*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


------------------------------------------------------------
Forum Keadilan Malaysia KM2 Mail an article to a friend 
------------------------------------------------------------
Time/Date    : 9:10:12 AM 19/11/2000 Sun 
Sender Name  : C******x 
Sender Email : [EMAIL PROTECTED] 
Fwdto  Email : [EMAIL PROTECTED] 
Mode         : plain/text 
CC           :  
------------------------------------------------------------

  
Forum Keadilan Malaysia KM2 - web aNtu N HFM   
 
Date  : 19/11/2000 am 

Siri 10 YTDT: Otak Di Lutut Beralih Ke Mana? (Mesti Baca)
by Marhain Tua   
 
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai 
Bab: 10 
 
[Siri YTDT kali ini merupakan satu lagi khazanah ilmu berharga yang MESTI  
diBACA dan diSEBAR keseluruh negara, khususnya Lunas kerana di sana pun ada 
ladang juga. Penyerahan tergesa-gesa Putra Jaya menampakkan sesuatu yang tidak 
kena, tambah lagi DUN bersidang selepas tandatangan istana. Rupa-rupanya itu 
semua hadiah termega diktator tua untuk anak-anak kesayangannya. - Editor] 
 
 
 
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI 
 
BAB 10 : OTAK DI LUTUT BERALIH KE MANA?  
 
 
OTAK DI LUTUT BERALIH KE MANA? 
 
Pada hari Khamis  16 November, 2000;  Kerajaan Selangor telah meluluskan  
Rang Undang-Undang Wilayah Persekutuan  Putrajaya 2000 bagi membolehkan   
Putrajaya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, selama-lamanya. Daripada  
42 penyokong kerajaan hanya seorang tidak hadir, iaitu Dato  Seri Abu Hassan  
Omar yang bercuti. Semua wakil BN yang  hadir telah menyokong, sedangkan   
enam ahli pembangkang yang diketuai oleh Datuk Dr. Mohd. Hassan Ali  telah  
bertindak keluar dewan jam 4.42 petang kerana membantah penyerahan  
berkenaan. 
 
 
Kita sengaja merakamkan perkara ini sebagai satu  catatan bersejarah kerana  
sebelum ini saya sudah mencadangkan agar perkara ini dibuka semula satu hari  
nanti sebagai satu perkara yang tidak sah kerana tidak direstui oleh rakyat  
Selangor. 
 
 
Inilah kali kedua  kerajaan Selangor  menyerahkan wilayahnya kepada Kerajaan  
Persekutuan selepas melepaskan Kuala Lumpur   sebagai ibu  negara pada 1974.  
Sebagai pampasan menyerahkan  tanah seluas 4,390 hektar itu  kerajaan  
Selangor menerima sebanyak RM200 juta, selain bayaran tahunan  berjumlah 7.5  
juta selama-lamanya. Pampasan ini telah disetujui oleh Sultan Selangor dan   
anaknya  yang menjadi Pemangku  Raja Selangor, Tengku Idris Shah. 
 
 
Bayaran pampasan ini  sudah mengambil kira jumlah cukai pintu yang tidak  
lagi dikutip  Majlis Daerah Sepang (MDS) yang dianggarkan sebanyak RM7 juta  
setahun. Berdasarkan perjanjian itu, Selangor menerima peruntukan sebanyak  
RM800 juta bagi melaksanakan projek  pembangunan di kawasan kampung di  
pinggir Putrajaya dan Cyberjaya.  Peruntukan itu digunakan  bagi menjayakan  
Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), bakinya digunakan dalam RMK-9 untuk  
membangunkan kawasan sekitar pinggir Putrajaya, yang diselenggarakan   
Jawatankuasa Perundingan  Pembangunan yang bakal ditubuhkan.  Jawatankuasa  
itu dipengerusikan Ketua Pengarah Ekonomi, JPM dan Setiausaha Kerajaan  
Selangor sebagai timbalan serta dianggotai empat wakil Kerajaan Selangor dan  
empat wakil Kerajaan Persekutuan. 
 
Selain itu Kerajaan Persekutuan menyerahkan 26 keping tanah seluas 10.163  
hektar di Morib untuk dibangunkan  sebagai projek Kerajaan Selangor yang  
dijangka dijadikan pusat peranginan. Dalam  hal ini kita tentu mahu bertanya  
berapakah agaknya kos yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan ketika  
mengambil alih tanah kepunyaan Selangor itu dulu? 
 
Mengikut perjanjian, bilangan wakil Kerajaan Selangor dalam Perbadanan  
Putrajaya  akan ditambah daripada seorang kepada dua wakil, berdasarkan  
peruntukan Seksyen 5(1) Akta Perbadanan Putrajaya 1995. 
 
Daripada 4,390 hektar itu, 3680 hektar adalah tanah ladang, tanah hak milik  
individu (312.61 hektar) yang membabitkan pampasan berjumlah RM753.3 juta  
manakala bayaran premium bagi tanah kerajaan seluas 396.82 hektar adalah  
62.3 juta.  Bagi tujuan penyelarasan dan pengemasan sempadan, beberapa  
kawasan tambahan juga diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan membabitkan   
540 hektar, mengikut Pengambilan Tanah 1960 menggunakan sempadan semula  
jadi.  Penyerahan itu bermakna semua hak dan kuasa mentadbir akan  
dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan, malah sebahagian daripadanya sudah  
diserahkan melalui Perbadanan Putrajaya. 
 
 
Dalam artikel berjodol "Bila Otak Ada Di Lutut" saya ada menyarankan agar  
rakyat Selangor tidak menerima persetujuan yang dicapai oleh dua kerajaan  
ini kerana rakyat tidak pernah mempersetujui sebarang rencana menjual tanah  
Selangor kepada apa yang dikatakan Kerajaan Persekutuan. Malahan, terlalu  
banyak cerita misteri di sebalik siapakah sebenarnya yang menerima nikmat  
penjualan ini. Adakah Kerajaan Selangor ataupun segelintir manusia rakus  
yang menyorok di belakang perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan  
Selangor yang kini merangkap Yang Di Pertuan Agong dan anaknya yang menjadi  
Pemangku Raja Selangor. Ironisnya,  dua insan yang merencana penjualan tanah  
dengan harga yang terlalu mengaibkan kebijaksanaan rakyat Selangor hanya  
duduk diam sebagai saksi sahaja. Eloklah dirakamkan di sini, Dato Seri Abu  
Hassan Omar dan juga Dato Dr. Mohd. Hassan Ali mempunyai latar-belakang  
kelulusan dalam perancangan bandar. Raja Kelentong adalah berkelulusan  
bidang perubatan sedangkan Mohamad Khir dalam bidang pergigian. 
 
 
Semua rakyat Selangor seharusnya jangan merelakan penjualan tanah ini kerana  
terlalu banyak muslihat di sebaliknya yang satu hari nanti akan terserlah   
juga segala  kejijikannya. Kita boleh ambil iktibar bahawa disebabkan  
kerakusan juga makanya segala cerita jijik itu masih tidak diketahui oleh  
rakyat Selangor, secara menyeluruhnya sehingga kini. 
 
 
 
Satu Hektar Tanah Di Putrajaya Boleh Cecah  RM200 Juta. 
 
 
Pada hari Rang Undang-Undang Penyerahan Tanah Putrajaya itu diluluskan,  
menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Pandikar Amin Mulia ada membuat  
pengemuman betapa  harga setiap hektar tanah di pusat pentadbiran negara di  
Putrajaya dijangka mencecah sehingga RM200 juta pada tahun 2020. Ini bererti  
dalam masa 19 tahun lagi harga tanah  seluas 4390 yang dijual murah oleh  
ahli politik hingusan terbaru Selangor di atas nasihat memanda Raja  
Kelentong boleh mencapai harga yang bersamaan dengan 4390 x 200 juta.  Saya  
tidak mahu memberikan jawapannya kerana dalam penulisan saya yang lalu saya  
hanya menyebut beratus ribu juta ataupun beribu bilion.  Yang nyata,  
pembayaran RM200 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pada 7  
November dulu adalah bersamaan dengan harga satu hektar tanah pada tahun  
2020 nanti. 
 
 
Bayangkan pula berapakah harga tanah yang dipunyai oleh orang individu yang  
seluas 312.61 hektar itu. Siapakah gerangannya mereka yang disebutkan  
indvidu itu? 
 
Soalnya sekarang siapakah yang menipu siapa dalam hal ini. Malahan, apakah  
rakyat Selangor masih lagi mahu memberikan kepercayaan mereka kepada semua  
wakil parti Barisan Nasional yang telah bersetuju sebulat suara dalam  
meluluskan Rang Undang-Undang  yang dibentangkan? Kalau harga yang dijangka  
naik dalam tempoh sembilan belas tahun boleh menjadikan Selangor sebuah  
negara yang terkaya, walaupun tidak mempunyai industri petroleum dan gas,  
kenapakah wakil rakyat yang dilantik itu sanggup meluluskan Rang  
Undang-Undang itu? Bukankah ini bererti mereka sudah mengkhianati rakyat  
yang melantik mereka di pemilu ke-10 dulu? 
 
Kalau kita ambil kira bayaran tahunan sebanyak 7.5 juta selama-lamanya yang  
didasarkan taksiran cukai cukai pintu yang tidak lagi dikutip oleh Majlis  
Daerah Sepang, ia sudah tentu mampu mencuit minda seorang rakyat marhaen  
untuk memahami betapa mudahnya putarbelit politik yang direncana oleh dua  
doktor yang terbabit dalam kelentongan ini.  Apakah kadar tanah tidak naik  
selepas  ini? Bagaimanakah pula mereka mampu menipu ataupun memujuk semua 41  
orang wakil rakyat BN untuk meluluskan Rang Undang-Undang itu? 
 
 
 
Penipuan Besar Yang Sudah Lama Berlaku 
 
 
Sempena penyerahan tanah Selangor secara tipu-helah kepada Kerajaan  
Persekutuan saya merasa bertanggungjawab untuk merakamkan dan juga  
mendedahkan satu rahsia mengenai satu lagi projek tanah Selangor yang satu  
hari nanti akan pasti dijadikan satu isu hangat untuk diambil-alih oleh  
Kerajaan Persekutuan juga. Hanya, masanya sahaja yang belum sesuai kini,  
tetapi besar kemungkinannya ia akan berlaku juga.  Dalam pendedahan ini,  
kita mungkin selitkan sedikit beberapa peristiwa yang membuatkan rakyat  
Malaysia, terutama sekali orang Melayu tertipu sekian  lama oleh satu  
program menyonglap dan memutarkan minda rakyat di negara ini. Saya fikir  
sudah sampailah masanya untuk melakukan pendedahan ini sebagai memenuhi satu  
amanah orang yang menceritakannya kepada saya sejak lama dulu lagi. 
 
 
Pendedahan ini adalah bersangkutan dengan tapak tanah yang kini dijadikan  
lapangan terbang terbaru di negara ini. Inilah lapangan terbang yang  
dikenali dengan nama KLIA (Kuala Lumpur International Airport) yang  
diura-urakan akan ditukarkan kepada nama Mahathir Mohamad International  
Airport, pada satu hari nanti. Malahan cadangan ini pernah disebut oleh  
Shariff Jajang ketika beliau menjadi ahli parlimen kawasan Sepang satu  
ketika dulu. Selepas cadangan itu dibuat, suasana politik bertukar dan kita  
fikir cadangan itu akan tinggal satu kenangan semata-mata. Ia tidak mungkin  
terlaksana memandangkan potensi ekonomi KLIA  yang semakin merosot. 
 
 
-    Pembikinan KLIA 
 
 
Semua orang disogokkan dengan satu kenyataan bahawa "kita membina lapangan  
terbang KLIA yang baru dengan harga yang lebih murah kalau dibandingkan  
dengan lapangan terbang Hong Kong. Sedangkan kapasiti KLIA adalah dua kali  
ganda besarnya daripada Hong Kong. Kita boleh jangkakan bahawa KLIA akan  
menjadi satu lapangan terbang yang penting di rantau ini."  Demikianlah yang  
kerap diucapkan oleh Raja Kelentong setiap kali dia berceramah di forum  
bertaraf antarabangsa dan juga setiap kali dia berkempen di dalam negara. 
 
Tapak KLIA itu sebenarnya pada satu ketika dulu merupakan satu ladang swasta  
yang bernama Elmina Estate. Satu ketika dulu, ladang itu di kelilingi  
kawasan berpaya dan berlopak-lopak  kerana ia pernah menjadi kawasan  
peninggalan  lombong bijih timah. Apabila projek bijih selesai, kawasan yang  
meminggiri Ladang Elmina  itu dijadikan projek pemeliharaan khinzir ataupun  
babi dan juga tapak pembikinan samsu haram. Suasana kawasan projek haram itu  
telah membuatkan pengurusan Elmina Estate menghadapi banyak masalah dalam  
pengurusan tenaga manusia kerana  pekerja ladang yang asal sudah ramai  
berpindah keluar untuk bekerja di bandar. 
 
 
 
Untuk dipendekkan cerita, tuanpunya tanah akhirnya telah menjual tanah itu  
kepada seorang wanita yang tidak diketahui oleh umum mempunyai wang yang  
banyak  untuk membelinya. Wanita Melayu ini memang dikenal baik oleh Raja  
Kelentong, walaupun satu ketika dulu dia bersuamikan seorang rakyat  
Peranchis yang pernah bekerja di negara ini sehinggakan menghasilkan seorang  
anak perempuan daripada perkahwinan mereka yang singkat. Sehinga kini pun  
tidak ramai rakyat di negara ini yang mengetahui kenapa Elmina Estate itu  
dibeli oleh wanita itu. Hanya Raja kelentong  tahu jawapannya kerana dia  
telah menggalakkan wanita itu membelinya dengan rencana untuk menjadikan  
sebahagian tapak  tanah itu menjadi satu lapangan terbang yang baru. 
 
Bermulalah satu projek mega di tapak itu dan kerajaan pusat pun terpaksa  
berbelanja besar untuk membeli tanah berkenaan dengan harga yang sungguh  
tinggi sekali. Sedangkan, kalau projek lapangan terbang itu mahu didirikan,  
bukankah logik kalau tanah kosong peninggalan projek bijih timah itu diambil  
kembali dan dibangunkan. Harganya mungkin tidak sampai setengah daripada kos  
sebenar yang dibelanjakan untuk membina KLIA. Ironisnya, sehingga kini,  
dalam menyebut kos pembinaan KLIA itu, rakyat masih samar-samar dengan kos  
sebenar pembelian tanah Elmina Estate itu yang dijadikan tapak lapangan  
terbang. Kenapakah agaknya dan siapakah yang menipu siapa pula? 
 
 
 
 
Betulkah Elmina Estate Tapak yang Paling Sesuai? 
 
 
Kalau kita mahu pergi ke KLIA tentu kita terpaksa menyusuri lebuhraya yang  
diuruskan oleh "Elite" yang membawa kita menikmati pemandangan indah tanah  
lapang selepas kita keluar daripada pintu tol USJ.  Kalau kita perhatikan  
keadaan tanah lapang di kiri dan kanan lebuh raya itu sehinggalah kita  
sampai ke satu simpang untuk memasukki Putraya dan Cyberjaya (di sebelah  
kiri) kita akan nampak satu kawasan tanah lapang yang kini diusahakan untuk  
projek perumahan. Tanah ini dikatakan dipunyai oleh Usahawan Muda yang  
kebetulan  merupakan adik kepada wanita Melayu kaya yang membeli Elmina  
Estate dulu.  Tapak tanah ini sungguh canggih kerana mempunyai satu kawasan  
lombong lama yang luas dan kawasan sekeliling lombong itu sudah lama mampat  
dan padat dan sesuai untuk dibina bangunan rumah di atasnya. Kalau  dibina  
lapangan terbang di situ pun memang kawasan itu lebih canggih lagi daripada  
kawasan KLIA yang terbina kini. 
 
 
Kita tahu, setiap projek perlombongan yang sudah pupus lama tidak melayakkan  
pengusaha perlombongan itu kepada tanah yang telah diusahakannya. Dia tidak  
layak memilikki tanah lombong yang sudah dihentikan operasinya. Tanah itu  
terpaksa dipulangkan balik kepada kerajaan yang mengeluarkan lesen  
perlombongan itu.  Ini bererti kawasan yang diusahakan sebagai tapak  
perumahan yang dinamakan "Taman Perdana" itu  sepatutnya telah diambil balik  
oleh Kerajaan Selangor. Tetapi, kenapakah di sekeliling tanah perumahan itu  
kini ditanam dengan tanaman jangka panjang seperti belimbing besi dan juga  
tanaman kontan yang lain. Siapakah yang sebenarnya mempunyai nikmat kepada  
tanah yang sungguh berharga itu? Khabarnya tuan punya projek ini merupakan  
seorang terpelajar juga kerana kerap mengikuti Perdana Menteri ke luar  
negara. Malahan, dia kerap juga mempengerusikan forum bertaraf antarabangsa   
di mana Raja Kelentong kerap menjadi tetamu khas dengan ucaptamanya. 
 
 
 
Kita dapat menjangkakan, pemilihan Elmina Estate yang kemudiannya dijadikan  
sebahagian tapak KLIA dan berdekatan dengan  Gelanggang Formula 1, serta  
pembinaan Putrajaya di kawasan yang berdekatan, sekaligus membuatkan si  
wanita itu wanita Melayu  terkaya di dunia ini. Adik lelakinya yang  
mengusahakan projek perumahan di kawasan berdekataan Stesen R&R Dengkil itu  
menjadikan dua beradik ini satu pasang usahawan Melayu yang tidak mudah  
ditandingi oleh semua usahawan Melayu bertaraf Kelas F di negara ini.   
Alangkah bertuahnya dua beradik itu !!!! 
 
 
Soalnya sekarang kenapakah cerita kejayaan dua usahawan unggul Melayu ini  
tidak pernah ditonjolkan dalam certia-cerita dongeng kejayaan usahawan  
Melayu di TV dan radio kerajaan? Kenapakah nama mereka berdua ini boleh  
dilupakan  oleh semua akhbar media perdana yang menyokong kerajaan. Mereka  
berdua ini telah mampu menjadi usahawan Melayu bertaraf global tanpa bantuan  
dan panduan daripada MARA, NPC dan institusi kerajaan yang lainnya. Alangkah  
elok kalau mereka ini diajak bercakap di program Selamat Pagi Malaysia agar  
semua rakyat tahu apakah formula yang mereka gunakan untuk menjadi usahawan  
Melayu yang paling berjaya di negara ini. Saya pernah berbual mengenai hal  
ini dengan beberapa teman-teman lama. Ada seorang kawan yang ketawa dalam  
hal ini. Dia kata, kerajaan lebih berminat membesarkan cerita francais  
berniaga nasi lemak yang menelan belanja lebih satu juta daripada projek  
usahawan yang beratus juta yang dilakukan oleh wanita Melayu Ladang Elmina  
itu.  Memang, satu ketika dulu sebelum SUKOM dilancarkan ada berita hangat  
mengenai francais nasi lemak yang dibuka secara rasmi oleh Tok Pa penasihat  
kementerian kewangan negara. Apakah agaknya kemajuan francais itu, kini? 
 
 
Kadangkala kita merasa pelik juga kenapakah MARA tidak mampu memimpin orang  
Melayu mencapai kejayaan seperti yang dicapai oleh dua orang adik beradik  
ini.  Yang si kakak mampu  membeli Elmina Estate yang kemudiannya menarik  
minat seorang perdana menteri untuk menjadikannya tapak KLIA. Adiknya yang  
si lelaki itu pula berjaya menguruskan banyak industri berat-berat yang  
tidak mudah dikendalikan oleh orang Melayu. Oleh kerana usahawan berdua itu  
adalah orang Melayu yang berjaya, tentu kita mahu menyarankan agar ibu dan  
bapa mereka menerima pingat anuegerah ibubapa mithali untuk abad ini. Tentu  
sekali Perdana Menteri dan isterinya boleh ditentukan sebagai pemberi hadiah  
istimewa itu. 
 
 
Dalam hal ini rakyat marhaen masih tertunggu-tunggu akan cerita kejayaan  
beberapa syarikat yang mengendalikan projek perubatan di negara ini. Ada  
satu syarikat yang menguruskan perkhidmatan doktor perubatan untuk institusi  
besar-besar seperti TNB, KWSP dan Telekom, dan banyak lagi. Kalau saya tidak  
silap nama syarikat itu ada terselit perkataan Medicare. Pengerusinya  
seorang  berpangkat doktor juga, tetapi kedoktorannya adalah dibidang  
pendidikan, sedangkan perniagaan itu merangkumi kes perubatan.   Tuanpunya  
besar syarikat itu ialah salah seorang adik kepada wanita Melayu yang  
terkaya ini. 
 
 
Satu ketika dulu, semua institusi besar mempunyai panel doktor mereka  
sendiri. Tetapi panel itu kini sudah bertukar kerana adanya Syarikat  
Medicare ini.  Ramai orang lebih selesa menyebutnya dengan perkataan  
"Mediocre" sahaja kerana sebaik sahaja mereka dipilih memberikan khidmat  
perubatan itu, mereka menerima wang pendahuluan di antara satu juta hingga  
dua juta daripada setiap institusi besar-besar itu.  Sebaik sahaja menerima  
wang pendahuluan, para pengarah telah  membeli kereta  mercedes baru  
sedangkan kakitangan di pejabat hanya merupakan seorang kerani merangkap  
penyambut tetamu yang terpaksa bekerja terkonteng-konteng untuk satu tempoh  
yang lama. 
 
Tujuan utama menggalakkan syarikat Mediocre ini ialah untuk "mempercepatkan  
dan menyelaraskan pembayaran kepada panel doktor kerana satu ketika dulu  
proses membayar mereka  dikatakan satu kerja yang lembab." Impaknya kini,  
pembayaran masih lembab malah lebih lembab dari dulu. Kos perubatan yang  
dikenakan oleh doktor semakin naik kerana mereka terpaksa menanggung risiko  
bayaran yang semakin lembab tanpa peluang untuk membantah ataupun mengungkit  
hal itu kerana takut disenarai-hitamkan. Sekali lagi kita bertanya kenapakah  
masalah yang dihadapi oleh semua panel doktor yang berurusan dengan Mediocre  
ini tidak pernah dibangkitkan? 
 
 
 
 
Kisah balun membalun harta rakyat dan pemberian projek secara program khas  
tanpa perlu ditender dulu, merupakan kemuncak  "kegemilangan pemerintahan  
Raja Kelentong yang direstui oleh para pemimpin UMNO." Pemimpin parti  
komponen BN hanya angguk sahaja sebagai bersetuju, kerana mereka pun  
mempunyai peluang lain yang memberikan kenikmatan yang hampir sama. Inilah  
yang membuatkan UMNO semakin reput dan semakin dibenci oleh orang Melayu.  
Inilah juga yang menyebabkan mereka yang sedang berkuasa di atas itu mahukan  
kekuasaan itu terus berkekalan, kalau boleh sehingga nyawa bercerai daripada  
badan. 
 
 
Raja Kelentong sudah memegang kuasa selama lebih dua puluh tahun. Dia tidak  
akan melepaskan kuasa itu kerana alasan yang sebenarnya hanya dia sahaja  
yang tau. Tetapi, rakyat marhaen di bawah sudah tidak sabar lagi dengan  
kerakusannya dan kerakusan yang ditonjolkan oleh anak-anak, para kroni dan  
juga para pemimpin parti yang dipimpinnya. Rakyat sudah merasakan, bahawa  
kerana kerakusannya itu dia sudah tidak lagi mampu hidup di alam nyata.  
Apatah lagi untuk menyedari segala kerja jijik yang dilakukan oleh  
segelintir pemimpin Barisan Nasional.  UMNO yang dikatakan pejuang ketuanan  
Melayu dan penegak syiar Islam di rantau ini sudah kecundang dalam tugasnya  
sehinggakan proses memurtadkan orang Islam yang dilakukan oleh orang lain,  
seolah-olah dibiarkan begitu sahaja. Apakah kerana semua kerja-kerja jijik  
yang dilakukan selama ini menyebabkan UMNO terpaksa bersidang khas untuk  
meluluskan beberapa pindaan terhadap perlembagaan mereka? 
 
 
 
Banyak lagi cerita pelik-pelik yang ada sangkut paut dengan wanita Melayu  
terkaya di dunia ini. Tetapi, semua cerita itu tidak menjadi berita hangat  
dan tidak menjadi isu besar sedangkan kerakusannya dan juga adik-adiknya  
saling tak tumpah dengan kerakusan Raja Kelentong. Namun, manusia boleh  
merancang dan Allah pun merancang juga.  Cuma kuasa veto perancangan manusia  
itu ada di tangan Allah SWT sahaja. 
 
 
Kerakusan wanita Melayu terkaya itu dan adik-beradiknya dijangka akan mula  
terserlah sedikit demi sedikit secara bersiri dan secara tidak dirancang  
oleh mana-mana manusia. Semua itu mungkin ada kena mengena dengan penyerahan  
tanah rakyat Selangor yang kini disebut Putrajaya kepada Kerajaan  
Persekutuan. Sekaligus, semua kerakusan wakil-wakil rakyat dan segelintir  
pegawai kerajaan yang berkuasa membantu mereka akan terserlah juga.  Secara  
tidak langsung kisah bagaimana seorang menteri besar mampu melarikan  
beberapa kilo wang besar-besar ke luar negara akan menjadi babak  
ulang-tayang kepada rakyat Selangor juga.   Sekaligus kita akan faham, kalau  
otak yang pada asalnya dikurniakan oleh Allah kepada manusia dan diletakkan  
di kepala itu dibiarkan untuk turun ke kepala lutut, kerakusan dan kegilaan  
untuk membalun harta rakyat mampu membolehkan otak yang berada di di situ  
beralih ke tempat lain juga. Ada orang yang berkata ia boleh beralih ke  
bontot, tetapi  saya lebih selesa berkata ia mudah beralih ke kaki, kerana  
apabila kerja membalun harta rakyat dilakukan secara terang-terangan orang  
yang berotak begitu tentu sudah bersedia untuk angkat kaki untuk lari. Jika  
tidak, apa gunanya membeli tanah di negara asing dengan berjuta ringgit  
harganya sedangkan harga tanah dalam kawasan negeri Selangor boleh dibeli  
dengan kadar 0.93 sen sekaki persegi? 
 
 
-Marhaintua- 
18.11. 2000. 
 
 





Ref URL: http://server22.hypermart.net/webantu/cgi-bin/forum.cgi?id=KM2&read=3248

Code: (K-left) at http://webantu.cjb.net/ 
You may distribute whatever, wherever 
Time/Date Generated : 9:10:12 AM 19/11/2000 Sun



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke