Special Report
 
 


MB TERENGGANU JELASKAN KEDUDUKAN ROYALTI MINYAK

Berikutan dari perkembangan yang berlaku mengenai pembatalan royalti minyak oleh kerajaan Pusat terhadap kerajaan Terengganu, Editor Harakah ZULKIFLI SULONG dan wakil majalah Impact International, DR FARISH NOR membuat satu wawancara khas dengan Menteri Besar Terengganu, ABDUL HADI AWANG di rumahnya baru-baru ini. Berikut adalah hasil wawancara itu.

Media: Dalam isu minyak ini, apakah halangan yang dihadapi oleh kerajaan Terengganu terutama daripada kerajaan Pusat.

Hadi: Pertama, saya menegaskan bahawa bayaran lima peratus royalti petroleum adalah wajib. Ini mengikut Akta Petroleum yang diluluskan pada tahun 1974 dan perjanjian antara kerajaan Terengganu dengan Petronas pada tahun 1975, Petronas hendaklah membayar secara tunai lima peratus kepada kerajaan negeri Terengganu mengikut kadar pengeluaran minyak dan dikuatkan lagi dengan perjanjian 1987 yang disebut perkataan "royalti". Perkataan "royalti" ini memang disebut dalam surat-surat rasmi kerajaan Pusat kepada Terengganu dan ianya masih dibayar sehingga bulan Febuari yang lalu, di mana kami telah mendapat bayaran berlipat kali ganda berbanding pada masa yang lalu kerana kenaikan harga petroleum dan ini memberi kedudukan yang selesa pada kerajaan negeri.

Apa yang berlaku pada masa muktahir ini kerajaan Pusat membatalkan secara "menceroboh" dan merampas hak kerajaan Terengganu dan sehingga kini kami mendapat simpati dari pegawai Petronas dan seluruh pegawai-pegawai kerajaan, NGO dan mereka menganggap itu adalah merampas kuasa negeri Terengganu. Mengikut perlembagaan, Terengganu adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Untuk makluman, bukan sahaja royalti Petroleum dihapuskan, bahkan bayaran geran wajib (Capitation Grant) iaitu bayaran mengikut jumlah penduduk Terengganu. Begitu juga dengan Kelantan. Sehingga hari ini tidak dibayar kepada kami. Pengalaman Kelantan di tahun-tahun yang lalu, sepatutnya mereka bayar Febuari dan Ogos, tetapi mereka bayar di akhir bulan Disember kepada Kelantan dengan tujuan menyusahkan kerajaan negeri. Ini adalah bercanggah dengan semangat demokrasi dan sistem federalisme kerana kerajaan negeri adalah kerajaan yang sah dan mengikut per! lembagaan dan demokrasi.

M: Apakah tindakan kerajaan Negeri selepas ini?

Hadi: Sehingga kini kami mengambil tindakan secara pentadbiran dan politik iaitu melalui pertemuan dengan pegawai-pegawai Petronas. Baru semalam (14 September) diadakan pertemuan dan kami dimaklumkan apa yang sebenar berlaku. Dan sangat mendukacitakan maklumat pembatalan royalti petroleum ini diketahui melalui satu kenyataan akhbar yang dihantar kepada akhbar-akhbar dan orang media bertanya kepada saya. Kenyataan itu tidak ada tandatangan daripada Menteri Kewangan atau sebagainya. Kenyataan ini dari Menteri Kewangan dan bukan Petronas. Apabila saya sebut ini `surat layang' barulah mereka hantar surat rasmi yang ditandatangani oleh pegawai dan bukan menteri.

M: Bila mereka hantar surat rasmi?

Hadi: Sehari selepas kenyataan akhbar oleh pihak media.

M: Apakah hasil pertemuan dengan Petronas?

Hadi: Hasilnya kita dapat maklumat sebenar dan sehingga ini kita mengambil tindakan untuk mendapat simpati daripada masyarakat dan sehingga kini 100 peratus NGO bersimpati dan mereka akan menganjur satu persidangan di Kuala Lumpur pada 23 September ini untuk membincangkan khusus dengan pembatalan royalti petroleum.

M: Adakah pihak PAS Terengganu menghubungi syarikat-syarikat minyak lain?

Hadi: Sehingga hari ini tak ada maklumat. Saya rasa dalam persidangan itu nanti akan dibuat beberapa keputusan yang mengandungi tindakan sama ada di peringkat nasional ataupun antarabangsa.

M: Apakah maksud Tuan Guru dengan maklumat sebenar daripada Petronas itu?

Hadi: Maklumat sebenar ialah arahan supaya Petronas tidak membayar royalti kepada Terengganu. Arahan daripada menteri berkenaan iaitu Menteri Kewangan.

M: Sebaik sahaja mengambilalih kerajaan negeri, kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS telah membuat beberapa perubahan yang melibatkan komitmen kewangan yang agak tinggi. Antaranya menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud, menaikkan bantuan kebajikan untuk orang miskin dari RM60 sebulan kepada RM170, menaikkan elaun imam dan bilal serta ketua kampung, menghapuskan cukai pintu rumah kediaman dan sebagainya. Semuanya ini dibuat ketika Terengganu masih menerima royalti minyak. Dengan perkembangan terbaru ini, jika tiada lagi royalti, apakah kerajaan negeri akan berundur balik?

Hadi: Insya Allah, tindakan yang akan kita ambil itu tidak akan berundur. Kita akan teruskan... kerana sehingga ini beberapa pembetulan dalam pungutan cukai dapat menampung pembatalan tersebut. Contohnya bayaran balak, premium tanah yang kita buka kepada rakyat di mana sumber kewangan ini boleh menampung pembatalan cukai di samping royalti yang dibayar pada bulan Febuari. Kita masih ada lagi.

M: Bagaimana kerajaan PAS Terengganu dapat bertahan dengan keadaan ini jika ia berterusan selama dua atau tiga tahun?

Hadi: Kelantan boleh bertahan sehingga tiga kali pilihan raya dan Insya Allah kita juga boleh bertahan. Apabila kita bersama dengan Kelantan, kita akan menjadi lebih kuat.

M: Antara perlaksanaan awal yang dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu apabila diambilalih oleh PAS adalah tentang premis judi dan arak. Mungkin akan berlaku ketegangan dengan DAP. Apakah penyelesaian yang dibuat oleh kerajaan negeri ?

Hadi: Ketegangan berlaku hasil dari laporan yang dibuat oleh media-media bukan berbahasa Melayu seperti Bahasa Inggeris dan Cina yang memberi kesan negatif kepada penyokong DAP. Kami telah berdialog dengan DAP dan mereka telah mencadangkan supaya memberi kami memberi kelonggaran kepada orang- bukan Islam. Memang dasar kami memberi kelonggaran kepada bukan Islam.

Tindakan menyeluruh diambil ialah untuk membasmi kelemahan kerajaan yang lalu. Di mana kerajaan lalu kononnya memberi kebenaran premis perjudian kepada orang bukan Islam. Tapi penjualannya kepada orang Islam, pekerja 90 peratus orang Islam. Sangat menyedihkan, penjual dan pelanggan orang Islam. Kita terpaksa menghapuskan dahulu dan kita beri kebenaran selepas itu kepada orang bukan Islam dalam perkara yang di izinkan oleh agama mereka di antaranya ialah arak, snooker yang bersifat sukan. Yang diharamkan bersifat perjudian atau pertaruhan.

M: Dalam hal-hal yang diizinkan dan yang tidak diizinkan dalam agama-agama lain. Adakah satu badan atau majlis ditubuhkan untuk berdialog dengan ketua-ketua pemimpin lain di mana isu-isu ini dibangkitkan.

Hadi: Dialog telah diadakan, dianjur oleh parti DAP di mana dalam dialog itu pengusaha-pengusaha premis ini menyatakan kesediaan mereka untuk menjaga syarat-syarat iaitulah mengambil pekerja bukan Islam dan menjual kepada yang bukan Islam. Sekiranya mereka melakukan kesalahan, maka kebenaran akan dihapuskan.

M: Dan kalau mereka melanggar peraturan ini, adakah tindakan akan diambil melalui undang-undang sivil atau undang-undang syariah?

Hadi: Melalui undang-undang sivil di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

M: Berbalik pada soalan tadi, tentang media, tetapi tentang media barat. Bila saya balik dari Jerman, saya ada membaca editorial di dalam majalah Review. Dalam suatu artikel dia bercakap tentang apa yang berlaku di Malaysia setelah Mahathir melucutkan jawatan Anwar krisis yang berlaku dan lain-lain, tetapi di para yang terakhir ia ada menyebut bahawa Malaysia sekarang adalah di antara kerajaan Mahathir yang dianggap korup tetapi juga kerajaan alternatif yang dipimpin oleh DAP dan PAS tetapi ia menyamakan ideologi PAS dengan ideologi DAP.

