencipta
cakerawala (alam ini)."
Dan yang lain lagi bermaksud :
"Aku (Allah) ciptakan segala benda kerana kamu (Muhammad) dan Aku jadikan
kamu kerana Aku (Allah)."
Apa yang disebut di atas adalah sebahagian daripada dalil-dalil dan
hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan yang menyokong konsep Nur
Muhammad dan perkara-perkara yang berhubung dengannya. Kerana itu mereka
tetap menerima dan menjadi pegangan mereka. Dan adalah tidak dinafikan dalam
pada itu ada juga golongan kedua yang menolak dan tidak menerima dalil-dalil
dan hujjah-hujjah tersebut.
Wallahu ta'ala a'lam��.
Wassalamu��.
Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
>From: "som siah" <[EMAIL PROTECTED]>
>To: [EMAIL PROTECTED]
>Subject: H-Net* Hakikat Nur Muhammad
>Date: Tue, 15 Aug 2000 08:28:30 MYT
>
>Assalamualaikum.
>
>Saya ingin bertanya kepada netters yang arif tentang hakikat
>Nur Muhammad. Apakah memang benar sebelum Allah mencipta
>makhluk2Nya , yang mula2 dicipta ialah Nur Muhammad?
>Sekiranya benar adakah terdapat nas atau hadis yang
>jelas tentangnya? Atau ia hanya datang dari fahaman
>yang direka2...
>
>
>Sekian.
>
>Wassalam
>_____________________________________________________________________
________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>