*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pada pandangan Dr Mahathir apabila seseorang itu  telah dipilih oleh
rakyat menjadi ketua kerajaan sebuah negara, dia haruslah mempunyai
kuasa penuh ke atas segala urusan dalam negara tersebut.

Semasa mula-mula dipilih menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun
1981, Dr Mahathir telah nampak halangan-halangan yang bakal
menyusahkannya dalam mentadbir dan memimpin negara ini mengikut
kehendaknya. Semua orang tahu Dr Mahathir mempunyai agenda besar untuk
negaranya dan dunia. Kadang-kadang orang ramai sukar untuk menerima idea
yang dibawanya. Bertambah sukar lagi bila parti pembangkang dan
penentangnya selalu mempolitikkan apa saja rancangan yang dibuatnya
untuk negara.

Di samping menggunakan rakyat biasa, parti pembangkang juga ada kalanya
dapat mempengaruhi pihak istana dan badan perundangan yang juga
mempunyai kuasa tersendiri yang tidak boleh dikawal oleh Perdana
Menteri. Dr Mahathir telah nampak institusi-institusi ini ada kalanya
boleh menggugat kedudukannya atau menjadi halangan kepada cita-citanya.
Akhirnya secara halus, bagaikan sebuah sandiwara yang terancang rapi Dr
Mahathir telah dapat menguasai badan kehakiman dan institusi raja-raja
pula telah dapat dihapuskan kekebalannya. Sekarang kita nampak Perdana
Menteri Malaysia adalah orang yang paling berkuasa di Malaysia dan
kebal.

Institusi mufti yang sebelum ini begitu dihormati dan dipandang tinggi
oleh orang ramai juga tidak terlepas dari dikritik dan ditegur oleh Dr
Mahathir, sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh Perdana Menteri
terdahulu. Akhirnya mufti-mufti tunduk di bawah kuasa Dr Mahathir, mufti
tidak boleh lagi mengeluarkan fatwa tanpa restu Dr Mahathir.

Dr Mahatir berpandangan Perdana Menteri yang dipilih dan diberi mandat
oleh rakyat mestilah mempunyai kuasa penuh. Kerana pada anggapannya jika
Perdana Menteri tidak berlaku baik maka rakyat boleh menggunakan peti
undi untuk menurunkannya. Tetapi katanya lagi jika Sultan tidak berlaku
baik, tidak ada jalan untuk menurunkannya dari takhta, oleh itu Sultan
mesti dihilangkan kekebalannya supaya baginda boleh dikawal melalui
undang-undang. Dr Mahathir mahu Perdana Menteri yang kebal dari
undang-undang tetapi dia boleh diturunkan dengan peti undi. Tidak
hairanlah kalau selama ini berpuluh-puluh dakwaan salah laku Dr Mahathir
yang dilapurkan kepada polis dan Peguam Negara oleh parti pembangkang
tetapi  akhirnya senyap begitu saja tanpa sebarang tindakan.

Kadang-kadang ada baiknya jika semua kuasa dilonggokan kepada Perdana
Menteri untuk memberi kelicinan kepada perlaksanaan agendanya. Mungkin
cara itu tidak akan menimbulkan masalah selagi Perdana Menteri itu tidak
bermasalah. Tetapi kalau dapat Perdana Menteri yang tidak baik, tidak
adil dan zalim tentulah rakyat akan terus menanggung derita akibatnya.

Kita memang setuju dengan prinsip seseorang yang menjadi Perdana Menteri
mestilah mempunyai kuasa penuh. Dan kita boleh setuju dengan pandangan
Dr Mahathir yang mengatakan seorang  Perdana Menteri yang tidak baik
boleh diturunkan melalui pilihanraya.  Tetapi ini hanya boleh berlaku
secara teori saja. Hakikatnya kuasa penuh yang dia miliki itu dapat pula
dia gunakan untuk mempastikan peti undi sentiasa memihak kepadanya.
Sampai bila pun dia tidak akan boleh diturunkan melalui peti undi.

