How ironic?
 
Siapa yang sebenarnya mencemarkan imej badan kehakiman negara?
Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang atau Datuk Eusoff Chin yang menyalahgunakan kedudukan/kuasa???
Atau Mahathir sendiri yang cuba mencorakkan badan kehakiman mengikut acuan beliau sendiri?
 
Kalau Mahathir benar-benar ikhlas untuk membersihkan Malaysia, bukankah sepatutnya Eusoff Chin yang menjadi sasaran kecaman, malahan tindakan undang-undang??
 
Kenapa Mahathir menyarankan sepatutnya Datuk Kamil menarik diri dari mengendalikan kes tersebut?
Adakah Mahathir menyarankan kes ini sepatutnya diambil oleh hakim yang sanggup mengikut telunjuk seseorang dengan membelakangkan undang-undang?
 
Bukankah insiden yang menimpa keatas anak-anak beliau membayangkan unsur-unsur kezaliman, penganiayaan, ugutan cuba dilakukan keatas Datuk Kamil?
Ditambah pula dengan salah seorang saksi yang dibunuh dan seorang lagi diculik!!!
 
Kenapa pula Hakim Datuk Kamil harus melapurkan kepada PM? Bukankah badan kehakiman sepatutnya bebas?
 
Antara persoalan lain:
Apakah kepentingan Eusoff Chin dalam kes pilihanraya DUN Likas sedangkan kedudukan beliau selaku ketua hakim pada waktu itu tidak ada kena mengena dengan kepentingan pilihanraya?
Adakah ini bermakna ada tangan-tangan ghaib yang berkepentingan politik yang cuba menguasai kehakiman???
 
Dan bagi mereka yang membaca Harakah, pasti tahu mengapa PM sepatutnya orang yang terakhir untuk dimaklumkan...
 
 

Imej kehakiman tercemar -- Pendedahan Hakim Kamil mengheret mahkamah ke dalam kontroversi - PM

KUALA LUMPUR 25 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang mengheret mahkamah ke dalam kontroversi umum telah mencemarkan imej badan kehakiman negara.

Tegas Perdana Menteri, hakim berkenaan sepatutnya membuat pendedahan lebih awal mengenai tekanan melalui telefon yang diterimanya daripada hakim lain sama ada kepada beliau sendiri atau media, kerana insiden itu secara tidak langsung merupakan ugutan terhadap kerajaan.

``Kerana kalau beliau takutkan ketuanya, beliau boleh melapor kepada saya,'' kata Dr. Mahathir, yang mengulas buat pertama kalinya mengenai kontroversi yang dicetuskan oleh pendedahan hakim itu dalam penghakimannya mengenai petisyen-petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 8 Jun lepas.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata, Muhammad Kamil sepatutnya menarik diri daripada mengendalikan kes petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas itu.

``Beliau telah mengheret mahkamah ke dalam kontroversi umum dengan mengatakan hakim lain meminta beliau membuat keputusan yang tidak begitu betul.

``Sekarang ini, kita menghadapi masalah mempercayai mahkamah kerana beliau telah mencemarkan imej mahkamah,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Al-Baraka Ke-20 Mengenai Ekonomi Islam di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian sebagai mengulas mengenai penghakiman Muhammad Kamil semasa mengisytiharkan pemilihan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee pada pilihan raya negeri 1999 sebagai batal dan tidak sah kerana daftar pemilih yang digunakan adalah haram dan Yong telah melakukan kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya.

Perdana Menteri berkata, beliau kesal selepas membaca apa yang sebenarnya berlaku dengan kes Muhammad Kamil kerana buat pertama kalinya hakim memasukkan unsur kekecewaan peribadinya ke dalam penghakiman.

Muhammad Kamil dalam penghakimannya juga telah menyatakan bahawa banyak jabatan kerajaan tidak membalas surat-surat yang dikirimkan dan memberi dua contoh, satu yang melibatkan permohonan anak lelakinya bagi mendapatkan permit kerja sementara di Sarawak manakala yang kedua anak perempuannya tidak menerima jawapan mengenai permohonannya mendapatkan biasiswa.

``Bagi seorang hakim yang menyatakan bahawa anak saya tidak mendapat layanan baik daripada kerajaan ini, adalah begitu jelas beliau merujuk kepada kerajaan ini,'' kata beliau.

Dr. Mahathir merasakan hakim berkenaan wajar menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut sebaik sahaja menerima tekanan daripada pihak atasannya.

``Beliau sepatutnya menarik diri apabila timbul masalah itu. Beliau sepatutnya melaporkan serta-merta mengenai kejadian panggilan telefon yang dibuat oleh ketuanya.

``Beliau sepatutnya melaporkan yang beliau terima panggilan kerana jika ada ugutan dalam panggilan itu, ini bermakna ia juga ugutan ke atas kerajaan,'' katanya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata, Muhammad Kamil boleh melaporkan kepadanya.

Mengenai arahan yang menurut hakim itu diterimanya menerusi telefon, Perdana Menteri berkata: ``Saya tidak pasti kerana perbualan telefon bukan mudah untuk diperiksa.''

``Sama ada beliau sebenarnya diberitahu membuang kes itu atau tidak, saya tidak tahu tetapi nampaknya, beliau juga tidak dapat membuktikannya. Tetapi beliau telah berjaya menyeret mahkamah ke dalam satu kontroversi umum dengan menyatakan bahawa seorang hakim lain telah memintanya membuat satu keputusan yang tidak berapa betul.''

Ditanya sama ada tindakan hakim itu telah mencemarkan imej mahkamah, Perdana Menteri berkata: ``Ya, saya fikir begitu.''

Perdana Menteri terdahulu ditanya kemungkinan isu pembelian Nanyang Press Holdings Bhd. akan memberi kesan kepada kedudukan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas di Sabah.

``Tidak. Ia isu berlainan sama sekali,'' katanya.

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2001&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Kirim email ke