5 PERKARA ELOK DISEBUT
"
Dalam sesi muzakarah kali ini, saya hendak menarik perhatian tentang 5
perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada
kita sepanjang menjalani hidup ini.
Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima
perkara ini iaitu:
Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang
yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa
hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan
kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut
nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi
nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.
Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap
ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan
hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga
ke hati.
Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia
terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia
setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah
umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100
daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di
dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran
sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat
(WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang
Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang
paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi
dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu
perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul
keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal
kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan
bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan
mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi
diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang
jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak.
Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia
ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan
dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap
Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina
Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk
dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri
kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Syaitan memang
sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau
membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau
menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada
diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita
buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh
sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat
kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub.
Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala
kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria'
atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang
memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah
satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati
supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita
kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang
ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang
menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah
kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan
kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan
itu.
Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri
orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu
menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang
lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat
keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua
'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak
kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan
cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari
mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa
diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada
orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah
diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita
lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat
keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga
tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada
digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama
manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang,
meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat
diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun
kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari
bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk
menjerumuskan kita ke dalam api neraka.
Demikian tazkirah minggu ini. Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas
dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama
berdoa semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke
akhirat. Amin...
Title: 5 PERKARA ELOK DISEBUT