*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pemimpin Umno menghina hukum Allah
Mengapa Majlis Fatwa tak bertindak?
KUALA LUMPUR - Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor mempersoalkan mengapa Majlis
Fatwa Kebangsaan tidak bertindak terhadap pemimpin-pemimpin Umno yang
menghina hukum Allah?
Pemimpin Umno, termasuk Dr Mahathir, pernah berkata kalau dilaksanakan hukum
Islam, bagaimana kita nak gunakan batu-bata untuk membuat jalanraya? Ada
pula yang berkata kalau nak makan sup tangan, pergilah ke Kelantan.
"Ucapan pemimpin Umno itu bukan sahaja memaki-hamun PAS, tetapi memaki-hamun
Islam, memaki-hamun hukum Allah. Mengapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak ambil
tindakan?" Tanya Ustaz Fadzil ketika berucap di majlis sambutan Maulidur
Rasul, di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Isnin lalu.
"Ambil ucapan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat tertinggi sampai ke bawah,
sejak zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sampai kepada Dr
Mahathir. Jangan hanya merakam ucapan pemimpin PAS. Mesti juga merakam
ucapan pemimpin Umno.
"Apa ucapan Dr Mahathir umpamanya, terhadap Islam? Mengapa Majlis Fatwa
tidak sibuk dengan ucapan-ucapan yang ternyata jelas menghina hukum-hukum
Allah, dan mempersenda sunnah Nabi?" Tanya beliau lagi.
Ustaz Fadzil berkata demikian sebagai reaksi terhadap sikap
pemimpin-pemimpin Umno yang tidak habis-habis menimbulkan isu 'amanat Haji
Hadi', yang berdasarkan kepada ucapan Ustaz Hadi Awang pada tahun 1981.
Berikutan keputusan Majlis Raja-raja membenarkan penggunaan perkataan Islam
pada nama-nama pertubuhan, 22 Mac, pemimpin-pemimpin Umno seperti
berebut-rebut memberi amaran kepada PAS supaya jangan menyalahgunakan
perkataan Islam dan menyelewengkan ajaran Islam.
Dalam sentimen itu, Naib Presiden Umno Datuk Najib Razak menggesa Presiden
PAS supaya mengeluarkan kenyataan rasmi menolak apa yang dikatakan 'amanat
Haji Hadi' itu, dan membuat kenyataan bahawa orang-orang Umno tidak kafir.
"Bukan kerja kita untuk mengkafirkan orang," jawab Fadzil, yang ditujukan
kepada Najib. "Dia minta saya buat satu kenyataan rasmi kepada semua orang
PAS, beritahu mereka orang Umno itu tak kafir. Itu bukan kerja PAS. Kita pun
tak tahu dia kafirkah tak kafir. Mana kita tahu?
"Kita tidak tahu seseorang itu kafir atau tidak, kecuali yang menzahirkan
kekufurannya. Yang tidak menzahirkan kekufurannya hanya Allah saja yang
tahu. Kita diminta tolong beritahu yang Umno itu tak kafir. Mana kita tahu!
Dia yang patut beritahu orang-orang dia - kamu ni Islam, kamu tak kafir.
Bukan kita."
Fadzil juga menjelaskan bahawa soal kafir-mengkafir ada kaedahnya. "Kita
tidak mengkafirkan seseorang Islam yang beriqrar dengan dua kalimah syahadah
dan beramal dengan tuntutan dua kalimah itu, kecuali orang itu sendiri
mengatakan dia kafir."
Perkara itu pernah berlaku dalam satu pilihanraya kecil di Kelantan - kata
Presiden PAS itu lagi. "Muslimat kita pergi ke satu kampung, wanita Umno di
situ kata - 'jangan datanglah ke rumah kami, kami kafir'. Mereka sendiri
kata mereka kafir."
Terhadap keghairahan pihak-pihak tertentu memberi amaran kepada PAS supaya
jangan menyelewengkan ajaran Islam, Fadzil menegaskan:
"Memang kita tidak pernah menyelewengkan ajaran Islam. Tunjukkan, mana
penyelewengan yang kita lakukan? Oh, itu amanat Ustaz Abdul Hadi. Saya tidak
pernah dengar mana-mana pihak, mufti atau majlis agama, yang mengeluarkan
kenyataan bahawa ucapan Ustaz Abdul Hadi itu salah dari segi Islam."
Fadzil menyarankan pihak-pihak yang mengatakan 'amanat Haji Hadi' itu salah
dari segi Islam, supaya berjumpa dan berbincang sendiri dengan Ustaz Hadi,
berdasarkan kepada ilmu Islam.
Mengenai kejadian sembahyang dua imam, yang juga ghairah dibangkitkan oleh
pihak Umno, Ustaz Fadzil menjelaskan:
"Islam meletakkan kaedah. Ada hukum-hakamnya. Seseorang yang nak menjadi
imam disyaratkan, yang pertama, orang yang paling fasih membaca Quran. Kalau
imam yang dilantik ialah orang yang tak fasih membaca Quran, jika ada makmum
yang lebih fasih daripada imam itu, maka sembahyangnya tidak sah. Itu hukum
feqh."
Selanjutnya beliau menjelaskan: "Demikian juga imam yang tak disukai oleh
jamaah, tak boleh menjadi imam. Tiga golongan yang Rasulullah s.a.w sebut
tidak diangkat sembahyang mereka walaupun sejengkal daripada kepala, di
antaranya ialah orang yang menjadi imam kepada satu kumpulan yang kumpulan
itu tidak suka kepada dia.
"Sebab itu imam sejak dahulunya dipilih oleh anak qariah - di kalangan anak
qariah yang fasih, yang faham hukum-hakam. Ini tidak! Pilih orang Umno, jadi
imam - reti tak reti, tak kira."
"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN
MEDIA"
http://detik.daily.tripod.com/maca/29hbmac.htm
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Hassan, Haslim" <[EMAIL PROTECTED]>