Hadi: Pandangan ini tidak benar kerana kami menerima pelabur-pelabur asing dan dikunjungi oleh berpuluh-puluh pelabur asing. Apabila kami menganjurkan seminar pelaburan, kalau tidak silap saya lebih kurang 200 pelabur daripada Barat ke sini dan majoritinya menyatakan kesediaan mereka untuk melabur dan terpulang kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa. Kalau mereka tak halang, pelabur ini boleh datang ke pantai timur di mana kami mempunyai pelabuhan yang baik di Malaysia dan kita mempunyai kemudahan asas, sumber semula jadi yang baik di sini.

M: Bermaksud kerajaan Pusat masih ada kuasa untuk menghalang?

Hadi: Dalam beberapa perkara tertentu mereka ada kuasa.

M: Saya rasa apabila membaca majalah itu, saya merasakan media barat hendak memperalatkan PAS untuk melemahkan Umno. Jadi adakah PAS menjadi percaturan dalam politik Umno. Tahun lepas sebelum pilihan raya, mereka bersatu menyokong BA untuk melemahkan BN. Adakah PAS was-was dengan media barat?

Hadi: Saya merasakan apa yang dilakukan oleh media Barat itu adalah hakikat sebenar dalam Umno sendiri. Umno sudah menurun dari segi kuasanya dan sudah mulai tidak mendapat sokongan daripada intelektual, pegawai kerajaan, penduduk bandar dan pinggir bandar. Dalam pilihan raya yang lalu 65 peratus pengundi Melayu menyokong BA. Di mana Umno menang dengan undi bukan Islam. Oleh kerana BA mendapat kemenangan yang besar, cuma terhalang baru-baru ini apabila DAP terhalang dari mendapat sokongan daripada bukan Islam.

Ini adalah perubahan sebenar yang berlaku dan apa yang dilaporkan adalah hakikat sebenar dan ini adalah hasil daripada kelemahan BN yang dipimpin oleh Umno sendiri kerana berlakunya korupsi, kronisme, nepotisme, rasuah , pencabulan undang-undang sepertimana yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Hukuman yang beliau terima sangat memalukan di peirngkat negara bahkan antarabangsa. Ini menimbulkan satu perubahan. Perubahan itu berlaku kerana kelemahan mengikut realiti sebenar yang berlaku, bukan semata-mata laporan yang memberi kredit kepada PAS untuk menghentam Umno.

M: Baru-baru berlaku isu baru di mana Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew. Apabila bercakap di Malaysia, kenyataannya mengenai PAS berbeza dengan apa yang beliau cakap di Singapura di mana beliau sangat sinis dengan PAS. Apa pandangan Tuan Guru?

Hadi: Apabila berada di sini, beliau melihat perkembangan yang sebenar. Saya juga dikunjungi oleh wartawan di Singapura yang membuat laporan lebih meluas berbanding di Malaysia. Lee Kuan Yew dapat melihat sendiri penyokong PAS bukan sahaja dari golongan agama tradisional bahkan kalangan profesional pelbagai bidang sudah menjadi pemimpin PAS, bukan menjadi penyokong-penyokong. Bahkan saya merasai bahawa apabila saya dapat memerintah Terengganu, saya mendapat seratus peratus sokongan daripada pegawai atasan.

Ini menunjukkan satu perubahan yang ketara dan Islam adalah suatu agama yang selaras dengan perubahan dan mempunyai dasar yang teguh yang tetap, prinsip yang adil dan tidak berganjak dan Islam adalah suatu agama yang boleh mengikut perkembangan semasa, yang boleh mengikut perkembangan termasuklah zaman IT. Bahkan bila kita memerintah termasuk portfolio exco kita adalah IT. Ini menandakan bila Islam memerintah IT dilempar buang, tidak benar sama sekali. Ini menunjukkan kita boleh mengikut perkembangan dan kita mengambil faedah daripada IT lebih baik daripada orang Umno sendiri.

M: Baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris, iaitu fenomena baru yang berlaku dalam PAS berikutan ramainya intelektual Melayu yang sekarang tengah naik dalam PAS dan mereka berkata ini adalah suatu cabaran kepada pihak ulama dalam PAS. Apa pendapat Tuan Guru mengenai hal ini?

Hadi: Saya rasa kita telah menyusun satu program tarbiyah dan pendidikan yang mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual. Ini suatu rangkaian yang kita laksanakan dengan berjaya dan mencapai kejayaan, dan tiada berlakunya kontradiksi antara kedua-dua golongan ini.

M: Antara Umno dan PAS dari segi agenda Islam dan Islamisasi, PAS mendahului Umno dalam agenda demokrasi dan reformasi institusi-institusi kerajaan, PASlah yang mendahului Umno, jadi kedua-dua agenda ini demokrasi dan Islam, PAS mendahului Umno, manakah Umno pergi, apakah haluan Umno?

Hadi: Saya merasakan Umno akan tercicir, kerana ahli-ahli Umno tidak boleh mengikut perubahan yang hendak dilakukan oleh pimpinan Umno di masa Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sebagai contohnya program Islamisasi, yang dianjurkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan wujudnya Bank Islam. 80 peratus yang melibatkan diri adalah orang PAS. Berjihad di Institusi Pengajian Tinggi, Universiti Islam Antarabangsa, di mana ruang Islamisasi ini telah disertai oleh orang PAS dan orang Umno tidak boleh ikut sebenarnya.

Begitu juga dengan reformasi, reformasi yang hendak dilakukan oleh Umno, dalam bidang IT, di mana Umno yang sibuk menggunakan IT dalam cara-cara yang negatif, tetapi kami mengambil manfaat dalam memantau operasi pilihan raya sebagai contoh untuk membuat culaan pengundi, untuk mengukur kekuatan Barisan Nasional, untuk menghadapi media massa melalui IT, di mana senjata Umno ini kami dapat guna, Umno sendiri tidak dapat guna dengan cara yang tepat.

M: Apa pula pendapat Tuan Guru mengenai e-village yang diwujudkan oleh kerajaan sekarang, dan apa pula yang akan dilakukan oleh PAS?

Hadi: Mengenai perkara itu kita akan teruskan perkara yang baik dan perkara yang tidak baik kita akan tukar, mungkin pelakon-pelakon filem yang lelaki dan perempuannya akan kita sopankan dengan akhlak yang baik, dan mereka akan menjadi petugas-petugas yang baik dan berfaedah.

M: Saya ingin membuat suatu soalan perbandingan, sebagai contoh mengenai Jemaah Islamiah di Pakistan, struktur organisasinya sangat teratur sekali dari segi partinya, tetapi tidak pernah menang kuasa di Pakistan. Di Malaysia, jika dikaji sejarah PAS apabila ia baru bermula parti ini sangat miskin sampaikan satu typewriter pun tidak mampu dibeli dan sekarang PAS merupakan sebuah parti yang kedua terbesar di Malaysia, jadi apakah rahsianya dan bagaimana ini dapat berlaku, dan mengapa tidak di Pakistan?

Hadi: Itu mungkin adalah disebabkan situasi di Pakistan adalah berlainan dengan situasi di Malaysia saya rasakan bahawa kesan daripada kerajaan tentera yang silih berganti di Pakistan, itu memberi faktor yang besar kepada gerakan Islam itu sendiri, hingga menyebabkan gerakan Islam di Pakistan lebih menumpukan kepada kalangan-kalangan elit. Tidak dinafikan bahawa mereka mempunyai organisasi yang baik, pentadbiran yang baik, kerana dapat mengumpulkan kalangan-kalangan yang terpelajar tetapi mereka tidak diberi peluang turun ke bawah menemui rakyat, di mana kita berbeza.

Kita dihalang daripada nak naik ke atas, bergerak daripada bawah dan perlu disedari bahawa anak-anak yang daripada bawah inilah dalam tahun 50an, 60an, 70an yang kami gerakkan. Mereka inilah yang naik ke atas, yang menyebabkan berlakunya perubahan di kalangan profesional di dalam pelbagai bidang. Dalam masa yang sama kami pertahan pengaruh kami di bawah dan kami memungut hasil daripada tanaman benih daripada rakyat bawah yang ke pusat pengajian tinggi, dan hari ini mereka menjadi orang dewasa.

M: PAS melakukan kerja kebajikan untuk rakyat di Terengganu dan Kelantan seperti membina pondok perhentian bas, berbeza pula di Kuala Lumpur tidak ada satu pun perhentian bas yang dibina oleh parti Umno, apa pandangan Tuan Guru?

