*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Oleh: MARZUKI YUSOFF (Wartawan Utusan)
SETIAP kali Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) 
mengumumkan mengenai benih baru padi yang boleh menambah pendapatan petani, 
akan terbayang kepada sesetengah daripada kita bahawa taraf hidup petani di 
negara ini akan menjadi bertambah baik.

Terkini, MARDI menemui benih baru MR219 yang dikatakan mutunya setanding 
dengan padi terbaik yang dihasilkan oleh Thailand.

Timbul pertanyaan sekiranya MR219 digunakan secara meluas oleh para petani 
tempatan, adakah penduduk yang selama ini lebih berselera dengan beras siam 
akan beralih kepada beras hasil titik peluh petani negara ini seperti 
penerimaan rakyat kepada kereta Proton.

Jika hakikatnya sedemikian, itu satu perkembangan menggembirakan bagi para 
petani tetapi yang sering terjadi selalunya tidak begitu.

Sukar untuk mengubah mentaliti sesetengah penduduk apabila mereka sudah lama 
terbiasa dengan sesuatu perkara atau barangan tertentu.

Mengambil contoh sikap yang selama ini ditunjukkan oleh rata-rata orang 
Melayu terhadap kemampuan kaum sendiri dalam dunia perniagaan.

Apabila ada orang Melayu membuka kedai, manakala, di sebelahnya pula ada 
kedai dari peniaga keturunan Cina yang menjual barangan yang sama, pelanggan 
Melayu lebih cenderung ke kedai orang Cina. Ini kerana sejak dulu, orang 
Cina dalam mentaliti orang Melayu sudah sinonim dengan dunia perniagaan.

Tidak hairan banyak peniaga Melayu gulung tikar atau tidak bertahan lama 
apabila terpaksa bersaing dengan peniaga-peniaga Cina. Begitulah juga 
persepsi sesetengah masyarakat apabila diberi pilihan antara beras tempatan 
dengan beras luar negara.

Terlalu sedih apabila menyaksikan di pusat-pusat membeli-belah, beras-beras 
keluaran tempatan tidak begitu mendapat perhatian. Masyarakat Cina dikatakan 
lebih cenderung membeli beras yang didatangi dari Tanah Besar China, 
manakala, kebanyakan orang Melayu lebih gemar membeli beras siam.

Fenomena yang berlaku ini sudah tentu turut mempengaruhi kehidupan para 
petani di negara ini yang sebahagian besarnya masih dihimpit kemiskinan.

Walaupun pada tanggapan kita, kehidupan petani menjadi lebih baik dengan 
adanya subsidi kerajaan tetapi sebenarnya risiko yang terpaksa ditempuh oleh 
mereka dalam mengerjakan sawah terlalu tinggi.

Di Kelantan, banyak tanah sawah yang ditinggalkan terbiar kerana petani 
tidak dapat bertahan dengan serangan tikus dan penyakit.

Para petani juga terpaksa mengeluarkan kos yang begitu tinggi dari 
kerja-kerja membajak, menabur benih, membeli racun sehingga kepada upah 
tuaian sama ada menggunakan upah buruh atau jentera penuai.

Dari risik-risik di kalangan petani di kawasan Kubang Pasu, Kedah, baru-baru 
ini mendapati, rata-rata mereka membelanjakan hampir RM400 untuk menguruskan 
satu relong sawah dengan hasil pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,200 
termasuk subsidi bagi satu musim.

Pendapatan sebanyak itupun hanya boleh diraih sekiranya tanaman padi mereka 
tidak diganggu-gugat oleh masalah penyakit, serangan tikus, serangga 
perosak, pemotongan wap basah atau ditenggelami oleh banjir seperti yang 
berlaku di Kedah dan Kelantan, pada musim tengkujuh lalu.

Hasil penat peluh petani itu menjadi bertambah tidak berbaloi jika sawah 
yang mereka kerjakan itu disewa. Difahamkan, sewa sawah di kebanyakan 
kawasan di Kedah sekarang telah menjangkau kepada RM300 untuk satu musim.

Jika perkiraan kasar dibuat, seseorang petani yang mengerjakan satu relung 
hanya mampu memperoleh keuntungan bersih RM600 hingga RM900 bagi satu musim. 
Apabila dibahagikan kepada enam bulan, rata-rata petani yang mengerjakan 
sawah seluas satu relung memperoleh pendapatan bersih antara RM125 hingga 
RM200 sebulan.

Ramai petani yang berpendapat masalah mereka akan dapat diatasi sekiranya 
harga padi dinaikkan. Dilema kerajaan pula adalah sekiranya harga padi 
dinaikkan, harga beras di pasaran akan turut naik dan jika ini berlaku, 
banyak penduduk berpendapatan rendah yang lain akan merasai kesannya.

Namun begitu persoalannya, sampai bila harga padi harus ditekan pada ketika 
kos kehidupan di negara ini semakin meningkat dan pendapatan petani kita 
yang lebih 90 peratusnya orang Melayu - tidak jauh berubah.

Proses perbandaran dan kehidupan moden yang begitu cepat menular ke kawasan 
luar bandar walaupun satu nikmat pembangunan yang harus disyukuri oleh 
rakyat tetapi dari segi lain, proses yang berlaku itu telah meningkatkan kos 
kehidupan di luar bandar.

Pada ketika pendapatan petani tidak berubah kerana saiz pemilikan tanah yang 
kecil atau semakin mengecil mengakibatkan para petani merasai beban untuk 
menyesuaikan pendapatan mereka dengan biaya hidup sekarang.

Bagi memastikan kehidupan petani tidak terus tertekan dan hidup dalam 
keresahan, Kementerian Pertanian wajar mencari jalan penyelesaian kerana 
jiwa petani yang terlalu lama resah biasanya begitu mudah dipengaruhi oleh 
pihak-pihak yang berkepentingan politik.

Apa salahnya harga padi yang dijual oleh para petani dinaikkan dan pada masa 
yang sama, kerajaan mengurangkan import beras dari luar negara. Campur 
tangan tegas daripada kerajaan amat diperlukan demi memastikan nasib petani 
benar-benar terbela.

Di Indonesia, kesilapan besar Bulog (Badan Logistik) pada tahun 1997 - 1998 
membawa masuk beras luar secara besar-besaran selain melalui pasaran gelap, 
telah menyebabkan beras tempatan tidak laku di pasaran.

Harga padi pada ketika itu jatuh sehingga 60 peratus dan ramai petani 
sanggup tidak menjual hasil tanaman mereka dengan harapan harga padi naik 
semula di pasaran.

Malah, krisis padi atau beras di Indonesia ketika itu telah mengakibatkan 
beribu-ribu petani dari Jawa dan Sumatera terpaksa berhijrah ke 
bandar-bandar untuk mencari pekerjaan baru.

Sebagai ikhtiar bagi memastikan kehidupan petani negara ini terbela atau 
merasakan diri mereka dibela, wajar kementerian terbabit mengadakan satu 
post-mortem menyeluruh bagi mengenal pasti masalah-masalah sebenar golongan 
itu.

Apalagi para petani kita akan berdepan dengan masalah lebih besar jika 
sempadan negara dibuka kepada kemasukan beras asing di bawah Kawasan 
Perdagangan Bebas Asean (AFTA) atau kuasa Barat berjaya memaksa Malaysia 
menerima sistem globalisasi perdagangan dunia.



--------------------------------------------------------------------------------
� UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala 
Lumpur.
E-mail: [EMAIL PROTECTED]
Sampaikan
ucapan anda


Kirimkan
e-Kad Raya

Sampaikan
ucapan anda

Updated!









_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Kosong IQ" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke