Di sini saya sambung kembali sedutan dari mustika hadith jilid satu, semoga ia akan memberi manfaat kepada saya sendiri serta semua sahabat di hizbi.net
Sambungan dari Siri 1
Hadith 135 - Bermaksud;
Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Bahawa RasululLah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menukar agama Islamnya maka hendaklah kamu membunuhnya."......
( Jamaah kecuali Muslim )
Hadith 136 - Bermaksud;
Dari Abu Musa Al-Asya'ari RA, bahawa RasululLah SAW memerintahnya
dengan bersabda: "Pergilah engkau ke negeri Yaman", kemudian Baginda SAW
menghantarkan Muaaz bin Jabal selepas pemergiannya; apabila Muaaz sampai
ke tempat Abu Musa, Abu Musa menyambutnnya dengan memberikan sebiji bantal
alas duduk serta berkata: "Sila duduk", dan dekat situ ada seorang yang
terikat; Muaaz bertanya: "Apa orang ini?" Abu Musa menjawab: "Orang
ini seorang Yahudi, ia masuk Islam kemudian ia berbalik menjadi Yahudi";
Muaaz berkata: "Aku tidak akan duduk sehingga ia dibunuh, itulah hukuman
Allah dan Rasul-Nya". ....( Bukhari dan Muslim )
Dan pada riwayat Abu Daud mengenai kisah ini: "Maka dibawa kepada Abu Musa seorang yang telah murtad - meninggalkan agama Islam, lalu disuruhnya (bertaubat dengan memeluk Islam semula) selama kira-kira 20 malam, kemudian datang Muaaz serta menyuruhnya juga bertaubat, tetapi orang itu enggan, lalu dipenggal lehernya."
Hadith-hadith yang tersebut menerangkan bahawa:
1) Sesiapa yang menjadi murtad: wajib dibunuh oleh pihak yang
berkuasa selepas ia disuruh bertaubat kembali kepada Islam dan ia enggan
berbuat demikian.
2) Hukuman bunuh yang tersebut hendaklah dikenakan kepada tiap-tiap
orang murtad samada lelaki atau perempuan, sebagaimana yang terkandung
pada hadith Muaaz bin Jabal yang ditegaskan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asyqalani
bahawa sanadnya hasan, yang maksudnya: Tak kala RasululLah SAW mengutusnya
ke negeri Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: "Mana-mana lelaki yang
menjadi murtad - meninggalkan Islam, maka suruhlah dia bertaubat kembali
kepada Islam, jika ia kembali kepada Islam (bebaskanlah dia), dan kalau
tidak, maka penggallah lehernya; dan mana-mana perempuan yang menjadi murtad
- meninggalkan Islam, maka suruhlah dia bertaubat kembali kepada Islam,
jika ia kembali kepada Islam (bebaskanlah dia), dan kalau tidak, maka penggallah
lehernya."
Hukuman yang dinyatakan oleh hadith-hadith yang tersebut telahpun
dijalankan oleh sahabat-sahabat RasululLah, di antaranya Sayyidina Abu
Bakar, Sayyidina 'Umar dan Sayyidina Ali RA - semasa pemerintahan masing-masing.
Hukuman yang tersebut tidak sekali-kali bertentangan dengan
"Dasar Kebebasan Beragama" atau dasar "Laa ikrahafiddin" (tidak ada
paksaan dalam agama) yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam Al Quranul Karim,
kerana tidak ada hubungannya sama sekali dengan soal orang murtad.
Soal orang murtad dan soal kebebasan beragama adalah dua masalah
yang berlainan. "Tidak ada paksaan dalam agama" artinya: orang-orang Islam
tidak boleh sama sekali memaksa orang-orang kafir masuk Islam, kerana hakikat
iman dan kesudahannya yang baik, dan hakikat kufur serta akibatnya yang
buruk, telah dijelaskan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam Al Quran dan
Hadith yang shahih serta disampaikan oleh alim ulama' yang menjalankan
dakwah islamiah, maka terserahlah kepada umat manusia memilih samada beriman
dan taat atau kufur ingkar.
Tambahan pula kalau orang kafir dipaksa memeluk Islam nescaya
tidak sah Islamnya, kerana iman yang sah ialah yang diyakini oleh hati,
sedang hati manusia tidak dapat dipaksa.
Berlainan halnya orang Islam yang telah murtad.
Bersambung,.......
