Nota: Siri ini dimulakan bagi menggantikan siri penulisan 'Bebaskan Pejuang-pejuang Keadilan' oleh Ummu 'Urwah (isteri kepada Hj. Saari Sungib)
 
SALAM PERJUANGAN DARI KAMUNTING [1]
 
Salam Perjuangan,
 
Sudah sekian lama saya, dan keluarga tahanan ISA tidak menyampaikan berita kami. Hari-hari terakhir menuju hari ke 60 adalah amat mencemaskan kami. Berita pembebasan Saudara Raja Petra membawa harapan. Namun harapan itu tinggal kenangan kerana pada hari yang ke 54, empat orang telah diperintahkan oleh Menteri Dalam Negeri untuk terus ditahan di Kamunting. Tidak ada surat rasmi dari pihak berkuasa untuk keluarga, hanyalah panggilan telefon.
Mereka telah dikejarkan ke Kamunting pada malam 2 Jun 2001 agar sampai sebelum 12 malam, kerana pihak Kamunting tidak akan menerima "tetamu" selepas jam 12 malam. Pihak berkuasa Kamunting juga tidak dimaklumkan terlebih dahulu akan kedatangan mereka.
 
Kami terus ke Kamunting pada hari Isnin, sempena Maulidur Rasul untuk berjumpa suami dan ayah tersayang. Walaupun perjumpaan hanya 45 minit dengan perjalanan dari Kuala Lumpur selama 3 jam, dapat mengubat rindu dan kasih setelah berpisah sekian lama. Tidak dapat diungkapkan perasaan kami apabila dapat bertemu dengan suami dan anak-anak dapat memeluk ayah mereka yang dikasihi dan dirindui. Suasana berbeza berbanding semasa perjumpaan di IPK dahulu.

Hari ini sudah 11 hari pejuang-pejuang keadilan kita direhatkan di Kamunting. Tempat ini dinamakan Tempat Tahanan Perlindungan. Tempat ini agak istimewa kerana penghuninya tidak hilang jawatan dan pekerjaan. Mereka boleh membaca, menulis dan belajar, boleh buat PhD atau Master. Itulah antara rancangan suami saya dan Saudara Ezam. Walaupun kebebasan mereka dirampas, mereka terus bersemangat. Ya! Bagi kita yang masih bebas, hargailah setiap detik kebebasan yang dianugerahkan oleh Allah untuk melaksanakan kebaikan, melarang kemungkaran.
Kami, keluarga tahanan ISA, tidak sedikitpun berputus asa untuk terus berusaha membebaskan keluarga kami tersayang, agar mereka kembali berada di sisi kami seperti keluarga-keluarga lain. Kami pohon sokongan dari semua pejuang-pejuang keadilan untuk menyemarakkan Mansuhkan ISA. Semoga kezaliman ISA ini dapat kita kuburkan dan tiada siapa boleh memperalatkannya untuk kepentingan diri.
 
Semarakkan kesedaran rakyat untuk teruskan menentang kezaliman. Walaupun perjuangan ini penuh dengan dugaan dan cabaran, kita tidak harus berundur ke belakang demi masa depan generasi akan datang, demi negara kita yang tercinta. Bumi Malaysia ini adalah milik kita semua. Kita bertanggungjawab akan kesejahteraannya. Pemimpin hanyalah pemegang amanah. Jika pemimpin yang ada sudah tidak amanah, maka menjadi tanggungjawab rakyat menukar dan memilih pemimpin yang lebih baik. Janganlah pemimpin yang ada berasa sombong dan takbur. Kepemimpinan yang mereka ada hanyalah pinjaman sahaja. Bila-bila masa Allah akan ambil dari mereka.
Anak-anak saya telah mengirim kad ucapan kepada ayah mereka sempena Hari Bapa. Luahan kata-kata kasih, rindu dan semangat perjuangan dikirimkan kepada ayah mereka. Pihak-pihak yang bertanggungjawab merampas kehidupan kami bersama sebagai satu keluarga tidak akan berasa tenang. Satu hari, anak-anak kami akan menuntut bela kezaliman yang dilakukan ke atas ayah mereka. Jika tidak di dunia, di akhirat nanti adalah pengadilan yang seadil-adilnya.
 
Salam Reformasi
Teruskan Perjuangan
Ummu 'Urwah
(Aliza Jaffar)

Kirim email ke