|
Sepintas rentetan tragedi berdarah Julai lalu,
renungkanlah
sejenak... MUAR 12 Julai - Seorang wanita dijumpai mati dengan lehernya hampir putus manakala suaminya cedera parah dipercayai disembelih dalam kejadian amuk di rumah mereka dekat Kampung Parit Zing, Bukit Gambir, kira-kira 20 kilometer dari sini petang ini. Anak lelaki pasangan ini bersama menantu mereka telah ditahan untuk siasatan. KLANG 12 Julai - Seorang kanak-kanak, Mohd. Farris Hailzwan Mohamed Mohsen, 17 bulan, mati setelah disembelih dengan pisau oleh bapanya di rumah mereka di Lorong Manikavasagam 11 B, Taman Menara Maju di sini pagi ini. JOHOR BAHARU, 29 Julai (Bernama) - Lima wanita dan dua lelaki, dipercayai daripada satu keluarga, dijumpai mati dengan kesan tikaman dan sembelihan dalam sebuah rumah di Taman Johor Jaya di sini pada Sabtu malam. Wawasan masyarakat penyayang... Salah satu cabaran Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu satu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri. Kebajikan insan tidak lagi berkisar pada negara atau individu perseorangan, tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh. Lantaran itu, kasih sayang dalam sistem kekeluargaan seharusnya menjadi medium utama kewujudan masyarakat penyayang. Soalnya, akan tercapaikan hasrat wawasan ini seandainya rentetan- rentetan tragedi ngeri yang tersenarai di atas tadi terus-menerus melakar sejarah negara? Akan tercapaikah keinginan kita untuk membina `keluarga yang penyayang, masyarakat yang bahagia'? Atau impian untuk hidup dalam kasih sayang dan keharmonian hanya akan tinggal impian? Lebih menyedihkan apabila hampir 60% kes bunuh di negara kita sejak akhir-akhir ini melibatkan institusi kekeluargaan! Apakah dosa anak-anak yang menjadi mangsa pembunuhan? Dan lupakah seorang anak akan budi dan keringat kedua ibu bapa yang melahir dan membesarkan hingga tergamak meragut nyawa mereka yang tidak terbalas jasanya? Apakah hak seseorang itu hingga boleh memusnahkan sebuah kehidupan milik insan lain? Di manakah pertimbangan, di manakah akal fikiran? Bila perasaan menguasai akal fikiran... Umum mengetahui, tekanan mental berlaku apabila kurangnya persediaan dari segi kerohanian atau spiritual dalam diri seseorang untuk menghadapi sesebuah masalah mahupun cabaran. Akal fikiran gagal untuk mengawal naluri yang bergelodak dengan 1001 masalah yang menuntut penyelesaian. Gangguan tekanan mental ini biasanya menggugat ketenangan dan seringkali mengakibatkan individu tersebut bertindak balas terhadap persekitarannya. Seseorang individu itu boleh mengalami tekanan mental apabila dia mengalami tuntutan yang berat untuk menyelesaikan kerja, kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru, dan mungkin juga akibat daripada interaksi sosial yang kurang sihat. Antara gejala tekanan mental yang biasanya dapat dikesan di peringkat awal ialah rasa cepat bimbang, cepat marah, lemah semangat, rasa kurang tenteram, kurang daya tumpuan, rasa rendah diri, mudah terancam, hilang selera makan atau makan berlebihan, kecuaian yang sering mengakibatkan kemalangan, penggunaan rokok dan alkohol atau dadah secara berlebihan, sukar tidur dan sebagainya. Ketidakseimbangan ini ditambah pula dengan masalah demi masalah tanpa penyelesaian, menyebabkan akal fikiran gagal untuk berfungsi dengan wajar. Rasa marah dan sebagainya gagal dibendung. Dan akhirnya, insan- insan lain yang berada di sekeliling mereka inilah yang menjadi mangsa melepaskan segala rasa marah dan tidak puas hati tadi. Anak- anak kecil sering dijadikan sasaran kerana mereka tiada keupayaan untuk menentang apatah lagi untuk melawan. Awalnya, kemarahan ini mungkin tidak mendatangkan kecederaan. Namun lama kelamaan, penggunaan senjata berbahaya untuk melampiaskan perasaan pasti menuntut korban nyawa. Kurangkan tekanan, belajarlah mengawal diri... Mencegah lebih baik daripada merawati. Dan pencegahan yang terbaik bermula dari kesedaran diri di peringkat awal lagi. Aktiviti sukan dan rekreasi merupakan antara cara terbaik bagi mengatasi tekanan mental. Selain itu, setiap individu wajar mengamalkan corak pemakanan yang sihat, berpandangan positif, memfokus diri pada segala yang perlakuan yang baik dan mengamalkan pengurusan masa secara bijaksana dan berkesan. Cara hidup sihat seperti ini pastinya akan menimbulkan mood yang sentiasa ceria dan secara tidak langsung menguatkan lagi daya spiritual dalam diri individu tersebut. Selain mengamalkan cara hidup sihat melalui aktiviti riadah, setiap individu disarankan untuk bersedia berkongsi masalah dan kesulitan bersama orang lain. Cari jalan penyelesaian daripada sebarang masalah adalah lebih baik daripada terus bergelumang dengan masalah tersebut. Bantuan daripada mereka yang profesional dalam bidang khidmat kaunseling adalah cara yang lebih baik seandainya masalah tersebut berada pada tahap yang sukar untuk dibedung. Landasan terbaik buat semua... Seharusnya, sokongan terbaik pada setiap diri adalah ajaran agama. Pembentukan sahsiah diri yang sempurna, gaya hidup yang bijaksana dan kekuatan mental, fizikal serta spiritual adalah berasaskan kekuatan pegangan agama. Tidak ada sesiapa yang berhak menyangkal betapa aspek keagamaan adalah satu-satunya jalan penyelesaian masalah untuk individu yang menghadapi masalah tekanan mental ini. Lantaran itu, berpeganglah pada kekuatan tunggak keagamaan yang suci... kerana tekanan mental pemusnah kasih sayang, sedangkan kesucian agama sebagai penyuburnya... renungkanlah... Ikhlas: Syed Syah Iskandar al hafiz |
