*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ingatkan negeri Kelantan je yang teruk dgn masalah air...
Buat tatapan Syazana, maybe this can help you see the situations in other
states which many people think that the situations are much better...
Jual air, beli air, buang air
JOHOR ada banyak air. Buktinya, ia mampu jual berjuta-juta liter air setiap
hari kepada negara jiran. Malangnya, ada rakyat Johor yang susah dapat air
bersih - untuk makan minum, mandi, wuduk, dan kegunaan kehidupan sehari. 
Akhbar Utusan Malaysia, misalnya, menyiarkan (pada 25 Mei 2000) sepucuk
surat dari seorang pembaca yang menggelar dirinya 'Wakil Penduduk, Seri
Bengkal, Batu Pahat, Johor'. Dalam suratnya itu, yang bertajuk '5 tahun Seri
Bengkal hadapi masalah air', anak negeri Johor itu menceritakan azabnya
saban hari mendapatkan bekalan air. Sebahagian surat itu berbunyi seperti
berikut - 
"Masalah yang telah lama menghimpit penduduk Seri Bengkal yang terletak
dalam Parlimen Sri Gading ialah tekanan air yang sangat rendah dan
menyebabkan air langsung tidak keluar pada waktu siang atau waktu-waktu
puncak. Jika hari cuti umpamanya, tekanan air yang rendah menyebabkan air
tidak dapat ditakung. 
Penduduk terpaksa menunggu hingga lewat malam atau awal pagi sehingga jam 1
atau 2 pagi bagi membolehkan air ditakung untuk digunakan pada keesokan
hari. Pada masa-masa biasa terutamanya waktu Subuh atau awal pagi, tengah
hari dan petang air paip langsung tiada atau terlalu perlahan. 
Keadaan yang berlarutan selama 5 tahun ini perlu diatasi segera memandangkan
keperluan yang mendesak dan juga dengan kepentingan penduduk yang telah lama
menanggung 'bil angin' yang terpaksa dijelaskan kepada Syarikat Air Johor. 
Ada sebahagian penduduk yang terpaksa kembali kepada sistem lama iaitu
menggunakan air telaga atau menggunakan sumber mata air yang terletak agak
jauh dari rumah. Bayangkan apabila kenduri-kendara hendak diadakan. 
Pada waktu itu bagaimana masalah ini hendak diatasi. Aduan telah lama dibuat
dan rasanya berbagai saluran telah digunakan bagi mengatasi masalah ini." 
Walaupun Johor ada banyak air dan mampu menjualnya kepada negara jiran, dari
kandungan surat di atas, nyata ia tidak mampu membekalkan air bersih yang
mencukupi kepada anak negerinya sendiri. Untuk menampung keperluan anak
negerinya sendiri, ia terpaksa membeli "air bersih" (treated water) dari
negara jiran yang sama. 
Tolak campur, kita dapati hasil jualan kepada negara jiran itu jauh lebih
rendah (tak setara) dengan kos pembelian 'air bersih' dari negara yang sama.
Pendek kata, antara Johor dengan negara jiran itu, anak negeri Johor tahu
siapa yang untung lebih dan siapa yang 'untung sikit' (sekalipun tidak rugi
langsung). 
Jadi, jual air dan beli air ini seumpama macam buang air ke laut (atau Selat
Teberau) sahaja. Begitulah intipati cakap-cakap saudara mara terdekat bila
mereka bertandang ke rumah saya di Alor Setar pada musim cuti sekolah yang
baru lalu ini. 
Saya dah lama tak pulang ke Johor Baru, jadi saya tak tahun sama ada
sungutan saudara mara saya ini berasas ataupun sebaliknya. 
Apa yang saya pasti ialah apa yang sempat saya baca di akhbar harian sehari
dua yang lalu ini. Pada Ahad lalu, sebuah akhbar harian melaporkan bahawa
Johor akan berhenti membeli air bersih dari negara jiran itu mulai tahun
2002. 
Pada tahun itu, kerajaan Johor menjangkakan loji penapisan airnya yang baru
(dibina di Semanggar) akan mampu beroperasi sepenuhnya. Inilah janji yang
diberi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, kepada anak
negerinya tidak lama dulu, kata akhbar yang sama. 
Pendek kata, mulai tahun 2002, Johor menjadi self-sufficient dari segi air
bersih. Tak perlu lagi bergantung kepada negara jiran. Tak perlu lagi jual
air (sebanyak 910 juta liter setiap hari) dan beli air (sebanyak 130 juta
liter air bersih), macam sekarang. 
Saya tak tahu apakah perangkaan yang diberi oleh akhbar yang saya baca Ahad
lalu itu betul atau tepat. Andainya angka yang disebutkan dalam laporan itu
betul, Johor menanggung kerugian (akibat jual air beli air) atau defisit
sebanyak RM3.1 juta pada tahun yang lalu sahaja. Kita tak pula diberitahu
berapa banyak deficit tahunan yang ditanggung pada tahun-tahun sebelumnya. 
Yang kita diberitahu ialah defisit atau kerugian itu berlaku kerana bila
Johor menjual air kepada negara jiran, hasil yang diperolehi hanyalah 3 sen
bagi setiap 4,540 liter - berbanding dengan kos pembelian air bersih dari
negara yang sama, berharga 50 sen bagi kuantiti air bersih yang sama. 
Semua pihak nampaknya setuju dan menyokong usaha kerajaan Negeri Johor
membina loji penapisan air yang baru itu. Ada yang berpendapat bahawa
keputusan itu bukannya hanya 'betul' dari segi politik, tetapi juga 'betul'
dari segi ekonomi dan pertimbangan strategik. 
Seorang tokoh akademik dari Universiti Teknologi Malaysia, yang juga
berpangkalan di Johor, mengatakan bahawa air bersih adalah satu komoditi
strategik. Oleh itu, Johor wajar menjadi pengeluarnya sendiri, tidak lagi
bergantung kepada negara jiran. 
Ramai warga Malaysia yang bukan anak Johor tidak sedar (atau mungkin
terlupa) bahawa air yang dijual oleh Johor kepada negara jiran dan kemudian
dibeli semula sebagai 'air bersih' itu sebenarnya 'tidak pergi' menyeberangi
Selat Tebrau untuk ditapis atau 'dibersihkan' di sana. 
Loji penapisan milik negara jiran itu sebenarnya wujud (bertempat) dalam
wilayah negeri Johor sendiri - iaitu di Skudai dan di Gunung Pulai. Bila
saya khabarkan perkara ini kepada sahabat handai di sekitar Alor Setar
baru-baru ini, mereka geleng kepada tanda kehairanan. Lalu mereka bertanya
"Macam mana negara jiran itu boleh membina loji penapisan air itu di Johor?"
Saya tak dapat jawab soalan mereka. 
Fakta bahawa negeri Johor akan memerlukan kuantiti air bersih yang bertambah
tahun demi tahun memang tak dapat dinafikan lagi. Anak negeri Johor kini
hampir berjumlah 3 juta orang, dan angka ini pasti akan bertambah. Pada
tahun 2020, angka ini mungkin mingkat dua kali ganda. Ini belum lagi kita
ambil keperluan air oleh sektor industri dan ekonomi yang turut berkembang
pesat. 
Oleh yang demikian, pastinya tidak ada anak Johor yang akan membantah
rancangan kerajaan negeri itu membina satu loji baru seperti yang diumumkan
oleh Menteri Besar negeri itu tidak lama dulu. 
Sebelum saya tinggalkan perkara jual air beli air ini, sukacita saya petik
maklumat yang saya dapati di akhbar Utusan Malaysia keluaran 24 November
1998 lalu. Mengikut maklumat yang saya temui itu, Syarikat Air Johor
mengenakan harga RM3.77 bagi setiap 1000 gelen air bersih kepada pengguna
(anak negeri Johor). 
Bezakan ini dengan harga 50 sen yang dibayar oleh Syarikat Air Johor (SAJ)
kepada Public Utilities Board (PUB) negara jiran bila ia membeli air bersih
darinya. Ini sekali gus bermakna bagi setiap 100 gelen air bersih yang
dijual oleh SAJ kepada anak negeri Johor, ia mengaut keuntungan besar
sebanyak RM3.27. 
Dengan keuntunan sebanyak itu, tak hairanlah saya bila terserempak dengan
satu maklumat lain mengenai SAJ. Mengikut Utusan Malaysia (keluaran 2 Mac
2000), SAJ merancang 'akan melabur RM1 bilion' dalam tempoh 5 tahun di Riau,
Indonesia, bagi membekalkan air bersih kepada 'penduduk dan industri di
pulau itu'. Saya tak tahulah apa perasaan penduduk Seri Bengkal, Batu Pahat,
jika mereka tahu tentang rancangan SAJ ini. Apakah mereka akan berpendapat
bahawa SAJ sudah tersilap prioriti? 

© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala
Lumpur.
E-mail: [EMAIL PROTECTED] <mailto:[EMAIL PROTECTED]>


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Hassan, Haslim" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke