Siva dakwa guru dianggap pekerja kelas dua

PETALING JAYA 28 Ogos - Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk N. Siva Subramaniam mendedahkan, ada pihak di Kementerian Pendidikan menyifatkan guru sebagai pekerja kelas dua dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, perkara ini berlaku berdasarkan sikap segelintir mereka yang enggan melaksanakan dasar yang disifatkan baik untuk para guru.

``Banyak arahan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang baik seperti melakukan rombakan dalam sistem pendidikan tidak dilaksanakan oleh pihak terbabit,'' katanya.

Menurutnya, tindakan golongan tersebut menunjukkan mereka sengaja mengabaikan arahan tersebut seolah-olah ia tidak memberi sebarang makna kepada guru.

Beliau turut menyentuh mengenai kebajikan guru dalam perkhidmatan awam seperti perlindungan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) dan insurans.

``Guru-guru tidak mempunyai Perkeso malah tidak mempunyai sebarang insurans untuk melindungi mereka,'' katanya.

Siva mengambil contoh kejadian seorang guru yang mati ketika membetulkan kipas di rumahnya.

``Guru ini tidak mendapat sebarang pampasan daripada kerajaan untuk membiayai keluarga mangsa sebaliknya NUTP pula yang bertindak membiayai makan minum keluarga ini setiap bulan,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa bengkel bertajuk Kebajikan Guru pada Persidangan Pendidikan Antarabangsa (IEC2001) di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Menurut Siva, selain menghadapi masalah tersebut sistem pendidikan juga bersifat kejam terhadap guru-guru apabila ia membabitkan sikap sesetengah guru besar atau pengetua.

Katanya, terdapat guru besar dan pengetua yang menggunakan kuasanya melarang guru-guru untuk bersuara.

``Mereka mengugut guru menggunakan strategi membekukan kenaikan gaji mereka jika guru-guru berani mendedahkan kepincangan dalam sekolah atau memberi cadangan,'' katanya.

Justeru menurut beliau, guru-guru enggan bersikap proaktif dalam sebarang aktiviti kerana wujudnya sikap sedemikian.

Beliau juga mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak menjadikan sesuatu arahan sebagai ugutan untuk mengenakan sebarang tindakan terhadap guru.

``Guru-guru bukan lagi budak sekolah, mereka mempunyai kesatuan sendiri dan akan bertindak jika ada pihak yang keterlaluan,'' katanya.

Mengenai permohonan maaf dari Presiden NUTP, Tengku Habsah Tengku Petra kepada kementerian berhubung pendedahannya mengenai empat murid melakukan oral seks, beliau berkata, Tengku Habsah tidak akan memohon maaf.

Beliau juga memberi amaran jika pihak itu terus menekan permohonan maaf itu, satu perhimpunan guru-guru akan diadakan di seluruh negara.

Siva berharap Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Rafie Mahat memahami keadaan tersebut dan tidak cuba melakukan sesuatu yang akan mengeruhkan lagi hubungan guru dengan kementerian.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2001&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Kirim email ke