Kalau sudah semua media elektronik dan akhbar utama diarahkan untuk
memuji-muji kebaikannya dan menutup keburukan dan kelemahannya manakala
keburukan pembangkang diada-adakan dan dibesar-besarkan sudah tentu kita
sudah tahu keputusan yang keluar dari peti undi pada setiap pilihanraya.
Itu belum termasuk undi pos yang meragukan dan pendaftaran undi hantu.
Media parti pembangkang untuk menyampaikan maklumat disekat mengikut
kehendaknya, permit berhimpun dan memberi ceramah oleh parti pembangkang
disekat dan disukarkan. Bolehkah dengan segala macam rintangan dan
halangan ini   Perdana Menteri yang tidak baik boleh diturunkan?

Dari sejarah dunia kita dapat perhatikan banyak pemimpin yang berkuasa
mutlak tidak pernah dapat diturunkan melalui peti undi sekalipun
kepimpinannya tidak disukai lagi oleh rakyatnya. Lihatlah kepada
Presiden Suharto dan Presiden Marcos sebagai contoh terdekat kepada
kita, peti undi tidak pernah dapat menurunkan mereka.

Agenda Dr Mahathir memang besar, dia mahu orang Islam di Malaysia
khususnya dan di dunia amnya maju dan boleh berdiri sama tinggi dengan
masyarakat lain di dunia ini. Dr Mahathir mahu umat Islam dapat
menguasai segala bidang ilmu dan kemajuan serta menjadi umat yang ke
depan.

Dia mahu memertabatkan umat Islam tapi dia juga punya kelemahan. Apalah
ertinya dia bercakap lantang melaungkan pasal Islam yang betul dan
keadilan di depan masyarakat antarabangsa tetapi dalam masa yang sama
dia tidak bertindak seiring dengan nilai Islam itu sendiri. Dengan
mudahnya dia mengaibkan dan memfitnah Anwar Ibrahim sebelum makamah
menjatuhkan hukum. Dia membahagi-bahagikan kekayaan negara dikalangan
saudara mara dan rakan-rakannya padahal tindakan seperti itu sangat
tercela dalam Islam.

Dia mudah rasa sebak dan menangis bila mengenang kembali bangsa Melayu
yang pernah dijajah dan dihina oleh bangsa lain, tetapi di manakah hati
Dr Mahathir yang lembut itu bila tidak berasa apa-apa melihat anak-anak
Anwar yang masih kecil dipisahkan dari bapanya angkara fitnah.

Dia begitu tegas membenteras rasuah dan salah laku seks bila terkena
kepada musuh politiknya, tetapi Rahim Thamby Chik dan Abu Hassan yang
dikhabarkan berlaku sumbang tidak pernah pula dia begitu mahu bertegas.

Bukankah double standard dan dikriminasi amalan yang sangat tercela
dalam Islam tetapi kenapa Dr Mahathir sendiri yang mengamalkannya. Dr
Mahathir selalu mendakwa dia saja yang betul-betul faham tentang Islam
dan orang lain banyak yang salah dalam memahami agama Islam. Sebenarnya
apa yang berlaku kita ini ibarat sekumpulan orang buta  yang
menceritakan tentang rupa gajah. Kalau kita tak mahu terima pandangan
orang lain dan hanya bertegas dengan pandangan kita saja maka sampai
bilapun kita akan katakan gajah itu seperti kipas jika kita memegang
dibahagian telinganya.

Bukanlah semua Dr Mahathir itu salah tetapi tidak juga semua dia betul.
Makamah kita juga memang adil, tetapi bila melibatkan yang ada
kepentingan dengan Dr Mahathir kelihatan makamah kita sukar untuk
berlaku adil. Suratkhabar perdana dan media elektronik di negara ini
terang-terang menjadi propaganda dan alat kempen pemimpin, dan tiada
ruang untuk parti pembangkang.

Dr Mahathir juga selalu  didapati berbohong dalam ucapannya, antara
sifat mulia yang harus ada pada seorang pemimpin ialah benar (sidiq) dan
amanah, tetapi Dr Mahathir tidak malu untuk berkata bohong. Siapalah
yang tidak pernah dengar Dr Mahathir berkata dia akan letak jawatan
setelah ekonomi pulih. Sekarang ekonomi telah pulih dan dia sendiri
mengakui ekonomi telah pulih tetapi sampai sekarang tidak nampak bayang
tanda-tanda dia akan berundur.

Apabila kita selalu berbohong, sekalipun di lain masa kita bercakap
benar pun orang akan kata kita bohong dan hanya bersandiwara. Samalah
seperti cerita gembala kambing yang suka berbohong yang akhirnya membawa
padah kepada dirinya sendiri.



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: alias <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke