*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pada pandangan Dr Mahathir apabila seseorang itu telah dipilih oleh rakyat menjadi
ketua kerajaan sebuah negara, dia haruslah mempunyai kuasa penuh ke atas segala urusan
dalam negara tersebut.
Semasa mula-mula dipilih menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981, Dr Mahathir
telah nampak halangan-halangan yang bakal menyusahkannya dalam mentadbir dan memimpin
negara ini mengikut kehendaknya. Semua orang tahu Dr Mahathir mempunyai agenda besar
untuk negaranya dan dunia. Kadang-kadang orang ramai sukar untuk menerima idea yang
dibawanya. Bertambah sukar lagi bila parti pembangkang dan penentangnya selalu
mempolitikkan apa saja rancangan yang dibuatnya untuk negara.
Di samping menggunakan rakyat biasa, parti pembangkang juga ada kalanya dapat
mempengaruhi pihak istana dan badan perundangan yang juga mempunyai kuasa tersendiri
yang tidak boleh dikawal oleh Perdana Menteri. Dr Mahathir telah nampak
institusi-institusi ini ada kalanya boleh menggugat kedudukannya atau menjadi halangan
kepada cita-citanya. Akhirnya secara halus, bagaikan sebuah sandiwara yang terancang
rapi Dr Mahathir telah dapat menguasai badan kehakiman dan institusi raja-raja pula
telah dapat dihapuskan kekebalannya. Sekarang kita nampak Perdana Menteri Malaysia
adalah orang yang paling berkuasa di Malaysia dan kebal.
Institusi mufti yang sebelum ini begitu dihormati dan dipandang tinggi oleh orang
ramai juga tidak terlepas dari dikritik dan ditegur oleh Dr Mahathir, sesuatu yang
tidak berani dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu. Akhirnya mufti-mufti tunduk di
bawah kuasa Dr Mahathir, mufti tidak boleh lagi mengeluarkan fatwa tanpa restu Dr
Mahathir.
Dr Mahatir berpandangan Perdana Menteri yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat
mestilah mempunyai kuasa penuh. Kerana pada anggapannya jika Perdana Menteri tidak
berlaku baik maka rakyat boleh menggunakan peti undi untuk menurunkannya. Tetapi
katanya lagi jika Sultan tidak berlaku baik, tidak ada jalan untuk menurunkannya dari
takhta, oleh itu Sultan mesti dihilangkan kekebalannya supaya baginda boleh dikawal
melalui undang-undang. Dr Mahathir mahu Perdana Menteri yang kebal dari undang-undang
tetapi dia boleh diturunkan dengan peti undi. Tidak hairanlah kalau selama ini
berpuluh-puluh dakwaan salah laku Dr Mahathir yang dilapurkan kepada polis dan Peguam
Negara oleh parti pembangkang tetapi akhirnya senyap begitu saja tanpa sebarang
tindakan.
Kadang-kadang ada baiknya jika semua kuasa dilonggokan kepada Perdana Menteri untuk
memberi kelicinan kepada perlaksanaan agendanya. Mungkin cara itu tidak akan
menimbulkan masalah selagi Perdana Menteri itu tidak bermasalah. Tetapi kalau dapat
Perdana Menteri yang tidak baik, tidak adil dan zalim tentulah rakyat akan terus
menanggung derita akibatnya.
Kita memang setuju dengan prinsip seseorang yang menjadi Perdana Menteri mestilah
mempunyai kuasa penuh. Dan kita boleh setuju dengan pandangan Dr Mahathir yang
mengatakan seorang Perdana Menteri yang tidak baik boleh diturunkan melalui
pilihanraya. Tetapi ini hanya boleh berlaku secara teori saja. Hakikatnya kuasa penuh
yang dia miliki itu dapat pula dia gunakan untuk mempastikan peti undi sentiasa
memihak kepadanya. Sampai bila pun dia tidak akan boleh diturunkan melalui peti undi.
Kalau sudah semua media elektronik dan akhbar utama diarahkan untuk memuji-muji
kebaikannya dan menutup keburukan dan kelemahannya manakala keburukan pembangkang
diada-adakan dan dibesar-besarkan sudah tentu kita sudah tahu keputusan yang keluar
dari peti undi pada setiap pilihanraya. Itu belum termasuk undi pos yang meragukan dan
pendaftaran undi hantu. Media parti pembangkang untuk menyampaikan maklumat disekat
mengikut kehendaknya, permit berhimpun dan memberi ceramah oleh parti pembangkang
disekat dan disukarkan. Bolehkah dengan segala macam rintangan dan halangan ini
Perdana Menteri yang tidak baik boleh diturunkan?
Dari sejarah dunia kita dapat perhatikan banyak pemimpin yang berkuasa mutlak tidak
pernah dapat diturunkan melalui peti undi sekalipun kepimpinannya tidak disukai lagi
oleh rakyatnya. Lihatlah kepada Presiden Suharto dan Presiden Marcos sebagai contoh
terdekat kepada kita, peti undi tidak pernah dapat menurunkan mereka.
Agenda Dr Mahathir memang besar, dia mahu orang Islam di Malaysia khususnya dan di
dunia amnya maju dan boleh berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain di dunia ini. Dr
Mahathir mahu umat Islam dapat menguasai segala bidang ilmu dan kemajuan serta menjadi
umat yang ke depan.
Dia mahu memertabatkan umat Islam tapi dia juga punya kelemahan. Apalah ertinya dia
bercakap lantang melaungkan pasal Islam yang betul dan keadilan di depan masyarakat
antarabangsa tetapi dalam masa yang sama dia tidak bertindak seiring dengan nilai
Islam itu sendiri. Dengan mudahnya dia mengaibkan dan memfitnah Anwar Ibrahim sebelum
makamah menjatuhkan hukum. Dia membahagi-bahagikan kekayaan negara dikalangan saudara
mara dan rakan-rakannya padahal tindakan seperti itu sangat tercela dalam Islam.
Dia mudah rasa sebak dan menangis bila mengenang kembali bangsa Melayu yang pernah
dijajah dan dihina oleh bangsa lain, tetapi di manakah hati Dr Mahathir yang lembut
itu bila tidak berasa apa-apa melihat anak-anak Anwar yang masih kecil dipisahkan dari
bapanya angkara fitnah.
Dia begitu tegas membenteras rasuah dan salah laku seks bila terkena kepada musuh
politiknya, tetapi Rahim Thamby Chik dan Abu Hassan yang dikhabarkan berlaku sumbang
tidak pernah pula dia begitu mahu bertegas.
Bukankah double standard dan dikriminasi amalan yang sangat tercela dalam Islam tetapi
kenapa Dr Mahathir sendiri yang mengamalkannya. Dr Mahathir selalu mendakwa dia saja
yang betul-betul faham tentang Islam dan orang lain banyak yang salah dalam memahami
agama Islam. Sebenarnya apa yang berlaku kita ini ibarat sekumpulan orang buta yang
menceritakan tentang rupa gajah. Kalau kita tak mahu terima pandangan orang lain dan
hanya bertegas dengan pandangan kita saja maka sampai bilapun kita akan katakan gajah
itu seperti kipas jika kita memegang dibahagian telinganya.
Bukanlah semua Dr Mahathir itu salah tetapi tidak juga semua dia betul. Makamah kita
juga memang adil, tetapi bila melibatkan yang ada kepentingan dengan Dr Mahathir
kelihatan makamah kita sukar untuk berlaku adil. Suratkhabar perdana dan media
elektronik di negara ini terang-terang menjadi propaganda dan alat kempen pemimpin,
dan tiada ruang untuk parti pembangkang.
Dr Mahathir juga selalu didapati berbohong dalam ucapannya, antara sifat mulia yang
harus ada pada seorang pemimpin ialah benar (sidiq) dan amanah, tetapi Dr Mahathir
tidak malu untuk berkata bohong. Siapalah yang tidak pernah dengar Dr Mahathir berkata
dia akan letak jawatan setelah ekonomi pulih. Sekarang ekonomi telah pulih dan dia
sendiri mengakui ekonomi telah pulih tetapi sampai sekarang tidak nampak bayang
tanda-tanda dia akan berundur.
Apabila kita selalu berbohong, sekalipun di lain masa kita bercakap benar pun orang
akan kata kita bohong dan hanya bersandiwara. Samalah seperti cerita gembala kambing
yang suka berbohong yang akhirnya membawa padah kepada dirinya sendiri.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: [EMAIL PROTECTED]