Hadi: Ini adalah kerana Umno lebih mengutamakan projek-projek besar, projek-projek mega untuk mendapatkan keuntungan yang besar. Bahkan untuk pendedahan, dari segi Terengganu sendiri, di mana perginya royalti dalam masa 20 tahun lebih Barisan Nasional memerintah Terengganu. Royaltinya tumpah kepada anak-anak syarikat, yang ditubuh oleh kerajaan negeri yang dipegang oleh kroni-kroni, oleh anak-anak buah dan oleh beberapa kalangan atasan Barisan Nasional negeri Terengganu. Di mana royalti ini tidak sampai ke bawah. Sebaik sahaja kami mengambil alih, kami membuat pemantauan, Alhamdulillah sebagai contohnya, kami dapat mengesan bagaiamana anak syarikat yang 70 peratus kerajaan negeri miliki, 30 peratusnya anak kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Yang ruginya kerajaan negeri tanggung yang untungnya mereka yang ambil, dan bagaimana syarikat-syarikat yang dimiliki oleh pemimpin Barisan Nasional, menjadi penadah kepada wang-wang yang ditumpahkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri. Sebagai satu contohnya, ada anak-anak syarikat yang menyewa kedai-kedai di Kuala Lumpur, di mana harga sewaannya sebanyak RM6,000 daripada tuan yang asal dibayar oleh anak syarikat menjadi RM13,000 hingga RM14,000. Apa yang berlaku, orang-orang tengah yang kroni ini menubuhkan syarikat untuk menyewa rumah-rumah kedai ini dan diberikan sewa kepada anak syarikat milik kerajaan negeri dengan berlipat kali ganda. Mislanya RM14,000 sebulan. Jadi syarikat kroni ini sudah untuk RMRM7,000 atau RM8,000 sebulan dengan senang sahaja. Inilah yang menakutkan mereka sebenarnya.

Dan suatu perkara yang menggelikan hati, dan mereka menggelabah sebenarnya sebaik sahaja royalti petroleum dibatalkan, pihak TV3 yang dimiliki oleh Umno menyiarkan gambar rumah buruk di Terengganu, rumah orang miskin di Terengganu, bagaimana orang miskin menjala ikan di kolam dekat rumah mereka, menandakan kemiskinan. Mereka (TV3) barangkali tidak sedar inilah hasil 20 tahun BN memerintah. PAS hanya baru memegang beberapa bulan, mereka pegang 25 tahun, inilah rakyatnya! Ertinya media itu memakan diri mereka sendiri. Selepas siar, saya sebut dalam ceramahnya saya, terima kasih kepada TV3 kerana menyiarkan kesan-kesan BN. Ini menyebabkan mereka gelabah dan tak siar lagi selepas itu.

M: Apa tindakan kerajaan negeri terhadap salah laku kerajaan negeri yang lalu?

Hadi: Suruhanjaya Hisbah sedang meneliti tiap-tiap satu kes dan akan ditimbang mana yang munasabah untuk di bawa ke muka pengadilan. Dan ini terpulang kepada ketelusan BPR dan ketelusan badan kehakiman. Bagaimanapun, kita berkewajipan untuk mendedahkan perkara ini untuk menjadi renungan kepada rakyat terutama apabila kita dicabar seolah-olah kita tidak tahu nak buat apa dengan royalti pada masa 7 bulan kita menerimanya. Dia bagi bulan Februari kemudian dia persoalkan tak ada audit. Tak ada dalam dunia ini, nak audit tiap-tiap bulan. Biasanya audit ini berlaku setahun sekali.

Cuma saya sendiri minta Pegawai Kewangan negeri membuat laporan tiap-tiap bulan kepada saya dan memang saya melihat laporan tiap-tiap bulan. Itu saya buat tiap-tiap bulan dan memang ada kenyataan duit itu dibelanjakan di mana yang perlu kita kurangkan atau yang mana perlu ditambah.

M: Adakah kerajaan Negeri akan menjemput badan-badan antarabangsa?

Hadi: Buat masa ini, kita tidak perlu pertolongan badan-badan antarabangsa. Apa yang kita lakukan hari ini, kita memberi maklumat kepada badan-badan antarabangsa dari segi aktiviti kita.

Comments ? E-mail Us



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke