BLACK METAL TAK SAMPAI KELANTAN

23 July 2001
 
PASIR PUTEH: Majlis Guru Besar (MGB) Kelantan mengesahkan murid sekolah rendah di negeri ini bebas daripada pengaruh kumpulan muzik Black Metal.
Yang Dipertua MGB, Awang Mohamad, berkata perkembangan seumpama itu berjaya dikawal berikutan kurangnya pengedaran kaset dan cakera padat kumpulan muzik itu di pasaran.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedia bekerjasama dengan polis untuk bertindak menangani pengaruh aliran muzik itu di kalangan murid sekolah di negeri ini sebagai langkah berwaspada.
Katanya, MGB tidak menafikan terdapat segelintir murid yang meminati aliran muzik ini sekadar untuk berhibur dan ia juga perlu dibendung di peringkat awal.
“Murid sekolah rendah di negeri ini bebas daripada pengaruh aliran muzik Barat ini, tetapi masih memerlukan tindakan drastik semua guru besar, guru disiplin dan kaunseling sekolah melaksanakan pelan tindakan.
“Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya termasuk memastikan minat dan pergaulan anak di luar kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui di majlis Mesyuarat Agung MGB Pasir Puteh, di sini, semalam.
Katanya, ibu bapa juga mesti bekerjasama dengan guru dalam membentuk sahsiah murid dan tidak menafikan laporan sekolah sekiranya anak mereka disenaraikan sebagai murid bermasalah.
Awang berkata, guru disiplin juga mesti mengemas kini rekod salah laku dan maklumat murid baru yang masuk ke sekolah masing-masing bagi mengesan pengaruh itu tidak dianuti.
Beliau berkata, kerjasama polis perlu untuk menangani salah laku murid termasuk membantu meningkatkan penguatkuasaan dan pencegahan ponteng sekolah, lepak di pasar raya, merokok dan sebagainya.
Katanya, perkembangan negatif membabitkan Black Metal berpunca daripada pengaruh rakan sebaya yang pada awalnya hanya untuk berhibur.
Beliau berkata, sikap fanatik menyebabkan aliran muzik dan kumpulan yang diagung-agungkan itu menjadi anutan yang bercanggah dengan budaya, adat resam serta agama.
“Adalah lebih baik anak-anak diberi pendedahan secara positif termasuk memandu mereka meminati aliran muzik yang bersopan, berbudaya dan mencintai identiti sendiri dengan kekuatan jati diri bangsa Melayu yang kukuh,” katanya.
 
http://www.emedia.com.my/z/Current_News/HM/Monday/National/20010723012507

Kirim email ke